Monday, August 10, 2009

FFM22 tebus kekecewaan


LIYANA Jasmay dan Salina ceria bersama trofi kemenangan pada FFM22.

Liyana ucap terima kasih kepada Rosyam, Bade kerana perkenalkannya kepada dunia seni

KEINGINANNYA cuma mahu namanya tersenarai dalam Top 5, namun Tuhan memberikannya lebih daripada itu. Pernah dulu harapan menggunung yang diletakkan kepadanya tersasar apabila trofi Pelakon Harapan Wanita Terbaik beralih kepada pelakon lain tetapi Sabtu lalu, Liyana Jasmay sudah mampu tersenyum lebar.

Gadis bertubuh kecil molek berusia 21 tahun itu diiktiraf Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke- 22 (FFM22) mengenepikan pencabar terdekat, Nabila Huda dan Nadia Mustafar, yang disebut-sebut bakal menjulang trofi rebutan itu.

Tuah watak ringkas namun sarat pergolakan dalam jiwa remajanya sebagai Miasara dalam filem komedi drama garapan Afdlin Shauki menjawab segala doa Liyana atau mesra disapa Nana selama ini.

"Syukur kerana ini kali pertama saya membolosi Top 5 Pelakon Wanita Terbaik dan memenanginya. Lebih membuat saya gembira kemenangan ini diterima menerusi Papadom yang turut diangkat sebagai Filem Terbaik.

"Jujurnya saya cuma berharap untuk tersenarai tetapi tidak menaruh harapan terlalu tinggi untuk menang kerana calon lain terutama Nabila memberikan persembahan yang cukup baik," katanya.

Mariani

Lebih menggembirakan Liyana atau juga dikenali dengan nama pentas, LJ, Papadom juga memperlihatkan dimensi baru lakonannya di layar perak apabila tidak lagi disuakan dengan watak hitam seperti yang pernah dijayakannya dalam Castello dan Kami The Movie.

Sekalipun watak yang diserahkan kepadanya itu ringan dan ringkas, tetapi ia tetap memberikan cabaran kepada Liyana untuk merealisasikan peranan itu dengan sebaik mungkin.

"Ringan tidak bermakna mudah dan untuk menjadi pelakon yang baik, tidak semestinya dibuktikan dengan membawakan peranan berat atau watak hitam. Saya menyedari untuk menjadi sesuatu yang bukan diri kita adalah perkara paling sukar tetapi saya gembira kerana dapat melakukannya menerusi Papadom.

"Saya bangga menjadi sebahagian daripada kejayaan Papadom," katanya mengenai filem yang diterbitkan Tayangan Unggul itu.

Liyana berkata, saat trofi itu berada dalam genggaman ingatannya pantas berputar ketika dia memulakan langkah ke dunia perfileman menerusi filem arahan Bade Haji Azmi, Castello.

Katanya, ketika itu Bade dan pelakon utama Castello, Rosyam Nor menaruh harapan dia akan memenangi trofi Pelakon Harapan Wanita Terbaik namun malangnya impian itu tidak menjadi kenyataan.

"Saya tahu mereka kecewa dengan kekalahan itu tetapi malam ini, saya ingin berterima kasih kepada dua nama berkenaan yang memperkenalkan saya kepada dunia lakonan," katanya.

Anggun dalam persalinan biru firus polos rekaan pereka kegemarannya, Jovian Mandagie, Liyana berkata, kejayaan itu turut melahirkan kebimbangan kepada dirinya kerana pastinya peminat mendambakan sesuatu yang lebih hebat daripadanya.

Akur magis dalam dunia lakonan tidak datang sendirian jika aura itu tidak dirasai ketika berada di lokasi penggambaran, Liyana berkata, kejayaan memberikannya tekanan namun dia sedar akan kekurangan dirinya.

"Saya pasti berbuat silap namun itu mempunyai kebaikannya kerana kesilapan adalah proses pembelajaran untuk saya menjadi lebih baik. Saya lebih selesa bertatih perlahan, mengalami kekalahan dan apabila menang saya akan lebih menghargainya," kata gadis yang petah berbicara ini.

Sementara itu, Salina Saibi yang memberikan lakonan berkesan dalam filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam berkata, segala usaha serta kerja kerasnya di lokasi berbaloi apabila diangkat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Akui Salina, Bohsia memberikannya cabaran besar apatah lagi tawaran itu diterima ketika dia sudah bergelar isteri.

"Ketika menerima skrip, saya terlebih dulu berbincang dengan suami kerana terpaksa melakonkan banyak adegan mendebarkan tetapi apabila diberi lampu hijau, saya tutup mata dan menjalankan tanggungjawab itu dengan baik.

"Biarpun ada beberapa babak yang saya agak kurang berpuas hati dengan persembahan saya, namun saya bersyukur kerana semua kepenatan itu berakhir dengan anugerah ini.

"Mungkin juga tuah anak dan saya berharap kemenangan ini akan membawa saya melangkah lebih jauh dalam industri," katanya penuh pengharapan.

Merendah diri dengan menganggap dirinya bukan pelakon popular, apatah lagi Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam adalah filem pertama lakonannya, Salina yang sudah lapan tahun berlakon berkata, dia tidak mengejar pengiktirafan atau populariti.

Sebaliknya dia berada di pentas lakonan untuk berkongsi bakat serta memeriahkan industri hiburan tanpa terarah untuk memilih berada dalam senarai popular.

Baginya setiap watak sama ada hitam atau putih adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan Salina tidak kisah jika peranan gelap terus diserahkan kepadanya.

"Ia bukan masalah besar kerana saya seorang yang sanggup dicabar," katanya.

Enam dekad mewarnai dunia lakonan:

ENAM dekad mengabdikan diri sebagai anak seni, istilah bersara tiada dalam hidup seniwati Mariani yang diangkat sebagai penerima anugerah khas, Artis Veteran Wanita.

Berterima kasih kepada persatuan hiburan seperti Seniman, Gafim serta Finas dan peminat yang menyokong perjalanan kariernya selama 60 tahun, Mariani turut mendedikasikan pengiktirafan itu kepada anak bongsunya, Melissa Saila atau Lis.

"Lis selalu sabar dengan mummy kerana kalau boleh dia mahu melihat mummy di rumah dan berehat sebab sudah terlalu lama bekerja. Tetapi mummy jenis yang tak boleh duduk diam nanti badan jadi sakit.

"Mummy sentiasa berpesan kepada diri jika tidak diberi pengiktirafan sekali pun, mummy akan terus berlakon selagi diberikan Tuhan minda dan kesihatan yang membolehkan mummy mengingati serta menghafal skrip dan dialog," katanya.

Sudah melakonkan pelbagai watak, kakak kepada Biduanita Negara, Allahyarham Saloma itu berkata, anak-anaknya bagaimanapun tidak menyukai dia melakonkan watak seram.

"Mereka tidak suka sehinggakan mummy terpaksa meminta maaf kepada pengarah apabila terpaksa menolak tawaran diberikan. Mungkin mereka tidak mahu mummy susah kerana untuk mekap dan menanggalkan solekan memakan masa berjam-jam.

"Ada ketika mummy terpaksa membawa cucu ke lokasi untuk menjaga kerana tidak senang berlakon watak hantu," katanya.

Mariani juga berterima kasih kepada kerajaan Sabah yang melayani mereka dengan baik, malah katanya, pengiktirafan terhadap bintang legenda seharusnya diteruskan selagi hayat mereka dikandung badan.

"Mummy tersentuh dengan usaha kerajaan Sabah yang menganjurkan Malam Bintang Legenda. Walaupun tidak menerima apa-apa pengiktirafan pada malam itu, mummy tetap berbangga.

"Seharusnya setiap festival menganjurkan acara seperti ini kerana bintang legenda yang masih ada boleh dibilang dengan jari. Kalau bukan kita mengenang mereka sekarang, bila lagi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: