Kalau dulu saya memang mencari, tetapi kini saya lebih fokus pada diri sendiri dan juga kerjaya. Kalau saya sudah boleh jaga diri sendiri barulah boleh jaga orang lain. Nanti kasihan pula pada orang lain, tetapi jika ada jodoh saya memang tak menolak sebab ia ditentukan Tuhan".
Begitulah luahan penyanyi pop popular, Jamal Abdillah sebaik diaju persoalan mengenai jodoh pada pelancaran album terbarunya, Tak Hilang Cinta, di Red Box, The Garden, Kuala Lumpur baru-baru ini,
Sehingga kini dia masih memilih untuk 'membujang' selepas tiga kali gagal mempertahankan mahligai rumah tangganya.
Perkahwinan pertamanya bersama Basariah Latiff berkecai setelah lapan tahun mendirikan rumah tangga pada tahun 1988.
Begitu juga dengan perkahwinan kedua bersama Nor Aina Yusuff yang dinikahinya pada tahun 2001 yang gagal dipertahankan walaupun dikurniakan seorang anak, Osama Yamani yang kini berusia lapan tahun.
Perkahwinan ketiganya bersama Fatimatuzahrah Samad yang dinikahi pada Disember 2005 yang juga dikurniakan seorang anak, Ahmad Zaki Yamani, 2, turut menemui jalan buntu dan berakhir dengan penceraian dua tahun selepas itu.
Menjawab pertanyaan mungkinkah dia bakal kembali menyatu hati bersama bekas isterinya, ringkas jawapan Jamal: "Biarlah masa yang menentukan segalanya".
Tenang dan berkeyakinan, pada pertemuan itu ternyata penyanyi ini memasang azam yang kuat dalam hidupnya untuk terus mencapai kejayaan dalam kerjaya mahupun kehidupan.
Transisi hidup yang dilalui oleh Jamal bukanlah semudah yang disangka. Kalau suatu masa dahulu dia pernah hanyut dalam dunia yang mengkhayalkan, tetapi kini dia bangkit mencari arah dalam hidupnya.
Jika persoalan tentang kehidupan berkeluarga yang mahu dibangkitkan, jawapannya tetap satu, biarlah persoalan itu berlalu berteman masa asalkan keputusan yang bakal diambil kelak benar-benar tepat.
Justeru kini, dia ingin memastikan waktu-waktu yang menguliti kehidupannya dipenuhi dengan pelbagai aktiviti kerja yang sememangnya menjadi minatnya sedari dulu.
Bercerita tentang kehidupannya kini, jelas Jamal, sehingga kini dia masih lagi menginap di rumah pemulihan bekas penagih dadah, Pengasih.
Dua tahun lalu Jamal pernah mengeluarkan kenyataan untuk menginap di rumah itu untuk tempoh dua tahun sahaja.
Selain mendapat ketenangan dan jagaan yang rapi, kata Jamal, dia melihat terlalu banyak perubahan positif dalam kehidupannya berbanding sebelum ini.
'Sunyi' dari sebarang liputan bukan bererti dia menghilang kerana sepanjang tempoh itu dia sebenarnya sibuk berulang-alik ke studio rakaman mencari idea menarik untuk dimuatkan dalam album terbarunya, Tak Hilang Cinta.
Malah kata Jamal, selepas mengabdikan masa kepada pembikinan album, kini dia sibuk mencari bahan menarik bagi mengisi kandungan konsert solonya yang bakal dipentaskan di Istana Budaya, bermula 5 hingga 9 Ogos ini.
Muzikal kisah hidup
Sedikit gambaran mengenai persembahan semi teaternya yang bakal dipentaskan di pentas berprestij itu, menurut Jamal, masa antara sebuah lagu ke sebuah lagu yang lain bakal diisi dengan sketsa yang menceritakan kisah di sebalik lagu yang turut mengangkat perjalanan hidupnya sebagai seorang penyanyi.
Bakal memulakan latihan pada 27 Julai ini, selain menyanyi Jamal juga turut sama berlakon dalam persembahannya itu.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa perjalanan kerjaya Jamal sebenarnya bermula menerusi pertandingan Bintang RTM pada tahun 1979. Ketika itu dia sering menyanyikan lagu-lagu Alleycats.
"Bakal diselitkan dalam persembahan saya nanti ialah sedikit lakonan ketika saya mula memasuki pertandingan Bintang RTM dengan lagu-lagu dendangan kumpulan itu.
"Antara lain, saya adalah antara penyanyi yang mendapat bimbingan daripada Datuk Ahmad Nawab. kemungkinan nanti akan ada sedikit sketsa tentang saya dengan Ahmad Nawab," kata juara Bintang RTM 1979 itu lagi.
Sehingga kini beberapa selebriti telah dimaklumkan tentang kerjasama dalam persembahannya itu.
Selain membabitkan beberapa selebriti, konsert Kembara Seni Jamal Abdillah itu juga bakal menayangkan beberapa klip video yang memaparkan temuramah tentang kerjaya seni Jamal sepanjang 30 tahun bergelar insan seni.
Cari peminat baru
Tampil berlainan daripada alunan balada dalam album terbaru, fokus utama Jamal dalam Tak Hilang Cinta bukan sekadar menarik perhatian para peminat setianya tetapi juga mencari seberapa ramai peminat baru terutama di kalangan generasi muda.
Single taruhan, Apa Lagi misalnya, menyelitkan beberapa elemen muzik funk dan jazz yang pasti mampu menarik minat generasi muda yang meminati aliran muzik itu.
"Kelainan dalam album ini dibuat untuk membuktikan kepada peminat bahawa saya juga versatil dan mampu mencuba aliran muzik lain.
"Dalam nyanyian itu, saya lepaskan perasaan yang menyebabkan saya rasa terhibur. Lagipun, melihat kepada pasaran album sekarang yang kini semakin merudum, saya akur dan tidak kisah melakukan perubahan demi peminat.
"Seperti M. Nasir, generasi sekarang memang begitu kagum dengan bakat dan kepelbagaian yang ada padanya.
"Jadi, saya rasa tidak salah jika saya turut melakukan perubahan untuk tunjukkan bakat yang ada pada saya," kata Jamal lagi.
Selain Apa Lagi, antara lagu lain yang turut di muatkan dalam album tersebut ialah Tak Hilang Cinta Di Dunia, Waktu Kerinduan, Cinta Dua Darjat, Ku Sejiwamu dan Terpesona Dusta (menampilkan Daly Ahli Fiqir).
Turut Dimuatkan ialah tiga lagu ciptaan Jamal, Di Mana Akhirnya, Akulah Kekasihmu dan Keindahan Mimpi.
"Saya sebenarnya sudah lama mencipta lagu, cuma tidak terlalu aktif. Mungkin juga kerana sikap saya dahulu yang sambil lewa menyebabkan saya tidak mencuba.
"Ini merupakan satu proses dalam kehidupan manusia biasa seperti saya. Sekarang saya sedar bahawa saya sebenarnya boleh mencipta lagu sebab itu saya perlu berusaha," kata penyanyi yang cukup popular dengan lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu lagi.
Kepada para peminat Jamal Abdillah, dapatkan album ke-20 milik penyanyi itu, diedarkan Warner Music yang telah dilancarkan pada 16 April lalu kini boleh didapati di pasaran.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: