Wednesday, April 8, 2009

"Kami juga remaja biasa"


ABDUL Hadi memakaikan pangkat Timbalan Penghulu Wirawati kepada Diana sambil diperhatikan Komander Kem Princess Haliza, Mejar Muhamad Basri Abd. Rahman.


ENANGGUHKAN penyertaan di dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebelum ini, tiga artis remaja popular, Diana Danielle, 18, Low Sook Yee (Suki), 20, dan Alif atau Muhammad Aliff Mohd. Satar, 19, akhirnya mendaftar diri bagi menjalani program tersebut.

Ditempatkan di Kem Princess Haliza, Sungai Pelek, Sepang, Selangor, Diana melaporkan diri di kem tersebut sejak 19 Mac lalu selepas terpaksa menangguhkannya pada sesi Disember 2008 kerana terikat kontrak berlakon filem Kecoh Betul arahan Baldave Singh.

Juara program realiti One In A Million musim pertama (OIAM1), Suki yang sepatutnya menjalani PLKN dua tahun lalu pula mendaftar pada 1 April lepas manakala Aliff melapor diri keesokan harinya.

Ceria ketika ditemui pada majlis perasmian PLKN bagi Kumpulan 2 Siri 6/2009 yang disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi

Awang Kechil baru-baru ini, Diana, Suki dan Aliff berkongsi cerita penyertaan mereka dalam PLKN dengan media.

Diana contohnya, sepanjang dua minggu berada di Kem Princess Haliza, selain dilantik sebagai Timbalan Penghulu Wirawati, gadis kental ini pada awalnya dituduh sombong oleh sesetengah pelatih.

Begitu juga dengan Suki dan Aliff. Masing-masing punyai cerita tersendiri dan impian sepanjang mengikuti PLKN.

Sementara itu, pada majlis perasmian tersebut berlangsung satu upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara JLKN dan stesen 8TV.

Khusus untuk peminat Diana, Suki dan Aliff, MoU itu sebagai memberi hak kepada 8TV untuk menjalankan rakaman serta menyiarkan perjalanan dan suka duka mereka berada di dalam PLKN.

Program yang dinamakan Project N.S ini akan disiarkan bermula 8 Mei depan pada pukul 9.30 malam.

Di majlis yang sama juga, Kumpulan Utusan tidak lupa memberi sokongan dengan mengedarkan 400 naskhah percuma akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo bagi membolehkan mereka mendapatkan laporan mengenai berita dalam dan luar negara.

Diana sombong?

Terkenal melalui filem Evolusi KL Drift, Diana didakwa sebagai tidak mesra oleh sesetengah pelatih tatkala menjejakkan kaki ke Kem Princess Haliza.

Anggapan pelatih berkenaan mungkin disebabkan mereka memikirkan bahawa Diana seorang selebriti dan pastinya akan bersikap memilih dalam berkawan.

"Ada pelatih kata saya pasti akan memilih untuk berkawan dengan orang tertentu sahaja. Hakikatnya ia tidak benar.

"Kini, saya sudah ada ramai kawan yang datang dari pelbagai kaum serta negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

"Mereka cukup mesra dan saling sokong menyokong antara satu sama lain," katanya.

Jelas Diana, melangkah memasuki PLKN, dia semakin selesa dan tidak pula merindui keselesaan kehidupan di rumah serta dunia lakonan.

"Mula-mula dulu memang saya takut dan terus terang saya katakan yang saya cukup manja. Tetapi, apabila berada dalam PLKN, saya sudah pandai urus diri sendiri. Kalau dahulu, semua mama (Norsiah Ramli) lakukan," katanya yang dijadikan 'sumber' rujukan mengenai gosip artis di dalam PLKN.

Menurutnya, sebagai seorang selebriti, Diana tidak melihat dia mendapat keistimewaan tersendiri.

Sebaliknya, kata Diana, dia dianggap sama dengan pelatih lain malah pernah dimarahi serta didenda kerana melakukan kesilapan.

Ditanya mengenai rakaman dan penyiaran perjalanan PLKN yang dilaluinya menerusi 8TV, Diana berkata, ia merupakan sebuah program yang baik dalam memberi penjelasan sebenar kepada remaja serta ibu bapa mengenai PLKN.

"Saya sendiri sebelum memasuki PLKN, banyak cakap negatif yang masuk ke telinga saya mengenai program itu.

"Justeru, dengan adanya penyiaran PLKN menerusi 8TV, ia akan dapat membuka mata semua pihak mengenai kisah benar PLKN," ujarnya.

Aliff tak sabar

Bagi Aliff pula, PLKN bukanlah sebuah program yang diwujudkan untuk menyusahkan golongan remaja.

Sebaliknya, kata Aliff, ia adalah program yang berguna untuk remaja meningkatkan jati diri serta mengubah daripada sikap buruk kepada baik.

"Bagi sesiapa yang belum ditawarkan untuk menjalani PLKN, pohonlah segera. Di sini, kita akan dapat ramai kawan dan pengalaman.

"Saya sepatutnya mengikuti PLKN pada tahun lepas tetapi ketika itu saya telah memasuki dunia nyanyian serta terikat dengan kontrak.

"Kini, saya mendaftar untuk mengikutinya. PLKN sememangnya sudah sebati dalam hidup saya kerana ketika menjadi hos program Remaja, saya telah banyak terlibat dalam aktiviti lasak," jelasnya yang ditemani bapanya, Mohd. Satar Ramli ketika mendaftar di Kem Princess Haliza.

Menurut Aliff, sebaik memasuki PLKN, dia tidak sabar untuk mengikuti aktiviti-aktiviti lasak khususnya menembak.

"Biasalah sebagai seorang lelaki, saya tidak sabar untuk menjalani latihan menembak," ujarnya penuh semangat.

PLKN tempat Suki berehat

Dalam pada itu, Suki yang kini sedang mengikuti pengajian di peringkat sijil dalam bidang muzik secara online berkata, kehidupan normal artis sepertinya cukup sibuk dan kurang punyai masa untuk berehat.

Justeru, PLKN akan digunakan sepenuhnya oleh Suki untuk berehat terutama merehatkan minda dengan melakukan aktiviti-aktiviti lasak nanti.

"Semua orang tahu kehidupan artis bagaimana. Sibuk dengan persembahan itu dan ini serta terlibat dalam pelbagai program. Di sini, saya akan memperoleh satu percutian dan jauh daripada kesibukan tersebut," katanya yang dicalonkan antara lima finalis terbaik kategori Artis Baru Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik Ke-16 bulan depan.

Menyentuh mengenai PLKN, Suki menjelaskan, bangun tidur seawal 5 pagi merupakan sesuatu yang bukan menjadi kebiasaan kepada artis.

"Mula-mulanya memang susah untuk bangun awal tetapi kalau dibiasakan nanti, pasti senang," jelasnya.

Ujarnya, sebelum memasuki PLKN, dia juga tidak terlepas daripada mendengar kata-kata negatif oleh sesetengah orang mengenai PLKN.

"Hakikatnya, segala kata-kata negatif itu adalah tidak benar. Pada awalnya juga saya merasa takut tidak akan dapat kawan tetapi sebaik berada di sini, semua orang cukup baik dan saling tegur menegur antara satu sama lain," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: