Saturday, April 18, 2009

Mesti Tonton: Bukan saja seram tapi ganas




Gara-gara abaikan nasihat polis membawa padah mengerikan dalam Friday the 13th

INFO

Filem: Friday the 13th

Genre: Seram

Pengarah: Marcus Nispel

Pelakon: Derek Mears, Jared Padalecki, Danielle Panabaker, Aaron Yoo, Amanda Righetti, Travis Van Winkle, Arlen Escarpeta

Tayangan: Mulai 9 April

SELAMAT pulang Ke Crystal Lake! Di tapak perkhemahan kem musim panas ini, anda akan diburu pembunuh kejam yang mengenakan topeng hoki, Jason Voorhees. Selama hampir tiga dekad, watak pembunuh terbabit menghantui peminat filem seram dan kini tibalah masanya anda kecut perut buat kesekian kali dengan kehadirannya, dalam judul buatan semula yang amat menghiburkan.

Dalam edisi terbaru ini, penonton dibawa mengikuti kisah seorang pemuda, Clay Miller (Jared Padalecki) yang mengembara ke kawasan hutan penuh legenda bagi mencari kakaknya, Whitney (Amanda Righetti), yang hilang di kawasan tasik itu apabila dia dan beberapa rakan berkhemah di situ.

Dalam pencarian itu, Clay bertembung dengan sekumpulan anak muda yang kebetulan bercuti hujung minggu di sebuah rumah pinggir hutan milik ibu bapa seorang daripada anggota kumpulan itu, Trent (Travis Van Winkle).

Tidak menghiraukan amaran polis, Clay meneruskan usaha mengesan kakaknya, dengan bantuan Jenna (Danielle Panabaker), gadis yang turut serta dalam kumpulan percutian berkenaan.

Tidak mereka jangkakan, misi menjejaki wanita terbabit berakhir di sebuah kawasan perkhemahan lama yang dihuni pembunuh kejam paling ditakuti dalam sejarah filem Amerika, Jason. Kini, seorang demi seorang anggota kumpulan terbabit menjadi buruan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang panjang.

Dalam hutan yang liar, Clay dan Jenna harus mencari jalan keluar sebelum mereka turut terkubur di kem berdarah terbabit.

Berbeza dengan filem pertama, garapan terbaru Friday the 13th membawa penonton mengikuti kisah empat filem pertama siri itu ke dalam sebuah judul. Ia dilihat persembahan baru cukup segar dan boleh membuatkan penonton menikmati ceritanya menerusi celah-celah jari saja.

Walaupun sudah berkali-kali diangkat ke layar lebar, kekejaman Jason membunuh mangsa masih menjadi santapan mata popular di kalangan peminat filem seram. Dalam hal ini, kebijaksanaan pengarah menyuntik elemen kejutan dan babak kematian berbeza yang banyak membantu meneruskan populariti siri filem terbabit.

Versi yang ditangani Marcus Nispel (pengarah The Texas Chainsaw Massacre, The Path Finder) ini membawa penonton mengikuti siri pembunuhan kejam oleh Jason yang kali ini mencabut nyawa mangsa dengan pelbagai cara yang tidak dijangka. Bukan hanya dengan hunusan parang tajam, malah lelaki gila ini membunuh dengan apa saja cara terfikir olehnya.

Tidak cukup dengan unsur ngeri, Nispel sediakan pula set yang membuatkan anda sesak di dalamnya. Lombong lama yang dijadikan tempat tinggal Jason, pasti menyebabkan sesetengah penonton berasa putus asa untuk selamat keluar daripada cengkamannya. Pujian buat pereka set yang berupaya menimbulkan elemen klaustrofobia.

Filem ini umpama sebuah permainan roller coaster yang berlarutan sehingga 97 minit. Dari awal, penonton dikejutkan dengan babak pembunuhan dahsyat sehingga ke penghujung cerita.

Pendek kata, jarang sekali anda akan menemui waktu untuk menghela nafas lega selama hampir sejam setengah menyaksikan Clay dan rakan-rakan berusaha menyelamatkan diri daripada si pembunuh gila. Nasib baik kehadiran watak gila-gila Chewie (Aaron Yoo) dan Lawrence (Arlen Escarpeta) sedikit sebanyak dapat meredakan ketegangan dirasa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: