KUALA LUMPUR: Lelaki hidung belang kini semakin rakus melampiaskan nafsu dan mampu berlagak seperti ‘pengantin baru’ apabila sindiket dikesan ligat menawarkan pakej ‘isteri enam jam’ yang boleh dilanggan dalam tempoh itu atau 24 jam.
Kesan kepada taktik sindiket itu nyata membimbangkan kerana ia mendapat sambutan menggalakkan lelaki, terutama generasi muda, sehingga ada yang ‘ketagih’ dan sanggup berhabis ribuan ringgit sebulan.
Perkara itu didedahkan Abdul Malek, 35, yang pernah berdepan situasi ‘kemaruk’ dengan pakej berkenaan sehingga lalai dan kehabisan wang.
Menurut Abdul Malek, setiap minggu dua atau tiga kali dia melanggan wanita menggunakan pakej berkenaan dan berhabis sebahagian wang gajinya.
|
“Untuk melanggan pakej berkenaan bukan murah kerana wanita ditawarkan bukan seperti wanita di Brickfields atau Lorong Haji Taib. Mereka ada kriteria tersendiri, lawa dan muda.
|
“Jika mahu yang luar negara, harganya antara RM480 hingga RM980 untuk pakej antara enam dan 24 jam. Jika mahu wanita yang dikatakan model lagi mahal,” katanya.
Abdul Malek berkata, dia tertarik dengan pakej itu kerana tempoh untuk bersama wanita dilanggan lebih panjang.
“Dulu tawaran diberi hanya satu atau dua jam, tetapi pakej itu menawarkan sehingga enam dan 24 jam. Macam isteri jadinya. Nak bawa ‘makan angin’ boleh, nak duduk dalam bilik saja pun boleh,” katanya.
Menurut Abdul Malek, tawaran sindiket itu bukan setakat di spa hotel, tetapi turut ditawarkan orang perseorangan.
“Mudah untuk mendapatkan pakej itu sehingga saya menjadi ketagih. Dalam seminggu tak boleh tak pergi. Kesudahannya wang gaji lebih banyak dilaburkan kepada aktiviti itu dan fikiran sering tertumpu kepada wanita yang kerap dilanggan,” katanya yang berusaha meninggalkan tabiat itu.
Abdul Malek berkata, biasanya dia sering mengambil pakej itu di spa dan kadangkala menggunakan khidmat sindiket yang bergerak secara bebas.
“Jika di spa, sindiket memberi pilihan sama ada mahu menggunakan bilik hotel disediakan mereka atau sebaliknya. Jika menggunakan khidmat sindiket bebas, kena cari hotel sendiri.
“Saya biasanya memilih hotel disediakan. Namun jika mahu membawa ‘isteri’ yang disewa, saya lebih senang memilih menginap di hotel bertaraf sederhana,” katanya.
Menurut Abdul Malek, berdasarkan pengamatannya, pakej berkenaan seperti menjadi trend kerana ramai lelaki hidung belang memilihnya.
“Jika saya berkunjung ke lokasi yang menyediakan khidmat itu, kebanyakan pelanggan memilih pakej berkenaan.
“Kebanyakan alasan yang diberi ialah ia sesuatu yang istimewa kerana sebelum ini hanya boleh bersama untuk tempoh satu atau dua jam,” katanya.
Bagi Harun Aziz, 32, sesiapa yang memilih pakej itu pasti akan sentiasa mencari peluang mengulanginya.
Katanya, dia pada mulanya mengakui sekadar ‘suka-suka’ tetapi apabila sudah mencuba buat pertama kali, ia dijadikan umpama rutin kehidupan.
“Ikutkan hati, mahu saja saya memilih pakej itu tujuh kali dalam tempoh seminggu, tetapi memikirkan ‘modalnya’, saya hanya mampu tiga atau empat kali dalam tempoh sebulan.
“Siapa yang tidak mahu dilayan seperti raja, dituruti semua kehendak dan menikmati suasana umpama ‘pengantin baru’,” katanya yang juga pegawai eksekutif syarikat swasta ternama di ibu kota.
Menurut Harun, biasanya tempahan ‘pakej isteri sementara’ itu perlu dibuat melalui panggilan telefon, seterusnya berhubung dengan bapa ayam untuk mendapatkan tawaran pakej.
Jelasnya, bukan semua sindiket membuka tawaran pakej itu secara terbuka kepada pelanggan, sebaliknya hanya diketahui pelanggan tetap premis berkenaan.
“Di sebuah premis spa dan rumah urut yang terletak di pinggir Kuala Lumpur, pakej membabitkan wanita luar negara yang didakwa belajar di negara ini.
“Harga ditawarkan mahal, paling murah RM600. Bayaran mengikut jam pula paling murah RM250. Namun, bukan setiap masa pakej itu ada dan hanya pelanggan tetap boleh menikmatinya,” katanya.
Akibat terlalu kemaruk melanggan ‘isteri sementara’ sebagai pemuas nafsu, Harun sanggup berhabis wang lebih RM2,000 sebulan, iaitu hampir separuh wang gajinya.
Justeru, tidak hairan jika Harun sering tidak cukup wang akibat ketagihannya, malah menghadapi kesukaran membuang tabiat buruk itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: