TEMPIAS penutupan syarikat rakaman dan pengurusan, Maestro Talent & Management Sdn Bhd (Maestro) nampaknya turut dirasai kumpulan rock O-Two. Walaupun kontrak mereka bersama syarikat itu hanyalah membabitkan soal pengedaran serta promosi, namun sedikit sebanyak apa yang berlaku membuatkan kumpulan itu hilang arah.
Menurut ketua kumpulan terbabit, Annuar Sabaruddin, sejak awal lagi dia sudah dapat merasakan bagai ada yang tidak kena apabila salinan kontrak yang sepatutnya diberikan kepada mereka, tidak dilakukan.
“Kami menandatangani satu kontrak perjanjian bersama Maestro pada Mac tahun lalu yang menyatakan syarikat itu bertanggungjawab dalam membantu aspek promosi dan edaran album mereka. Bagaimanapun selepas kontrak itu kami tandatangani tiada sebarang tindakan susulan dilakukan,” jelas Annuar ketika ditemui pada majlis Pelancaran dan Tandatangan Perjanjian antara O-Two bersama IG-Interactive Sdn Bhd, baru-baru ini.
Lebih mengecewakan kumpulan itu ialah mereka juga tidak dimaklumkan mengenai penutupan syarikat yang sudah enam tahun beroperasi itu.
“Kami dapat tahu mengenai penutupan Maestro pun menerusi media. Yang saya hairan, sehari sebelum berita Maestro dihebahkan menerusi media, kami diminta mengambil surat pelepasan daripada Maestro menyatakan mereka tidak mahu terbabit dengan majlis yang kami lakukan.
“Jadi apabila mendapat tahu Maestro ditutup, kami terkejut. Kami tidak tahu apa yang harus dilakukan kerana mereka tidak menghubungi kami. Kami sangat kecewa dengan apa yang berlaku dan berharap masalah ini dapat diselesaikan segera,” luahnya.
Bukan mahu bersikap seperti sudah terhantuk baru tengadah, tetapi kata Annuar, lebih mengecewakan apabila ada banyak janji Maestro yang ditabur sebelum ini tidak ditunaikan.
“Walaupun sebelum ini ada dua syarikat rakaman menawarkan kami untuk menjadi artis mereka namun semuanya kami tolak kerana kami yakin dengan kredibiliti Maestro.
“Lagipun, kalau saya mengikat kontrak dengan mereka, pastinya promosi album kami lebih meluas memandangkan mereka mempunyai ruang publisiti yang agak banyak kerana mereka bernaung di bawah Astro.
“Malangnya, lain yang diharapkan, lain pula yang jadi. Kami pun tak tahu apa yang akan berlaku selepas ini. Mujurlah dalam keadaan terumbang ambing seperti ini hadir syarikat IG-Interactive yang sudi untuk menjadikan kami duta permainan online mereka iaitu Jin Online.
“Sekurang-kurangnya, dengan cara ini kami dapat mempromosikan produk kami kepada peminat,”jelas Annuar yang juga ketua kumpulan O-Two Band.
Mengulas lanjut mengenai tawaran menjadi duta duta itu, Annuar berkata tawaran daripada IG-Interactive itu dianggap sebagai pengubat kekecewaan mereka.
“Kami bukan hanya dilantik sebagai duta produk itu tetapi anggota kumpulan ini turut dijadikan watak maya dalam permainan berkenaan yang menggunakan nama anggota sendiri.
“Orang ramai boleh memuat turun permainan ini menerusi laman web, www.jin.com.my atau cakera padat (CD) diberikan secara percuma apabila pengguna menghantar SMS dengan menaip JINCD FREE (nama)(alamat), dihantar ke 36699,”terang Annuar.
Majlis pelancaran itu disempurnakan Naib Presiden, Perbadanan Pembangunan Multimedia, Kamil Othman. Jadir sama, Naib Ketua Pegawai Eksekutif, IG-Interactive Sdn Bhd, Benjamin Chong.Selain Annuar, kumpulan yang pernah melahirkan album sulung sekitar 2005 berjudul Radio Tanah Melayu turut dianggotai Azlan Ahmad selaku vokalis dan bermain gitar, Haniff Khan (dram) dan Wan Mohd Khairul Zaini Wan Azizan (bass).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: