Tuesday, August 25, 2009

Dokumentari istimewa Malaysia


KEAVENY (tiga dari kanan), Wong (tengah) dan Mohd Mahyidin (tiga dari kiri) bersama pembikin filem yang berjaya menyertai projek Eye On Malaysia.

Empat program terbaik disiarkan menerusi saluran Discovery bermula Jumaat ini

DISCOVERY Networks Asia-Pacific berasakan masih banyak sejarah, warisan dan budaya negara ini boleh dipaparkan kepada penonton antarabangsa sebagaimana yang pernah dilakukan menerusi program usaha sama First Time Filemmakers (FTFM) dan Eye On Malaysia.

Apatah lagi dengan wujudnya ramai karyawan filem negara ini yang dilihat cukup berpotensi untuk berjaya bersama hasil kerja mereka yang cemerlang, seperti ditunjukkan empat pembikin filem yang terpilih menjayakan program terbaru itu, kebarangkalian untuk penonton dunia menyaksikan budaya warisan Malaysia lebih cerah.

Eye On Malaysia ialah projek usaha sama kedua antara Discovery Networks Asia-Pacific dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), dalam usaha memaparkan budaya masyarakat negara ini ke persada dunia, di samping mendedahkan pengkarya filem Malaysia kepada gaya penghasilan dokumentari lebih bermutu serta mencapai piawaian antarabangsa.

Menerusi projek berkenaan, empat pembikin filem tempatan - Datin Paduka Shuhaimi Baba, Ikhwan Rivai, Abdul Hamid Abdullah dan Chew Han Tah - dipilih menghasilkan dokumentari sepanjang 30 minit untuk disiarkan oleh Discovery Channel. Masing-masing berjudul Wind Chucker, The Seasmiths, Honey Hunters dan The Joss Stick Maker.

Naib Presiden Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Tom Keaveny, daripada 60 penyertaan yang diterima pada peringkat awal, empat pembikin filem terbabit lebih pada acara pitching yang dianjurkan pada Disember. Mereka kemudian diberi bimbingan dalam bengkel tiga hari yang diadakan di ibu kota.

EMPAT pembikin filem yang terpilih menjayakan program Eye On Malaysia, dari kiri; Chew, Shuhaimi, Ikhwan dan Abdul Hamid.

"Kita dapat lihat betapa negara ini kaya dengan pembuat filem berbakat. Kemahiran mereka dapat disaksikan melalui dokumentari yang dihasilkan menerusi kerjasama Discovery dan Finas.

"Kami sememangnya tidak bertolak ansur apabila bercerita mengenai dokumentari yang disiarkan di saluran ini. Kami mempunyai komitmen besar pada penonton Discovery, dengan hanya menyiarkan program terbaik. Kami tidak akan menyiarkan program kelas kedua untuk tontonan mereka," katanya kepada wartawan pada majlis pratonton khas dokumentari Eye On Malaysia di Finas, Hulu Klang, baru-baru ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Finas, Datuk Wong Kam Hoong dan Ketua Pengarahnya, Mohd Mahyidin Mustakim.

Tambah Keaveny, semua dokumentari yang dihasilkan menerusi projek terbabit jauh melepasi markah lulus untuk tayangan saluran berkenaan.

GAMBAR dari atas, Dokumentari The Joss Stick Maker. Gambar tengah, Honey Hunters dan The Seasmiths.

Katanya, usaha sama itu diteruskan bersandarkan kepada kejayaan yang pernah dikecapi menerusi program FTFM yang dilancarkan pada 2006 dan dia percaya, lebih banyak kerjasama seumpama itu mampu diwujudkan antara kedua-dua pihak.

Ini lebih-lebih lagi, bukan sekadar saluran berkenaan yang berada di bawah payung Discovery Communications, syarikat media bukan fiksyen terbabit mempunyai enam lagi saluran dengan 458 juta pelanggan di 32 negara di Asia Pasifik.

"Selepas tayangan perdananya di Malaysia dan Asia Pasifik, kami akan berbincang dengan wakil rantau lain. Jika mereka dokumentari ini bersesuaian dengan saluran mereka, maka tentunya filem terbabit ditonton oleh masyarakat dari luar rantau ini juga," katanya.

Sementara itu, Mahyidin berkata, setiap dokumentari yang diterbitkan menerusi program berkenaan menelan belanja antara RM150,000 hingga RM180,000 untuk dihasilkan.

"Jika pada kebiasaannya sebuah dokumentari diberikan peruntukan sekitar RM25,000 saja, tetapi kami berbelanja lebih sedikit bagi projek ini demi memastikan produk yang dihasilkan benar-benar memenuhi piawaian antarabangsa," jelasnya.

INFO: Eye On Malaysia

  • Siaran perdana semua episod Eye On Malaysia melalui Discovery Channel (Astro 551) mulai jam 6 petang, 29 Ogos (waktu Malaysia). Siaran ulangannya boleh diikuti pada 31 Ogos, jam 8 malam dan 8.30 malam, serta 7 September pada 8 malam dan 8.30 malam.

    Filem: The Joss Stick Maker (Pembuat Colok)
  • Pengarah: Chew Han Tah. TAPAK Warisan Dunia bandar raya Georgetown bukan hanya lokasi untuk bangunan bersejarah. Di sini kita juga dapat temui tukang mahir tradisional Malaysia yang seperti Lee Beng Chuan yang masih menghasilkan colok menggunakan tangan. Pada sambutan Tahun Baru Cina kali ini, lelaki berusia 80 tahun itu menyimpan azam yang kuat untuk menghasilkan colok istimewa setinggi 12 kaki, walaupun persaingan cukup hebat diberikan colok buatan kilang. Meskipun impiannya itu agak sukar, tetapi lelaki ini menaruh harapan agar hasil tangannya bakal menjadi khazanah bernilai yang dapat dilestarikan.

  • Tayangan: 29 Ogos, 6 petang. Ulangan pada 29 Ogos, 10 malam & 31 Ogos, 8 malam.

    Filem: Honey Hunters (Pengumpul Madu)
  • Pengarah: Abdul Hamid Abdullah. DI hutan hujan Malaysia, pokok tualang yang gah berdiri antara pokok lain ialah tempat membuat sarang bagi Lebah Gergasi Asia yang membantu proses pendebungaan ratusan spesies tumbuhan. Setahun sekali, seorang petani berusia 85 tahun, Salleh Mohammad Nor, serta beberapa rakan yang juga pengumpul madu, akan memanjat pokok setinggi 60 meter di hutan Pedu, Kedah. Tempoh madu ditemui sangat singkat, namun ganjarannya cukup lumayan. Penuh dengan amalan dan kepercayaan tradisi, pengumpul madu ini membawa kita masuk ke penjelajahan untuk menyedari bagaimana ilmu silam dapat membantu kita memahami sains.

  • Tayangan: 29 Ogos, 6.30 petang. Ulangan pada 29 Ogos, 10.30 malam & 31 Ogos, 8.30 malam.

    Filem: The Seasmiths (Tukang Laut)
  • Pengarah: Ikhwan Rivai. SETAHUN sekali, suasana di Semporna, Sabah, menjadi begitu meriah dan penuh warna-warni apabila sambutan Regatta Lepa diadakan. Inilah harinya masyarakat Bajau yang turut dikenali sebagai Orang Laut menyambut perayaan laut dengan perarakan kapal layar yang dihasilkan dengan tangan serta persembahan tradisional. Pada tahun ini, kedua-dua pembuat kapal, Musari, serta pemenang Regatta tahun lalu, Maman, bertekad untuk membina dan mempamerkan kapal yang terindah, manakala Nasatea yang bercita-cita untuk bergelar ratu cantik akan cuba merebut mahkota Permaisuri Lepa dengan persembahan tariannya.

  • Tayangan: 29 Ogos, 7 malam. Ulangan pada 29 Ogos, 11 malam & 7 September, 8 malam.

    Wind Chucker (Penyingkir Angin)
  • Pengarah: Shuhaimi Baba. DENGAN berpegang teguh pada kepercayaan, angin ialah punca segala kesakitan dan penyakit, seorang pawang dari Kelantan, Ida, menggunakan teknik urutan yang sering kali memeritkan untuk membuang angin terperangkap dalam badan pesakit. Ida menjadi pengantara untuk menyalurkan angin yang tidak dikehendaki ini. Angin itu pula keluar dari tubuh pesakit menerusi sendawa Ida. Berlatarkan budaya yang tinggi di kalangan penduduk Pantai Timur Malaysia, cerita yang aneh tetapi tulus ini menunjukkan bagaimana rawatan kuno seperti membuang angin terus dipercayai dan diperakui sebagai rawatan kesihatan dalam masyarakat tradisi.

  • Tayangan: 29 Ogos, 7.30 malam. Ulangan pada 29 Ogos, 11.30 malam & 7 September, 8.30 malam.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: