Jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya menceritakan liku-liku kehidupannya semasa 10 tahun bergelar janda selepas kegagalan perkahwinan pertama. Kini, dia menuntut fasakh daripada suami keduanya, Nash. Adakah dia belum serik?
DUA belas tahun lalu, wanita ini pernah menjaja produk kecantikan dari rumah ke rumah sambil mengendong bayinya semata-mata untuk mendapatkan wang bagi menyara enam anaknya yang masih kecil selepas suami yang dahulu menjadi tempat bergantung menceraikannya.
Biarpun tidak pernah keluar bekerja sepanjang bergelar isteri, Sosilawati Lawiya, 46, yang lebih mesra dipanggil Wati, tidak menjadikannya sebagai alasan untuk mengharap belas ehsan daripada orang lain bagi meneruskan kehidupan.
Malah, menurut wanita cekal kelahiran Sri Medan, Batu Pahat, Johor ini, status janda beranak enam yang disandang pada usia awal 30-an menjadikannya lebih berani untuk menongkah liku-liku kehidupan.
Yakin bahawa tiada yang mustahil dan kesanggupan untuk belajar serta bekerja keras, Wati tidak membiarkan walang di hati berpanjangan.
"Saya akui, tahun pertama bergelar janda merupakan fasa kehidupan yang perit untuk saya lebih-lebih lagi di bahu saya tergalas tanggungjawab untuk memastikan anak-anak membesar dengan sempurna.
"Saya tak nafikan status janda ini sebenarnya memberi saya kekuatan kerana ia menyedarkan saya bahawa saya mesti bekerja keras kerana saya adalah payung untuk anak-anak saya," katanya.
Wati percaya bahawa jodoh dan pertemuan itu urusan Tuhan. Dia reda jika jodohnya bersama bekas suami hanya setakat itu malah tidak keterlaluan jika dikatakan perceraian menjadi pencetus kepada kejayaannya sekarang.
"Siapa yang tidak sedih jika insan yang paling dicintai meninggalkan kita, tetapi saya anggap apa yang terjadi sebagai dugaan. Saya percaya pasti ada hikmah di sebaliknya.
|
|
"Jika perceraian itu tidak berlaku, mungkin saya masih menjadi suri rumah sepenuh masa," ujarnya sambil tersenyum.
Berkat kesabaran dan menganggap kegagalan sebagai pengajaran, Wati gigih mengusahakan rangkaian produk kecantikan Nouvella Visage (NV) malah sudah bergelar jutawan kosmetik pada usia 40-an.
Atas kesungguhannya juga, dia terpilih untuk menerima Anugerah Khas Tokoh Wanita dan Anugerah Wanita Nadi Negara daripada Kerajaan Negeri Johor pada tahun 2007.
Duka perkahwinan kedua
Bertemu cinta dengan vokalis kumpulan rock Lefthanded, Nash atau Nasharudin Elias, 50, hati Wati terbuka untuk berkahwin buat kali kedua selepas 10 tahun menyendiri.
Kali ini harapannya hanyalah satu iaitu mahligai yang dibina kekal hingga ke akhir hayat sementelah jiwanya sudah ralit dengan kegagalan daripada perkahwinan pertama.
Namun, ikatan perkahwinan yang dimeterai pada 16 November 2006 itu mulai retak hanya 10 bulan selepas mereka bergelar suami isteri.
"Saya memang mendambakan rumah tangga yang bahagia dan harmoni sementelah saya juga sudah lama menyendiri.
"Walaupun mewah dengan kasih sayang anak-anak, saya akui jiwa saya kosong apabila tiada lelaki bergelar suami di sisi.
"Bagi saya, setinggi mana pun wanita itu berada, dia masih memerlukan suami di sisinya," katanya yang tuntutan cerai takliknya mula dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Rabu lalu.
Gagal dalam perkahwinan kali kedua tidak bermakna Wati tidak belajar daripada perkahwinannya yang pertama tetapi dia pasrah jika jodohnya dengan Nash hanya setakat itu.
|
|
"Saya percaya semua orang mengimpikan kebahagiaan daripada perkahwinan yang dibina. Saya sudah melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri sebaik mungkin, tetapi jika ini yang tersurat, saya reda," katanya.
Resam janda kaya
Gagal dalam dua perkahwinan bukan sahaja mengundang syak wasangka malah ia menjadi mainan golongan lelaki yang ingin mengambil kesempatan terhadapnya.
"Segelintir masyarakat prejudis pada wanita yang bergelar janda, apatah lagi bila sudah dua kali menjanda seperti saya.
"Saya sudah lali dengan fitnah dan pandangan serong daripada 'pengkritik bebas' dan 'hakim tak bertauliah'. Mungkin sudah menjadi lumrah, mereka jadi susah hati apabila melihat orang lain berjaya," katanya.
Menguruskan perniagaan bernilai jutaan ringgit dengan status janda, Wati mengaku ramai lelaki muda 'jatuh cinta' terhadapnya.
"Memang ramai lelaki yang cuba dekat dengan saya. Kalau niat mereka ikhlas nak berkawan, saya senang hati menerimanya, tapi dalam ramai-ramai itu, ada juga yang ambil kesempatan atas keikhlasan kita.
"Macam-macam cerita sedih keluar masuk telinga saya, yang tak masuk akal pun ada. Kalau memang betul ada kawan yang kesempitan wang, saya bantu setakat mampu, tapi kalau berterusan asyik minta duit, faham-faham sajalah.
"Ada juga isteri-isteri orang yang risau apabila saya berkawan dengan suami mereka, mungkin mereka bimbang kami akan menjalin hubungan istimewa.
"Bergelar janda bukan mudah tetapi saya ambil pendekatan 'kawan atas dasar profesional'. Janda juga manusia biasa. Saya tidak mahu orang memandang rendah pemegang status ini dan hanya melihat kami sebagai pengancam rumah tangga," tegasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: