Nama Diana Danielle disebut-sebut tetapi Erma enggan mengesahkannya
TEKA-TEKI mengenai pelakon mana yang bakal terbabit dengan teater Natrah masih belum terjawab. Ini sedikit sebanyak menambahkan kehangatan teater yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 17 hingga 25 November depan.
Bagaimanapun, ketika ini sudah mula tersebar beberapa pelakon seperti Diana Danielle yang dikatakan akan memikul tanggung jawab berat memegang watak Natrah. Begitu juga dengan Remy Ishak dan Umie Aida yang disebut turut sama terbabit.
Namun seperti kata Erma Fatima yang diberi mandat untuk mengarahkan teater ini, beliau sendiri masih belum mampu memberikan jawapan pasti mengenai perihal pelakon dalam teater Natrah nanti.
Pengumuman rasmi itu akan dibuat dalam masa tempoh Ramadan ini.
Seperti mana debaran orang luar yang begitu memuncak menanti bagaimana naskhah teater ini bakal dipersembahkan, seperti itu juga debaran yang mula dirasai isteri kepada Bade Azmi ini. Bertemunya minggu lalu di IB, Erma dalam nada mempersoalkan apakah selepas ini kita akan kehilangan lebih ramai lagi Natrah yang lain?
Erma Fatima |
Skrip teater Natrah yang ditulis Erma dan dipantau Fatini Yaacob selaku penasihat, diambil daripada kisah benar mengenai sisi hidup Nadra Maarof atau nama asalnya, Berta Hertogh yang pernah menimbulkan kontroversi apabila soal agama Islam mula diperkotak-katikkan. Malah hingga tercetus rusuhan berbaur sentimen agama dan warna kulit.
"Teater ini terlaksana atas kehendak Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Saya diminta untuk mengarahkannya dan Natrah bukan hanya tercatat dalam lipatan sejarah, sebaliknya ia satu tanggung jawab dan beban besar buat saya.
"Teater Natrah bukan sekadar cerita mengenai perjalanan hidup, konflik dan sisi cintanya saja, sebaliknya ada yang tersirat dan tersurat yang ingin ditonjolkan yang barang kali hanya diketahui secara dasar semata-mata. Ia juga membabitkan perspektif agama dan bangsa.
"Saya tidak mahu teater ini dipentaskan seperti filem Jasmin yang pernah dihasilkan sekitar 1980-an. Saya mahu ia menjadi lain, yang langsung tidak difikirkan orang. Saya percaya Dr Rais pilih teater ini bukan sekadar mahu mengisi panggung IB saja, sebaliknya ada matlamat tersendiri," katanya yang ditemui dalam sidang media teater Natrah dan Konsert 1Malaysia di IB, baru-baru ini.
Erma berkata, Natrah itu sendiri sudah berkait dengan kontroversi, lalu mahu atau tidak, beliau harus bersedia dengan sebarang kemungkinan terhadap risiko yang lebih besar dan menakutkan.
"Kalau nak diikutkan banyak inti pati cerita yang boleh dipersembahkan mengenai Natrah. Namun, dengan tempoh masa tertentu, saya harus memastikan apa yang ingin diisi itu berbaloi dengan apa yang diharapkan. Nama Natrah itu sendiri sudah berdiri dengan cukup komersial, lalu saya rasa tidak perlu elemen lain lagi.
"Malah, saya difahamkan kematian Natrah pada Julai lalu juga berakhir sebagai pemikir bebas. Natrah mati bukan sebagai Islam mahupun agama asal yang dianutinya. Saya sendiri dalam dilema dan runsing sama ada mahu menamatkan persembahan ini dengan mempamerkan kenyataan atau memenangkan agama kita.
"Sejujurnya saya bukan pengikut perkembangan Natrah tapi tahu mengenainya cuma tidak secara mendalam. Namun kerana tanggung jawab yang dipikul kini, saya perlu ambil tahu. Dalam masa yang sama, saya juga memegang amanah yang paling berat kerana menggunakan duit kerajaan seperti mana pengalaman saya mengarahkan Embun," katanya sambil memberitahu sesi latihan teater ini akan bermula selepas raya.
INFO: Erma Fatima dan teater Natrah
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: