|
|
SHAH ALAM - Kedatangan lima pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada 15 Julai lalu bukan untuk menyerbu pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah di tingkat 15 premis berkenaan.
Sebaliknya mereka ke situ untuk mengambil dokumen berkaitan siasatan kes penyelewengan peruntukan ADUN terbabit yang juga Exco kerajaan negeri, kata Penolong Penguasa Mohd. Najeib Ahmad Walat, 29, dalam keterangannya pada prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock di Mahkamah Koroner di sini semalam.
Malah Mohd. Najeib yang bertugas di unit perisikan SPRM Selangor tidak bersetuju dengan andaian peguam pemerhati Hian Wah, Salim Bashir yang mengatakan mereka menyerbu pejabat Exco terbabit disebabkan tidak membawa notis geledah pada masa itu.
Bagaimanapun, di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas, dia bersetuju dengan andaian Salim apabila peguam itu mengatakan Beng Hock dan Hian Wah dilihat gelisah kerana tidak bersedia menerima kedatangan SPRM.
Peguam pemerhati mewakili SPRM, Datuk Abdul Razak Musa dalam soalan balasnya selepas itu bertanya kepada Mohd. Najeib yang merupakan saksi ke-18, adakah apa-apa dokumen boleh didapati jika mereka memaklumkan kedatangan lebih awal. Saksi itu dengan tegas menjawab: "Tidak. Sekiranya dimaklumkan lebih awal, pihak berkenaan boleh menyembunyikan dokumen yang diperlukan."
Terdahulu, peguam mewakili Kerajaan Malaysia, Tan Hock Chuan ingin mengetahui mengenai hasil pemeriksaan pada meja kerja Beng Hock di pejabat SUK. Mohd. Najeib berkata, dia menemui empat invois kerja dan empat surat permohonan meminta sumbangan di DUN Seri Kembangan masing-masing dari komputer riba dan unit pemprosesan pusat (CPU) di situ.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: