Tuesday, April 28, 2009

Kisah dunia Mat Rempit


EMPAT pelakon utama Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam... dari kiri - Shahiezy Sam, Salina Saibi, Syamsul Yusuf dan Nabila Huda.


FILEM ini adalah filem anak muda yang cuba mengangkat sebahagian atau percikan kehidupan anak-anak muda. Ini adalah dunia anak muda yang khusus di Malaysia, berbangsa Melayu yang menggelar diri mereka Mat Rempit. Mereka adalah anak-anak muda yang mencari keseronokan mudah untuk melupakan kegawatan hidup dan cuba lari daripada permasalahan keluarga. Sebagai eskapisme mereka akan berlumba motor haram dan mendapat keseronokan dengan mencabar pihak polis.

Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam yang ditulis dan diarahkan oleh Syamsul Yusuf yang sebelum ini pernah menghasilkan filem yang dikatakan telah membawa pulangan sebanyak RM3.8 juta. Bohsia adalah istilah mat-mat rempit untuk gadis remaja yang gemar berfoya-foya dan berkumpulan dengan anak-anak muda atau mat rempit yang menunggang motosikal berkuasa rendah (selalunya jenis kapcai).

Mereka dalam kumpulan mat-mat rempit ini mempunyai lingo dan isyarat sendiri yang sememangnya difahami dikalangan mereka. Dalam filem Bohsia ini, adegan-adegan perlumbaan motor haram nampaknya sekadar dijadikan latar untuk pengarahnya menyampaikan mesej-mesej tentang kemerosotan moral anak muda dan kemusnahan institusi kekeluargaan.

Disebabkan sudut pandangan file mini dilihat dari kacamata mat-mat rempit maka filem ini menjadi kasar, iaitu kasar dalam aksi dan kacau dalam bahasa. Filem ini penuh dengan dialog-dialog yang menggunakan lingo yang selalu diucapkan oleh kumpulan mat rempit. Penonton dewasa barangkali akan sukar memahami bahasa maupun isyarat yang mereka gunakan.

Filem Bohsia seperti juga filem-filem lain yang diarahkan oleh Yusuf Haslam dan diterbitkan oleh Skop Productions, sebenarnya adalah filem yang cuba mengisi banyak nilai dan pesanan moral dan kekeluargaan untuk difikirkan oleh remaja. Filem ini memuatkan selengkapnya bentuk-bentuk kehidupan hitam dan negatif yang mesti dijauhi oleh remaja hari ini jika mahu berjaya di masa depan!

Apa yang tidak ada dalam filem ini? Remaja yang mengamalkan kehidupan yang bebas, seks, dadah, perlumbaan haram, pelacuran, pergaduhan geng dan juga sumbang mahram. Semuanya digambarkan dalam grafik dan bahasa yang mengejutkan.

Kacamata generasi baru

Gambaran kehidupan bebas anak-anak muda (mat rempit) yang digambarkan oleh filem ini boleh membuatkan generasi pakcik dan makcik "mengucap" dan menggelengkan kepala. Tetapi bagi pembikin filem, inilah gambaran realiti gelap kehidupan sebahagian anak muda Melayu di Kuala Lumpur. Sungguhpun aktiviti perlumbaan motor haram di kalangan mat rempit sebenarnya sudah ketinggalan dan tidak lagi semasa, kerana aktiviti ini sebenarnya sudah mulai menurun dan barangkali akan hanya menjadi sebahagian daripada sejarah sosial kehidupan anak-anak muda Melayu yang kecewa dalam arus perlumbaan ekonomi.

Filem ini mengisahkan tentang kehidupan dua gadis bohsia Amy (Salina Saibi) dan Tasya (Nabila Huda) dan sekumpulan mat rempit yang menghabiskan masa malam mereka berlumba motor atau berkumpul di pinggir jalan. Tasya yang tidak jelas pekerjaannya selepas dihalau oleh ibunya menjalin hubungan dengan Muz (Syamsul Yusuf) seorang mekanik motosikal. Manakala Amy yang pernah dirogol oleh ayahnya sendiri (Nasir Bilal Khan) berkawan dengan Acai (Shaheizy Sam) seorang anak muda yang mengedar dadah. Manakala Azam (Aaron Aziz) abang kepada Aishah (Diana Danielle) menjalankan kegiatan melacurkan gadis-gadis untuk mendapat kemewahan mudah.

Mengapa kehidupan anak-anak muda ini kacau dan mencari jalan mudah melalui eskapisme ke dalam dunia mat rempit yang liar dan kasar? Jika dilihat dalam filem-filem awal terbitan Skop Production yang diarahkan oleh Yusuf Haslam seperti Maria-Mariana, Bayangan Maut dan Gerak Khas The Movie, semuanya memperlihatkan peranan murni institusi keluarga yang menjalankan tanggungjawab sebagai penyelesai masalah anak-anak. Tetapi dalam Bohsia segala permasalahan anak-anak muda ini bermula daripada kemerosotan dan kemusnahan institusi kekeluargaan, tiadanya pendidikan, adat budaya yang selama ini memagari mereka telah terongkai dan anak-anak muda ini sendiri menjauhkan diri daripada golongan dewasa (generasi tua) yang dianggap gagal menjalankan tanggungjawab mereka.

Jadi, filem Bohsia cuba menyambung segala isu dan permasalahan keluarga yang menjadi tema filem-filem terbitan Skop Productions tetapi kali ini ia dilihat dari kacamata generasi baru, pengarah muda.

Filem Bohsia: daripada judulnya sahaja sudah membuat seruan moral iaitu "Jangan Pilih Jalan Hitam". Sebagai filem aksi, filem ini memang dipadatkan dengan aksi cemas perlumbaan motor, pergaduhan geng anak muda dan aksi seksual yang agak grafik, tetapi untuk perkongsian emosi dan cerita Syamsul perlu lebih bijak mengolah plot ceritanya. Apa yang dipaparkan hanya aksi dan adegan kasar untuk memenuhi struktur penceritaan kisah dan tauladan yang mudah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: