Monday, April 27, 2009

Kostum aristokrat Eropah


PAMERAN yang berlangsung di Istana Perancis mengembalikan zaman kegemilangan pakaian diraja pada kurun ke-17 dan ke-18.


BEBERAPA abad yang lalu, Istana Perancis di Versailles pernah dicemburui oleh negara lain di Eropah kerana Raja Louis ke-14 merupakan raja yang pertama mengangkat kepentingan pakaian sebagai simbol kekuasaan monarki.

Sehubungan itu, Istana Perancis dipenuhi dengan hasil tekstil dan busana indah yang sangat mengagumkan. Istana-istana Eropah lain kemudiannya turut bersaing menghasilkan rekaan pakaian yang bertaraf bangsawan seperti di Perancis.

Malah, sebahagian besarnya masih terpelihara. Satu pameran bertema, Upacara diraja dan Istana (pakaian istana) Eropah berlangsung di Istana Perancis baru-baru ini.

Dipamerkan sehingga 28 Jun tahun ini, ia mengembalikan zaman kegemilangan pakaian aristokrat pada kurun ke-17 dan ke-18.

Pengarah Urusan Istana Versailles, Pierre Arizzoli-Clementel memberitahu, kebanyakan barangan yang dipamerkan belum pernah dipamerkan kepada khalayak.

Ini termasuklah jubah fabrik baldu merah pertabalan diraja yang diperbuat daripada sejenis bulu binatang yang julung kalinya dipamerkan.

Baju tersebut ditempatkan sebilik dengan pakaian warna perak dan kostum kain renda Sepanyol yang pernah dipakai oleh Gustav III ketika hari pertabalan beliau pada tahun 1772.

Isteri beliau, Puteri Sopihie Madeline, gemar memakai pakaian stail permaisuri Perancis seperti gaun kembang setinggi enam kaki dan sepanjang lima meter.

Etika di istana menjelaskan panjang sesehelai gaun adalah refleksi kepentingan sesebuah keraian dan status individu yang memakainya.

Selain acara istimewa, Raja Louis XIV telah mengiktiraf pakaian lelaki seperti jaket labuh dan seluar sendat separa lutut yang boleh dipakai oleh pengiring diraja ketika pergi berburu atau dijadikan pakaian harian.

Menurut Timbalan Kurator Pameran, Pascale Gorguet-Ballesteros, pakaian lama mula bertukar menjadi sut moden.

"Dahulu tiada seorang pun wanita boleh masuk ke istana selagi tidak mendapat perkenan dan memakai pakaian yang berharga melebihi RM14,142.

"Hasilnya tukang tenun bersama isteri dan dua orang anaknya boleh menetap di Paris dengan pendapatan sebanyak RM1,602 setahun," jelas Arizzoli-Clementel.

Buku akaun yang disimpan oleh pengeluar kain, Rose Bertin iaitu pengeluar yang diminati oleh Permaisuri Perancis Marie Antoinette menunjukkan, masih banyak lagi bayaran pakaian yang belum dilangsaikan oleh golongan bangsawan.

Lantas Bertin memikirkan langkah yang boleh menambah pendapatannya dengan cara menjual dan mengedarkan anak patung yang menyarungkan fesyen terbaru Versailles.

"Marie Antoineete's bekerja keras untuk fesyen. Dia muda dan cantik tetapi mudah bosan dengan pakaian istana yang kolot," tambahnya.

Marie hanya ingin memakai pakaian yang dianggap bernilai tinggi dalam dunia fesyen dan individu pertama yang mempunyai beberapa koleksi pakaian kasual.

Marie mendapati, baju Inggeris yang diperbuat daripada kain kasa yang ringan, bahagian belakang yang sendat dan skirt labuh di belakang sukar dibawa.

Dalam pameran itu, pengunjung berpeluang melihat sehelai jubah dengan bulu burung merak kepunyaan permaisuri Perancis itu.

Bukan itu sahaja, semua barangan yang dipamerkan mempunyai sentuhan dan tarikan istimewa seperti kasut but tumit merah yang menawan atau rekaan barangan kemas yang dihiasi dengan batu gunung yang terbaik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: