Monday, April 20, 2009

Watak Mat Rempit menjadi dalam filem Bohsia...Acai


MEMENTINGKAN kesempurnaan, Saheizy Sam Abdul Samad, 26, berasakan aksinya dalam filem sulung lakonannya, Bohsia (Jangan Pilih Jalan Hitam), masih banyak yang boleh diperbaiki.

Lakonan cemerlangnya sebagai Mat Rempit bernama Acai, mendapat pujian sebaik sesi pratonton filem itu di GSC, Midvalley, baru-baru ini. Berperwatakan lemah lembut apabila dia berkata-kata, namun di layar perak, Shaheizy menunjukkan aksi sebaliknya dalam Bohsia, kasar dan sikapnya menyakitkan hati.

Dalam filem itu, Syamsul Yusuf selaku pengarah menggandingkannya dengan Salina Saibi (Amy).

Syamsul (Mus) yang turut berlakon dalam filem itu berpasangan dengan Nabila Huda (Tasya).

"Untuk menghidupkan watak Acai, saya ada kawan di kalangan Mat Rempit. Saya amati perwatakan, gaya dan cara mereka berkomunikasi serta bahasa yang biasa dipakai sesama mereka. Bagaimanapun, saya adunkan watak Acai mengikut cara saya sendiri.

"Meskipun ada yang puji lakonan saya bagus tetapi selepas menonton Bohsia, saya rasa boleh buat lebih bagus dan banyak lagi aksi yang boleh dilakukan.

"Saya sangat mementingkan kesempurnaan. Jadi saya mahu lihat semua hasil kerja saya bagus dan sempurna. Baik berlakon drama atau filem, saya ingin buat yang terbaik untuk penonton. Apatah lagi Bohsia filem sulung lakonan saya dan saya mahu watak Acai itu nampak semula jadi," katanya.

Tambah Shaheizy, walaupun dia melakonkan watak hitam tetapi dia percaya pasti ada sisi baik pada seseorang itu kerana tiada manusia yang sempurna di sisi Allah.

"Sejahat manapun manusia, tentu ada kebaikan dalam dirinya. Begitu juga apabila orang itu kita nampak baik, siapa tahu dia mempunyai hati yang busuk.

"Pengarah biasa bagi saya watak hitam, namun saya juga suka melakonkan watak baik supaya lakonan saya tidak kelihatan stereotaip. Saya anggap watak baik sebagai satu eksperimen di mana dalam kebaikan watak yang ditonjolkan, ada unsur nakal," katanya.



Mengulas lakonannya yang ada sedikit persamaan dengan Zulhuzaimy Marzuki dalam filem Rempit, jelas Shaheizy yang juga adik Zizie Ezzette, selalunya orang jahat digambarkan serius dan jalan mesti 'berkepak'.



Justeru, dia dan Zulhuzaimy cuba lari daripada perwatakan yang klise seperti itu sehingga penonton menganggap ada persamaan antara mereka berdua.

"Apapun anggapan penonton terhadap persamaan yang mungkin ada di antara saya dan Zulhuzaimy, namun apa yang saya lakukan supaya setiap perlakuan saya dalam Bohsia akan diingati penonton.

Adakala aksi dan tindakan kita lebih memberi kesan daripada dialog yang diucapkan. Saya berharap penonton dapat menerima kemunculan saya dalam filem ini," katanya.

Melihatkan lakonannya yang cemerlang, ada menyangka dia pernah mendalami ilmu lakonan teater. Bagaimanapun, katanya, dia tidak pernah muncul dalam mana-mana persembahan teater tanah air.

Anak bujang dramatis Khaty Fauziah itu memulakan kerjaya lakonan dalam filem Sama Tapi Tak Serupa pada 1994.

"Ia berlaku secara tidak sengaja apabila saya mengikut Zizie ke lokasi penggambaran filem itu. Dapatlah saya muncul dalam dua babak. Masa itu saya baru berusia 12 tahun.

"Dari situ, bakat lakonan saya semakin berkembang dengan berlakon drama. Saya pelakon yang malu hendak pergi uji bakat, kalau ada tawaran saya pergi.

"Antara watak yang saya diidamkan ialah penghidap autisme, pesakit mental, psiko dan watak perempuan. Sebenarnya, saya teringin hendak mencuba nasib berlakon filem Raja Azmi, Anu Dalam Botol tetapi masalahnya saya malu pergi uji bakat. Pada saya, memainkan watak perempuan sangat menarik kerana berlainan daripada watak lain. Perempuan ini jiwanya lembut," katanya yang mengakui dia lelaki sejati.

Antara drama yang pernah dilakonkannya, Kasanova XXL, KL Menjerit The Series, Impak Maksima The Series dan Ali Din.

Bohsia adalah filem ketiga arahan Syamsul, terbitan bersama Skop Productions Sdn Bhd dan Grand Brilliance Sdn Bhd.

Hadir sama pada pratonton filem itu, Pengurus Besar Grand Brilliance Sdn Bhd, Ahmad Puad Onah, penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam dan pelakon Bohsia, Nabila Huda, Salina Saibi, Aaron Aziz, Lando Nawawi, Yazid Lim dan Adam Corrie.

Filem itu akan memasuki 60 pawagam di seluruh negara pada 23 April ini dan mendapat kelulusan 18PL. Bohsia memaparkan keadaan sosial remaja kini, namun filem itu dibuat bukanlah untuk mengajar penonton tetapi memberi pengajaran jangan terjerumus ke jalan hitam.

Menurut Yusof, tajuk Bohsia itu kedengaran agak kasar, jadi mereka bersetuju menambah sebaris kata 'Jangan Pilih Jalan Hitam'. Jadi maksudnya tidak keras sangat.

"Tajuk filem itu sendiri menyelitkan pengajaran dan Allah beri kita akal untuk memilih jalan hitam atau putih. Kepada penonton, jangan pandang filem itu dari sudut negatif saja," katanya.

Syamsul pula berkata, sebagai pembikin filem, sukar untuk berpuas hati dengan setiap hasil kerja kerana dia rasa boleh buat baik lagi. Membuat filem aksi ini juga mengundang cabaran tersendiri apabila berlaku kemalangan di lokasi di Ulu Yam tetapi mujur tidak teruk.

"Yang terbabit dalam kemalangan itu pelakon lagak ngeri. Saya buat yang terbaik untuk filem ini bergantung kepada bajet RM1.5 juta. Harap penonton seronok menonton filem ini dan balik modal. Bolehlah saya buat filem lagi.

"Saya puas hati dengan pelakon yang memainkan watak utama kerana mereka memberi lebih daripada apa yang saya mahu. Bahasa yang digunakan adalah bahasa Mat Rempit yang jarang dituturkan orang biasa. Tetapi setiap watak dalam filem ini dapat melafazkannya dengan baik kerana usaha mereka sendiri yang banyak melakukan pemerhatian terhadap Mat Rempit dan bohsia. Bahasa yang mereka gunakan memang kasar.

"Barangkali ada yang bertanya-tanya penamat ceritanya agak tergantung tetapi itulah cara saya. Lagipun saya yakin penonton dapat rumuskan sendiri, jika dia melakukan sesuatu kejahatan, itulah jadinya," katanya.

Salina Saibi yang sedang berpantang selepas kelahiran anak sulungnya berlakon dengan sepenuh hati apabila dia mahu Nasir Bilal Khan yang menjadi bapanya dalam filem itu, memukulnya betul-betul.

"Adegan pukul itu untuk babak akhir Bohsia yang mana selepas dipukul, saya dirogol bapa sendiri. Habis satu badan lebam kerana saya mahu penonton merasakan apa yang saya rasa. Rakaman babak itu dilakukan selama sehari tetapi saya masih tak puas hati, jadi rakaman adegan itu diulang lagi," katanya.

Nabila pula berkata, paling susah ketika kekasihnya, Syamsul buat 'wheeling'.

"Saya yang membonceng motosikal itu sangat takut. Sewaktu saya mengangkat tangan ketika motosikal masih bergerak, rasa hendak jatuh tetapi memang seronok berlakon dalam Bohsia kerana Syamsul pengarah muda yang banyak bertolak ansur dan selalu terima pendapat pelakon. Agaknya kerana sama-sama muda, buah fikiran dan kehendak kami untuk memberikan yang terbaik kepada keseluruhan filem itu dapat diterima," katanya.

Sementara itu, Lando yang juga bekas Mat Rempit berkata, Syamsul banyak bertanya kepadanya mengenai kisah Mat Rempit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: