NAMPAKNYA macam-macam cara dilakukan oleh Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) terutama untuk memastikan hayat bintang realiti di bawah naungannya terus bertahan. Begitu juga dengan apa yang dirancang Astro untuk memastikan juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Hafiz kekal diingati.
Selepas muncul dengan album memuatkan lima lagu bersama rakan-rakan finalisnya di AF7 yang lain, Hafiz turut diberikan kepercayaan menyanyikan lagu tema program Sehati Berdansa musim ketiga. Itu pun selepas dua musim terdahulu dinyanyikan Farhan.
Pada masa sama, Cik Normah diberitahu rakan sepejabat, Hafiz turut berlakon sebagai ‘cameo’ dalam drama 26 episod, Kau Dan Aku. Drama itu turut dibintangi naib juara AF7, Aril, tempat ketiga AF7, Akim dan juara AF5, Mila. Tak sangka pula, alih-alih diwujudkan watak cameo untuk Hafiz. Tak silap Cik Normah, Hafiz akan muncul dalam satu babak yang mana dia menjadi penyanyi.
Hafiz ke Indonesia hujung bulan ini hingga 1 September. Mungkin juga pemergian Hafiz ke sana boleh melepaskan rindunya terhadap Aril dan Akim. Maklumlah sudah lama mereka tidak berjumpa. Mana tahu bolehlah berbuka puasa dan bersahur sama-sama.
Sekali pandang, Cik Normah tengok AESB nampaknya melakukan apa saja untuk memastikan populariti artis AF tidak pudar. Tapi janganlah buat sekadar nak tangkap muat atau hanya untuk melepaskan batuk di tangga. Ikut syarat dan asal ada saja. Terdesak sangat?
Bukan Cik Normah nak mengata tapi dengan keadaan pasaran sekarang nasib pelakon mungkin lebih terbela sebab permintaan untuk drama, filem mahupun telefilem sentiasa ada. Tapi kalau penyanyi itu, belum tentu ada undangan membuat persembahan pada setiap masa.
Untung jadi pelakon. Tapi penyanyi macam Hafiz belum tentu persembahan selalu ada. Tapi inilah putaran kehidupan yang harus ditempuhi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: