Friday, August 28, 2009

Serlah keunikan Malaysia di mata dunia


DOKUMENTARI Honey Hunters cetusan idea Abdul Hamid menemui penonton esok.

Tayangan Perdana Honey Hunters disiarkan mulai esok di Discovery Channel

SEBUAH usaha positif yang membantu perkembangan industri penerbitan tempatan selain mengetengahkan keunikan Malaysia di mata dunia. Itu antara rangkuman pengalaman yang dikutip Abdul Hamid Abdullah, seorang daripada empat penerbit tempatan yang terpilih untuk menjayakan produksi, Eye On Malaysia.

Produksi itu menyatukan kerjasama kedua antara Discovery Networks Asia-Pacific dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) disokong Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan.

Mengangkat Honey Hunters sebagai teras utama dokumentari selama setengah jam itu, Abdul Hamid berkata, kerjasama itu membuka peluang kepada penerbit tempatan untuk merencana produksi mereka dengan lebih teliti.

Banyak pengalaman baru diperoleh dan sesuatu yang ketara, katanya, Discovery Networks begitu mementingkan proses praproduksi malah setiap aspek penerbitan dititikberatkan untuk memberi kesan kualiti apabila ditayangkan kelak.

"Pun begitu dari aspek kreativiti dan jalan cerita, mereka memberikan saya kebebasan selain saya juga perlu mengawasi pergerakan kamera serta pengarahan supaya tiada kekosongan apabila dokumentari siap sepenuhnya," katanya.

Memakan masa selama 12 hari penggambaran, topik berkaitan pemburu madu itu kata Abdul Hamid, bukan sesuatu yang baru kepadanya kerana pernah mengetengahkan kupasan itu ketika berkhidmat dengan Majalah 3, 20 tahun lalu.

Paparan yang diinspirasikan daripada kajian seorang profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membawa Abdul Hamid dan kru ke Pedu, Kedah untuk mendalami pekerjaan yang diwarisi generasi turun temurun itu.

"Bagaimanapun, kajian yang dibuat untuk paparan Majalah 3 sekadar menyentuh isu asas. Penggambaran juga tidak lama sekitar tiga hari namun saya memperoleh satu pengalaman yang cukup berharga di situ.

"Justeru, apabila Finas membuka peluang ini saya terpanggil untuk kembali memaparkannya kerana paparan itu sarat unsur budaya, alam semula jadi serta tarikan kepada penonton," katanya.

Abdul Hamid berkata, seperkara yang menarik mengenai dokumentari Honey Hunters ialah paparan cara hidup serta keunikan proses mengambil madu di kawasan Lembah Tualang, Pedu.

Tidak sekadar itu, Honey Hunters juga membawa khalayak mendalami pelbagai isu lain yang memberi kesan kepada kualiti madu yang dihasilkan serta alam sekitar.

"Proses pengumpulan madu masih menggunakan cara tradisional, namun kupasan Honey Hunters tidak sekadar menyentuh isu itu.

"Kami cuba mengupas isu lain yang memberi kesan kepada aktiviti yang diwarisi turun temurun ini. Perubahan cuaca, selain isu perhutanan seperti pembakaran, jerebu serta pembalakan haram turut memberi kesan apabila sarang lebah yang menghasilkan mutu madu terbaik di dunia itu semakin berkurangan.

"Kami juga memaparkan pelbagai masalah termasuk teknik pencarian madu yang moden serta kes kecurian sarang lebah yang menyebabkan pemburu madu kehilangan punca pendapatan," katanya.

Agak bertuah kerana bajet besar yang disediakan untuk produksi itu membolehkannya mempelbagaikan teknik dan kepakaran untuk mendapatkan syot menarik.

Pernah katanya, hanya untuk mendapatkan satu syot yang diingini mereka berbelanja sekitar RM12 ribu dan itu memberikan kepuasan kepada dirinya sebagai penerbit.

"Bajet besar seperti ini memberi kami lebih ruang dan masa untuk melakukan kajian, selain turut memberi tumpuan kepada proses penyuntingan serta pasca produksi yang lain.

"Untuk menyempurnakan semua ini, proses penyuntingan dibuat beberapa kali kerana dokumentari ini tidak hanya ditayangkan untuk siaran tempatan sebaliknya membawa nama Malaysia ke mata dunia," katanya.

Lulusan Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, besar harapannya supaya kerjasama itu dipanjangkan supaya lebih banyak perkara menarik mengenai budaya serta kehidupan masyarakat Malaysia diketengahkan ke persada antarabangsa.

"Perkongsian kepakaran ini memberi ruang kepada penerbit tempatan untuk meneroka sisi penerbitan bertaraf antarabangsa, malah menjual kelebihan kita menerusi produksi bermutu seperti ini.

"Ia juga menjadi penggerak kepada penerbit lain yang berminat untuk turut serta mencurahkan ilmu dan kepakaran seterusnya memperkasakan penerbitan dokumentari tempatan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: