Thursday, April 9, 2009

Tolak hal peribadi


SEKALIPUN penyanyi dan pelakon Agnes Monica, 22, tidak suka kehidupan peribadinya dikongsi bersama umum, berita pertunangannya dengan pemuda Jepun, Dr Neil Nemeni, tetap dapat dihidu media Indonesia.

Ternyata rahsia di sebalik populariti lagu Matahariku terjawab apabila artis kelahiran Jakarta pada 1 Julai 1986 ini dilamun cinta dengan pemuda dari Negara Matahari Terbit. Namun, setiap kali ditanya kebenaran gosip itu, Agnes menafikannya.

Ini juga bukan kali pertama Agnes menjadi sasaran gosip kerana sebelum ini dikatakan bercinta dengan Bams Samson dan Afgan.

Bagaimanapun, kehadiran pemuda Jepun di majlis pelancaran album barunya, Sacredly Agnezious, 1 April lalu, membuka ruang kepada media untuk bertanya kesahihan berita itu. Pemuda itu kelihatan setia menemani Agnes yang kini tampil dengan imej baru berambut pendek.

Apabila ditanya apakah pemuda Jepun itu adalah Neil yang dikatakan tunangnya, Agnes spontan menafikan.

"Bukan, bukan, salah," katanya.

Bagaimanapun, apabila terus didesak mengenai kebenaran pertunangannya itu, Agnes hanya tersenyum penuh makna dan akhirnya mengatakan memang ada. Bagaimanapun, penyanyi yang mencetuskan kontroversi di Malaysia kerana lagu Allah Peduli Februari lalu, enggan mengulas lanjut mengenai pertunangannya dengan Neil dan lebih berminat bercakap mengenai album barunya.

Ketika media mendekati pemuda itu, dia cuba mengelak dan sekadar memberi kenyataan ringkas dalam bahasa Inggeris bahawa Agnes seorang yang baik dan dia sangat gembira.

Gosip mengenai pertunangan Agnes disiarkan melalui satu program hiburan pertengahan bulan lalu, tetapi dinafikan sekeras-kerasnya penyanyi yang mula melonjak naik dengan lagu Tak Ada Logika.

Dalam satu majlis pada 24 Mac lalu, media turut memberi bukti mengenai gambarnya jalan berpegang tangan bersama jejaka dikenali Dr Neil ketika di Singapura. Namun, Agnes tetap berdolak-dalik sambil bertanya gambar yang mana mereka maksudkan.



Selepas itu Agnes berkata, dia tidak mahu berbicara soal peribadi dengan media apatah lagi membahaskannya untuk makluman umum.

"Bagi saya urusan peribadi seperti cinta dan hal lain terlalu bersifat peribadi dan saya tidak mahu bahaskan dengan media kerana ia bukan sesuatu yang perlu dibicarakan kepada umum. Untuk menyatukan fikiran dan prinsip hidup, perlukan waktu," katanya berlalu pergi.

Ketika majlis pelancaran albumnya yang diadakan di Studio 4, RCTI, bukan saja kehadiran pemuda Jepun itu menarik perhatian wartawan, malah Agnes tampil berbeza dengan rambut pendek.

Ternyata gaya rambut terbaru ini bukanlah atas keinginan Agnes supaya dilihat berbeza, sebaliknya mengakui salah potong hingga rambutnya dipotong pendek.

Apapun kata Agnes, walaupun salah potong dia tidak menyesal kerana berpendapat berambut pendek begitu selesa dan tidak perlu pening memikirkan gaya rambutnya. Malah akui Agnes, rambut pendek ini juga selaras dengan pelancaran album ketiganya.

Majlis pelancaran albumnya turut disaksikan jutaan penonton apabila Agnes mengadakan mini konsert yang disiarkan secara langsung di RCTI. Ia turut diserikan dengan kehadiran Samsons, Hijau Daun dan Armand Maulana yang berkolaborasi dengan Agnes.

Agnes menyampaikan lagu Godai Aku Lagi, Matahariku dan beberapa lagu yang belum pernah dibawakan sebelum ini. Lebih menarik, susunan muziknya diubah dengan sentuhan muzik tradisional dan orkestra oleh Erwin Gutawa.

Kata Agnes, judul Sacredly Agnezious dipilih kerana album terbarunya itu berkisar mengenai dirinya dan dia turut membabitkan diri secara serius dalam pembikinannya.

"Album ini sebenarnya satu karya yang saya hasilkan dan paling ditunggu-tunggu pelancarannya. Sebelum ini menerusi album Nez yang dilancarkan September tahun lalu, kami sengaja hasilkan dalam bentuk edisi terhad dengan dua lagu, Matahariku yang dijadikan soundtrack sinetron Jelita dan juga Godai Aku Lagi.

"Kini barulah yang sebenarnya, tetapi album ini juga dihasilkan dalam dua versi yang satu memuatkan 10 lagu dan satu lagi 13 lagu. Kami juga tampilkan bungkusan yang lengkap dengan kulit album, foto dengan konsep dan lagunya juga berbeza.

"Saya juga tidak hasilkan album setiap tahun sebaliknya bersabar kerana mahukan hasil yang benar-benar bagus. Tiada gunanya keluar album selalu, tapi hasilnya biasa-biasa saja. Sebab itulah saya lebih bersabar kali ini," katanya.

Untuk album ini, Agnes juga bertindak sebagai penerbit kerana mahu pembabitan yang lebih besar dalam menentukan segala perkara yang ingin ditampilkan. Malah menerusi album ini, Agnes sering tampil funky ketika beraksi di pentas, mahu membuktikan kematangan dirinya dalam menghasilkan muzik.

Katanya, ramai pemuzik hebat terbabit dalam pembikinan albumnya. Antaranya Erwin Gutawa, Pay, Dewiq, Yudis dan Sumantri.

"Saya mahukan kepuasan maksimum. Kalau mixing belum mencapai apa yang diinginkan, kami akan ulang sehingga berpuas hati. Saya bertuah kerana mendapat sepenuh kepercayaan daripada syarikat rakaman Aquarius," katanya.

Bagaimanapun, Agnes tidak setuju apabila dikatakan ini album idealis bagi dirinya. Katanya, sebagai produser dia juga perlu memikirkan pasaran dan pada waktu sama sudah tentu tidak akan melacurkan idealisme sendiri sebagai penyanyi dan pemuzik.

"Paling penting ia harus seimbang dengan keinginan peminat kerana akhirnya merekalah penentu album ini. Mereka yang mahu dengar dan apa yang mereka mahu serta apa yang saya inginkan perlu diadun menjadi satu," katanya.

Saat ini Agnes yang juga dikenali sebagai pelakon menerusi sinetron Jelita mengakui memberi tumpuan kepada kegiatan menyanyi dan meninggalkan dunia lakonan buat sementara waktu. Selepas mengukir kejayaan besar di negaranya, Agnes tetap menyimpan impian untuk menembusi pasaran antarabangsa.

"Saat ini saya ingin fokus menyanyi kerana impian saya cuma satu mahu menjadi penghibur yang bisa mencipta lagu. Kalau boleh, saya mahu bekerjasama dengan kumpulan band luar supaya boleh menembusi pasaran luar hingga seluruh dunia," katanya.

Sebagai persediaan merealisasikan impiannya itu, Agnes cuba mengintai peluang di Eropah bersama pengurusnya. Antaranya ke England bekerjasama dengan Vanya, Maurice dan Shawn. Kemudian Agnes ke Korea bergabung dengan kumpulan F4.

Dalam lakonan pula, Agnes berlakon dalam filem The Hospital bersama Jerry Yan serta duet dengan Keith Martin menerusi album Whaddup A...? Pada 15 Mei 2007, Agnes menjadi penyanyi untuk pembukaan konsert Boyz II Men di Istora Senayan, Jakarta.


MATAHARIKU

Tertutup sudah pintu... pintu hatiku
Yang pernah dibuka waktu hanya untukmu
Kini kau pergi dari hidupku
Ku harus relakanmu walau aku tak mau

Berjuta warna pelangi di dalam hati
Sejenak luluh bergening menjauh pergi
Tak ada lagi cahaya suci
Semua nada beranjak aku terdiam sepi

Dengarlah matahariku suara tangisanku
Ku bersedih kerna panah cinta menusuk jantungku
Ucapkan matahariku puisi tentang hidupku
Tentangku yang tak mampu menaklukkan waktu

Berjuta warna pelangi di dalam hati
Sejenak luluh bergening menjauh pergi
Tak ada lagi cahaya suci
Semua nada beranjak aku terdiam sepi


PROFIL
Nama sebenar: Agnes Monica Muljoto
Tarikh lahir: 1 Julai 1986
Tempat lahir: Jakarta, Indonesia
Agama: Kristian
Hobi: Ice skate dan badminton
Berat: 49 kilogram
Tinggi: 165 sentimeter
Kerjaya: Penyanyi, pelakon
Sinetron: Pernikahan Dini, Jelita, Kawin Massal
Pencapaian: Most Favorite Female' MTV 2006, Artis Solo Wanita Terbaik dan Penyanyi R&B Terbaik di Anugerah Musik Indonesia (AMI) 2006, Artis Terpopuler 2006, Indonesia Kids Choice Award 2008, Most Favourite Female melalui single Matahariku di Anugerah MTV Indonesia 2008.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: