Thursday, April 2, 2009

Soseh Soseh: Kedai buku cekup artis panjang tangan


MEMBACA buku memang bagus untuk tambah ilmu pengetahuan. Tidak hairanlah pelbagai promosi dan kempen dijalankan kerajaan untuk menggalakkan masyarakat membaca bermula peringkat akar umbi.

Bahan bacaan merangkumi pelbagai bentuk. Ada yang meminati bacaan bercorak ringan seperti majalah, komik dan hiburan tidak kurang juga yang meminati bacaan seperti buku agama, pelancongan, sukan dan masakan.

SS tertarik dengan cerita yang disampaikan teman SS mengenai kecenderungan pelakon lelaki yang menjayakan drama televisyen popular terhadap buku. Bukan apa, SS dapat tahu pelakon berkenaan sering berkunjung ke kedai buku popular di pusat membeli-belah terkemuka ibu negara.

Minat yang ditunjukkan pelakon berkenaan sememangnya cukup baik. Di samping aktif dalam bidang seni tindakan pelakon itu membuktikan anak seni tempatan juga tidak lupa menambah pengetahuan dengan berkunjung ke kedai buku.

Tapi, alangkah terkejutnya SS apabila mendapat tahu kecenderungan pelakon berkenaan. Kekerapan pelakon itu berkunjung ke kedai itu mempunyai cerita tersendiri. Rupa-rupanya dia panjang tangan dan suka mengambil buku-buku mahal.

Tindakan pelakon ini rupa-rupanya sudah menjadi perhatian pekerja di kedai buku itu apabila setiap kali berkunjung ke kedai berkenaan, ada saja buku yang diambilnya terutama buku yang diterbitkan dari luar negara.

Selepas beberapa kali memerhatikan kelakuan pelakon berkenaan, SS difahamkan, pekerja di kedai buku itu mula pasang perangkap untuk menangkap perbuatannya.

Apabila ditangkap, pelakon itu merayu kepada pihak pengurusan kedai buku berkenaan untuk tidak membawa perkara itu di muka pengadilan.

Alasannya tidak mahu menjejaskan nama drama dan produksi yang dijayakannya apatah lagi drama itu memang dikenali dengan ketangkasan polis menjalankan tugas membenteras jenayah. Dia merayu perkara itu diselesaikan cara baik.

SS paparkan perkara ini bukan mahu aibkan nama pelakon itu tapi berharap ia menjadi pengajaran kepada orang lain. Sikap panjang tangan itu tidak sepatutnya berlaku. Mungkin kali ini dia bernasib baik kerana pihak pengurusan kedai buku itu tidak membawa perkara itu ke tengah, kalau tidak bukankah memalukan?



Ingatlah pepatah, sepandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tangan juga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: