Saturday, April 11, 2009

Tekanan udara punca bil naik


GAMBAR rajah menunjukkan proses gangguan bekalan air yang dihadapi penduduk Pasir Puteh.





KOTA BHARU - Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) tidak menolak kemungkinan peningkatan kadar bayaran bil air yang membabitkan 1,000 pengguna di sekitar bandar Pasir Puteh semalam disebabkan tekanan udara mampat pada saluran paip air.

Pengurus Besarnya, Mohd. Suhaimi Mohd. Jusoh berkata, keadaan tersebut dipercayai berlaku terutama selepas kerja-kerja membaik pulih sistem paip dijalankan oleh syarikatnya baru-baru ini.

Menurut beliau, udara mampat memenuhi ruang dalam paip sekiranya berlaku tekanan rendah dan seterusnya mempengaruhi bacaan meter pengguna terbabit.

"Kita tidak menolak perkara tersebut berlaku kerana angin yang kuat juga mampu menggerakkan meter tetapi kebiasaannya ia tidak sebegitu ketara sehingga menyebabkan bil pengguna meningkat sehingga dua kali ganda.

"Perkara tersebut perlu diperincikan dan kita kena mengkaji dengan lebih mendalam mengenai punca perkara tersebut berlaku,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan 1,000 pengguna di sekitar bandar Pasir Puteh yang mendakwa terpaksa membayar bil air hingga dua kali ganda daripada kebiasaannya setiap bulan berikutan bekalan air yang disediakan bercampur udara mampat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: