Monday, April 6, 2009

Jelita Agnes Monica


PENAMPILANNYA ringkas tetapi tetap kelihatan anggun dan seksi, apatah lagi dia hanya memakai kemeja labuh.

Jauh berbeza dengan penampilan dalam sinetron Jelita yang ditonton hampir dua juta penduduk negara ini, susuk tubuhnya kurus, manakala rambutnya pula pendek.

Begitulah 'wajah' terkini Agnes Monica, 22, yang sempat ditemui Selebriti dan beberapa wartawan media cetak dan elektronik Malaysia di sebuah restoran makanan Jepun di Senayan Square, Jakarta, Selasa lalu, ketika dia bersama keluarganya menikmati makan malam.

Awal pertemuan, dia sedar ramai mengatakan dia semakin kurus kerana sakit.

Namun, katanya, dia kurus bukan kerana sakit, tetapi kerja kerasnya dalam menjalani latihan nyanyian, tarian dan apa saja aktiviti berkaitan industri hiburan yang diceburinya membuatkan badannya semakin susut.

"Ramai mengatakan saya kurus kerana sakit, tetapi sebenarnya tidak. Saya kurus kerana sibuk dengan latihan dan menguruskan karier sebagai penyanyi dan pelakon.

"Latihan untuk tarian saja enam jam sehari. Berat badan saya turun sembilan kilogram sejak tiga bulan lalu," katanya.

Menyentuh mengenai rambutnya pula, sambil tersenyum Agnes berkata, segalanya bermula apabila tukang gunting yang memotong rambutnya 'tersalah potong'.

"Rambut saya 'salah potong', justeru saya suruh potong lagi biar jadi pendek. Ternyata saya selesa dengan rambut begini kerana mudah diuruskan," katanya.

Ketepikan soal wajahnya kerana walau dalam apa jua 'rupa' sekalipun Agnes tetap jelita, manakala imej seksi serta lincah dimilikinya tetap terserlah.



Persoalan utama yang perlu dijawab Agnes adalah mengenai lagu Allah Peduli yang menjadi isu di negara ini.



Ia bermula dengan pendedahan di dalam ruangan Cerita Artis Kita (CAK), Metro Ahad, mengenai lagu itu pada 8 Mac lalu. Lagu itu dipenuhi kalimah Allah sehingga ke ayat terakhir yang menyebut 'Tak akan pernah dibiarkannya ku bergumul sendiri sebab Allah Yesus ku mengerti'.

Selangor kemudian mengharamkan lagu itu dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) pula menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengharamkan lagu berkenaan kerana boleh mengelirukan umat Islam.

Saat ditanya mengenai kontroversi itu, Agnes mengakui mengetahuinya dan terkejut.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak kecewa dan tidak bimbang kehilangan peminat kerana baginya apa yang berlaku hanya perbezaan bahasa.

"Lagu itu lagu gereja. Di Indonesia, dalam agama Kristian, kita boleh memanggil Tuhan itu Tuhan, Allah dan Yesus. Bagi saya ia tiada masalah, cuma perbezaan bahasanya," katanya.

Menurut Agnes, dia tidak pernah terfikir lagu dinyanyikannya akan menjadi isu.

Katanya, ia bergantung kepada pendapat masing-masing kerana jika seseorang itu mahu melihat sesuatu itu daripada sudut negatif, banyak perkara negatif akan diperoleh.

"Saya rasa ia (lagu Allah Peduli) bukan sesuatu hal yang perlu diperbesar-besarkan.

"Masyarakat Malaysia harus tahu itu perbezaan bahasa, kalau perbezaan bahasa, ya sudah... tak perlu ada hal yang perlu diperbesarkan lagi," katanya.

Agnes yang berbangsa Cina dan beragama Kristian berkata, dia tidak perlu meminta maaf kerana tiada sesiapa yang salah dalam hal berkenaan. Katanya, lainlah jika dia orang Malaysia.

"Tiada sesiapa yang salah. Penulis liriknya pun tidak salah kerana di Indonesia perkataan Allah digunakan untuk Tuhan (bagi orang Kristian).

"Sama ada orang Malaysia atau Indonesia, mereka perlu tahu perbezaan bahasa boleh menimbulkan isu sensitif seperti ini. Apa yang berlaku hanya masalah bahasa dan tidak ada yang salah," katanya.

Menurut Agnes, dia mahu meletakkan noktah kepada isu berkenaan dan berharap ia tidak diperkatakan lagi.

"Cukuplah sampai di sini. Saya tidak menyalahkan orang Malaysia kerana berfikiran begitu.

"Kalau terus menuding siapa yang benar, siapa yang salah, akhirnya kita bercakap mengenai bangsa. Ia sesuatu yang tidak sihat," katanya yang tenang sepanjang menjawab kontroversi mengenai lagu berkenaan.

Sebagai maklumat, lagu Allah Peduli tiada di dalam album Agnes dan ia hanya dinyanyikan di gereja.

Selain meminta penjelasan mengenai lagu berkenaan, Agnes turut dikhabarkan dengan sambutan sinetron Jelita di negara ini dan ternyata dia menghargai sokongan diberi peminat di Malaysia.

"Saya sangat senang dengan khabar itu, siapa yang tidak suka karyanya dihargai... diminati.

"Justeru, apapun yang terjadi, saya yakin orang Malaysia pintar dan bijak dalam melihat sesuatu isu, termasuk isu seperti itu (lagu Allah Peduli).

"Saya harap isu yang dibahas tadi tidak ganggu hubungan baik sesama kita dan ia tidak ganggu kesenangan saya untuk tampil di Malaysia," katanya.

Agnes juga mengakui 'capek' (penat) untuk menghabiskan penggambaran Jelita.

"Capek! Saya perlu berterusan menangis. Kalau di Indonesia, tayangannya setiap hari dan disebabkan itu saya perlu menyiapkan 50 babak sehari.

"Boleh dikatakan kebanyakan babak memerlukan saya menangis. Sempatlah dalam satu hari mata saya bengkak kerana banyak menangis," katanya.

Dalam pertemuan selama 30 minit itu, Agnes turut bercerita mengenai album barunya yang dilancarkan keesokan harinya (Rabu) secara langsung di stesen televisyen RCTI.

Album diberi judul 'sacredly agNEZious' itu menggabungkan muzik daripada dance R&B, rock, ballad sehinggalah blues dan lebih mantap daripada album sebelum ini.

Buat pertama kali Agnes bertindak sebagai penerbitnya, malah foto untuk 'cover' album terhasil daripada ideanya.

"Untuk album ini saya puas kerana ia lahir daripada citarasa dan kehendak sendiri. Saya juga bersyukur dapat bekerja dengan syarikat rakaman yang bersikap terbuka dan bersedia menerima apa yang saya mahukan," katanya yang kini sibuk mempelajari bahasa Korea dan Jepun selepas berjaya menguasai bahasa Mandarin.

Agnes mempertaruhkan 'single' berjudul Teruskanlah dan berita gembira untuk peminat Agnes di negara ini, album berkenaan akan ada di pasaran Malaysia penghujung April ini.

Sementara itu, pada akhir pertemuan, Agnes mengakui dia mempunyai 'teman tapi mesra' di Jepun walaupun pada mulanya mengelak ditanya mengenai soal peribadi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: