Wednesday, April 15, 2009

Jamal masih mampu bersaing




Penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat itu menganggap insan seni juga melalui episod jatuh dan bangun

SEPANJANG tiga dekad dia bergelar seorang bintang, penyanyi ini mengaku dirinya tidak terkecuali daripada meniti babak duka dalam kehidupannya. Namun, episod hitam itu sendiri ialah sebahagian daripada warna kehidupannya sebagai seorang insan seni.

Dia pernah melakar kejayaan, mengalami kejatuhan dan bangun semula. Dia juga pernah gagal dalam berumah tangga.

Begitupun, semua itu bukan halangan untuknya terus melangkah, lalu membuka lembaran baru dalam hidupnya.

Bahkan, Jamal Abdillah yang diangkat sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 menganggap, itulah suratan yang harus dilaluinya sebagai manusia.

"Mungkin kejadian yang berlaku dalam hidup saya itu, bukan untuk renungan saya seorang. Ia membolehkan lebih ramai orang melihatnya dan berfikir, kehidupan ini sememangnya memerlukan ketabahan. Ketabahan dan semangat itulah yang membolehkan saya berdiri di sini sehingga hari ini," katanya.

Jamal dan Ayu Damit ketika mendendangkan lagu Kehebatan Cinta.

Ditemui pada majlis keraian selepas tamatnya majlis kemuncak ABPBH 2008, Jamal memberitahu, dia sendiri ingin berkongsi segala pengalaman itu bersama peminat supaya mereka sedar, sesiapa yang pernah jatuh juga mampu berdiri kembali akhirnya.

Kini penyanyi bersuara buluh perindu itu melihat segala episod kelam itu sudah pun berlalu dan dia sendiri bersedia untuk tampil bersaing bersama-sama penyanyi generasi baru hari ini. Apatah lagi penyanyi itu baru saja muncul dengan album Tak Hilang Cinta, yang menyaksikannya bekerjasama dengan pencipta muda.

Tidak pernah mendabik dada dengan kejayaan yang dikecapnya selama ini, Jamal tidak berasakan kehadirannya selama 30 tahun dalam dunia muzik meletakkan dirinya pada kedudukan lebih istimewa berbanding penyanyi lain.

"Saya masih berada di fasa biasa, sebagai penyanyi lain juga. Malah, saya ingin menunjukkan betapa saya masih mampu untuk bersaing bersama mereka. Saya juga boleh menyanyi dengan dengan penyanyi muda yang ada sekarang," katanya.

Jamal turut berduet dengan Sarah Raisuddin.

Bagi penyanyi yang bakal berusia 50 tahun Mei ini, bukan populariti yang dikejar olehnya apabila dia menjerumuskan diri dalam arena seni.

"Kehadiran ke dalam dunia seni akan lebih bererti sekiranya peminat mengingati kita kerana hasil kerja yang dilakukan. Jika hasil kerja kita tidak meninggalkan kesan, pastinya diri kita juga akan mudah dilupakan. Saya berpegang kepada kata-kata ini. Mungkin kerana itulah jangka hayat saya dalam seni agak panjang," tutur pemilik nama sebenar Jamal Ubaidillah Ali ini.

Begitu juga Jamal mengaku, bukan pengiktirafan yang dicari-cari setiap kali dia berusaha menghasilkan sesuatu yang terbaik buat peminat.

'Hargailah mereka sementara masih hidup'

Hakikatnya, apa saja yang dia lakukan, dia mahu melihat hasilnya cukup memuaskan hati diri sendiri, serta peminat yang sentiasa mengharapkan kerja terbaik daripadanya.

Pada masa yang sama, Jamal yang turut mencipta nama sebagai pelakon bermula dengan filem Azura (1984) tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila ABPBH 2008 menganugerahkan dirinya dengan pengiktirafan yang begitu tinggi nilainya.

Selama 30 tahun bergelar penyanyi, belum pernah Jamal menerima anugerah sebegini.

Dia juga melahirkan kegembiraan apabila lebih banyak pengiktirafan kini diberikan kepada penggiat seni yang masih lagi aktif, berbanding pengiktirafan yang diberikan kepada tokoh yang sudah pun meninggal dunia.

"Satu ketika dulu, tidak banyak majlis anugerah yang memberikan pengiktirafan kepada anak seni. Justeru, apabila majlis sedemikian dianjurkan kemudian, beberapa pengiktirafan diberikan kepada mereka yang sudah tiada lagi di dunia ini.

"Saya berasakan, pendekatan itu harus ditukar kepada penghargaan terhadap mereka yang masih lagi hidup dan bergiat cergas sebagai anak seni. Namun faham-faham sajalah sikap manusia, apabila seseorang itu sudah tiada, barulah mereka terasa kehilangannya," kata Jamal penuh makna.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: