Monday, August 10, 2009

Buat yang wajib saja!


MAJLIS pernikahan Norman Abdul Halim dan Shireen Hasim, di Masjid Saidina Umar Al-Khattab Bukit Damansara, Jumaat lalu.

Norman Abdul Halim, Dr Shireen Mardziah Hashim selamat diijabkabulkan Jumaat lalu di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara

TIADA paluan kompang, tidak ada majlis persandingan seperti yang biasa dilakukan oleh pasangan yang bergelar raja sehari. Yang ada hanyalah perkara yang wajib iaitu ijab dan kabul.

Biarpun pengantin lelakinya memegang status artis dan yang sering dinantikan siapakah wanita bertuah yang bakal bertakhta dalam hidupnya, namun bagi Norman Abdul Halim atau lebih dikenali sebagai Norman KRU, apabila sampai seru dan tiba masanya untuk dia mengakhiri zaman bujangnya, biarlah majlis perkahwinannya nanti diadakan dengan cara yang cukup sederhana.

Memilih Dr Shireen Mardziah Hashim sebagai suri hidupnya, Norman yang begitu segak memakai baju Melayu serba putih, selamat bergelar suami kepada Ketua Pegawai Eksekutif KRU International itu dengan hanya sekali lafaz saja.

Berlokasikan Masjid Saidina Umar Al- Khattab di Bukit Damansara, Norman dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Mohamed Hashim di depan Ketua Imam masjid berkenaan, Mohamad Shukeri Yaaccob.

Dengan terlafaznya ikrar suci daripada Norman itu, maka terlerai sudah rahsia yang disimpan kemas dalam genggaman pasangan ini. Selama dua tahun menjalinkan hubungan, sekelumit pun kisah percintaan mereka tidak berjaya dibongkar media.

TENGKU Muda Pahang dan isteri, Cik Puan Muda Julita Aishah turut mencemar duli menghadiri majlis pernikahan Norman.

Malah, sehingga tarikh pernikahan mereka yang semakin hampir, masih ramai yang tertanya-tanya bilakah abang sulung kumpulan trio KRU ini hendak mendirikan rumah tangga. Bijak sungguh kedua-dua mempelai ini merahsiakan hubungan mereka dari pengetahuan ramai.

Mengulas tindakan mereka itu, Norman berkata, walaupun dirinya bergelar artis, itu bukanlah pasport untuknya mendedahkan kisah peribadi mereka untuk menjadi tatapan khalayak.

"Kami bukan saja berniat untuk merahsiakan hubungan kami kepada orang ramai termasuk media, malah pernah juga kami merancang untuk berkahwin di luar negara iaitu di Sydney, Australia.

"Kami tidak mahu menghadapi tekanan dari luar apabila kisah cinta kami ini diketahui ramai. Saya lebih suka majlis perkahwinan kami dibuat secara sederhana dan buat apa yang wajib saja.

KUCUPAN Norman untuk isteri tersayang.

"Sebab itulah kalau ada yang perasan, semakin dekat dengan hari kami bernikah, saya tidak jawab panggilan atau balas SMS. Bukannya apa, kebanyakan panggilan itu semuanya mahukan saya buat sesi fotografi bersama Shireen. Kami tak mahu terlalu menggembar-gemburkan perkahwinan ini dan kami lebih suka low profile," jelas Norman ketika ditemui selepas majlis pernikahannya itu berakhir.

Antara yang hadir ialah ibu bapa Norman, Abdul Halim Kamal dan Zarina AW Fenner, adik-beradiknya; Yusry, Edry dan Halina serta ahli keluarga Shireen, saudara-mara dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak.

Turut memeriahkan majlis, Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan isteri Cik Puan Muda Julita Aishah, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta rakan artis seperti Mawi, Ekin, Maya Karin, Fara Fauzana dan Datuk Shake.

"Rasa tenang, tenteram di sisi Shireen'

NORMAN adalah antara artis lelaki yang sering diburu virus gosip, namun tidak ada satu pun yang mampu menjangkitinya. Sebaliknya, hati lelakinya itu berjaya ditawan Shireen, seorang wanita biasa yang bukan dari kalangan artis.

"Memang sejak dulu lagi saya memang mencari pasangan hidup yang bukan di kalangan artis, biarpun sebelum ini gosip cinta saya lebih menjurus dengan golongan itu. Sebagai seorang artis, saya tahu betapa susahnya jika pasangan kita sama-sama berada dalam dunia glamor. Memang banyak dugaannya. Justeru, apabila bertemu dengan Shireen, saya lihat dia adalah wanita yang sesuai untuk dijadikan calon isteri.

"Kematangannya dan kesabarannya cukup memikat hati saya. Biarpun ramai yang menuduhnya menyertai syarikat KRU kerana ingin memikat saya, namun apa yang ingin saya katakan, saya mengenalinya sejak 11 tahun lalu. Waktu itu kami hanyalah kawan biasa.

"Kalau di Barat, mereka mengamalkan bersekedudukan untuk mengenali pasangan mereka dengan lebih dekat lagi sebelum mendirikan rumah tangga, saya gunakan waktu dia bekerja di syarikat saya itu untuk mengenalinya dengan lebih rapat. Shireen banyak membantu saya. Dia bukan saja seorang isteri, tetapi juga seorang teman. Saya rasa tenang dan tenteram apabila bersamanya," puji Norman.

Ditanya apakah Shireen akan meneruskan tugasnya di KRU International selepas bergelar isteri, Norman berkata dia sebenarnya lebih suka jika isterinya itu bergelar suri rumah sepenuh masa.

"Saya lebih suka jika Shireen berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Saya menjadikan keluarga Edry sebagai contoh. Bukan mudah untuk Milia membesarkan tiga orang anak dan saya kagum dengan apa yang dilakukannya itu. Kalau boleh saya mahu Shireen mengikut jejak langkah Milia, jaga anak dan keluarga," luah Norman yang mahukan cahaya mata secepat mungkin.

Hati yang ikhlas ganti wang hantaran

SEJAK temu bual berlangsung, Shireen yang cukup anggun mengenakan kurung moden rona putih dan berselendang, hanya membiarkan si suami itu bercerita kepada media, manakala dirinya lebih selesa mendiamkan diri.

Bak kata Norman, isterinya itu seorang yang pemalu dan disebabkan itulah mereka lebih selesa mengadakan majlis perkahwinan serba sederhana kerana tidak mahu terlalu menjadi tumpuan lensa kamera.

Sebagai wanita yang berjaya mencuri hati Norman, pastinya ramai yang ingin tahu apakah yang membuatkan dia memilih Norman sebagai calon suami.

"Bagi saya, Norman seorang lelaki yang memahami diri ini dan saya tertarik dengan keikhlasan dirinya. Biarpun dia seorang selebriti popular tapi dia tidak pernah menjadikan perkara itu sebagai penghalang hubungan kami.

"Saya sedar, bersuamikan artis popular bererti saya perlu bersedia untuk berdepan dengan pelbagai gosip liar. Dalam sesebuah hubungan, kejujuran adalah amat penting. Kita tidak boleh percaya sesuatu gosip itu tanpa berbincang dengan suami terlebih dulu," kata wanita yang dilahirkan di England ini.

Pada majlis itu, selain mas kahwin bernilai RM3,000, Shireen juga menerima tujuh dulang hantaran berbalas lima untuk pengantin lelaki. Bagaimanapun, tiada wang hantaran yang diberikan.

Ditanya mengenai perkara itu, sambil tersenyum Norman berkata, "Saya hanya bagi sekeping hati yang ikhlas kepadanya."

Kelmarin, pasangan ini berangkat ke New Zealand untuk berbulan madu selama seminggu. Ditanya apakah akan ada majlis resepsi selepas ini, Norman berkata, mereka tidak akan berbuat demikian.

"Untuk majlis hari ini pun kami buat secara ala kadar. Kesempatan ini saya ingin meminta maaf kepada semua rakan dan teman artis kerana tidak dapat mengundang mereka semua. Lagi pun memang saya sudah nyatakan lebih awal yang majlis ini akan dibuat secara sederhana. Bagaimanapun, mereka masih boleh bertemu isteri saya dalam majlis lain yang akan dikendalikan KRU seperti majlis rumah terbuka hari raya atau pembukaan pejabat baru kami di Cyberjaya. Di sana nanti mereka boleh berkenalan dengan isteri saya," ujar Norman sambil meminta peminatnya mendoakan kebahagiaan rumah tangganya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: