KUALA LUMPUR - Sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 yang akan diadakan di Dataran Parlimen Isnin ini dijangka berlangsung selama 40 minit dengan jumlah pesertanya terhad kepada kira-kira 8,600 orang.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sambutan sederhana tahun ini mengambil kira keadaan wabak influenza A (H1N1) dan bagi menghormati bulan Ramadan.
"Walaupun sambutannya sederhana tapi impaknya tidak kurang," katanya dalam satu sidang media khas mengenai sambutan itu di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini semalam.
Beliau berkata, kira-kira 1,600 orang termasuk Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, anggota jemaah menteri, Ketua Setiausaha Negara, Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara, ketua pembangkang dan anggota Parlimen serta duta dan perwakilan asing akan berada di pekarangan Parlimen.
Seramai 6,000 rakyat akan membentuk dua barisan dan akan memenuhi sepanjang jalan bermula dari bulatan Bank Negara hingga ke pintu gerbang Parlimen.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: