DALAM usaha memartabatkan teater kesenian tradisional, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) mengadakan persembahan Makyung Raja Kecil Dewa Laksana di Panggung Eksperimen, Kuala Lumpur selama tiga hari berakhir esok (12 April). |
Makyung dipersembahkan pelajar Aswara, adalah projek pementasan bagi kursus wajib akademik. Ia program pembelajaran yang diangkat sebagai aktiviti tahunan Aswara dalam memartabatkan teater kesenian tradisional kepada khalayak. Pada wktu sama, pementasan ini dapat merealisasikan proses pembelajaran teori dan latihan studio ke pentas.
Raja Kecil Dewa Laksana mengisahkan Raja Besar Bijak Laksana memerintah negeri Beringin Bernas dan baginda mempunyai adik yang sangat dikasihani, Raja Kecil Dewa Laksana.
Namun begitu, Permaisuri Puteri Melor Sekuntum tidak menyukai Raja Kecil Dewa Laksana dan merancang melakukan sesuatu terhadap adik baginda sepanjang ketiadaan Raja Besar Bijak Laksana melawat setiap negeri yang berada di bawah taklukannya.
Untuk memastikan rancangan jahat itu berjaya, Permaisuri Puteri Melor Sekuntum menghasut kedua anakandanya supaya turut sama memusuhi Raja Kecil Dewa Laksana. Pelbagai seksaan dilakukan terhadap Raja Kecil Dewa Laksana dan dipaksa membuat segala kerja yang tidak sepatutnya dilakukan anak raja.
Rancangan jahat Permaisuri akhirnya berjaya apabila Raja Kecil Dewa Laksana bersama dengan kedua pengasuhnya dihalau keluar dari istana.
Sementara itu di sebuah negeri Medan Bumi Kisaran Payong diperintah raja perempuan yang dipanggil Raja Permaisuri dan mempunyai puteri, Puteri Linang Cahaya.
Keadaan menjadi huru-hara apabila hasrat Raja Gergasi untuk memperisterikan Puteri Linang Cahaya ditolak Raja Permaisuri. Raja Gergasi dan pengikutnya mengamuk dan membunuh pedagang yang datang di negeri Medan Bumi Kisaran Payong.
Untuk meredakan keadaan, Raja Permaisuri menyuruh pengasuhnya memberitahu rakyat jelata sesiapa yang berjaya menghapuskan Raja Gergasi, orang itu akan dikahwinkan dengan Puteri Linang Cahaya dan dilantik menjadi raja.
Berita ini tersebar luas sehingga sampai ke pengetahuan Raja Muda, anak Raja Besar Bijaksana dan Raja Kecil Dewa Laksana. Masing-masing tidak mahu ketinggalan mencuba nasib.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: