Kami sentiasa memperbaiki hubungan dan menjaga diri masing-masing. Jika ada jodoh, mahu kahwin
KEINTIMAN pasangan ini tersebar satu Malaysia gara-gara tindakan di luar kawalan si kekasih. Lensa kamera tepat memanah aksi juara Raja Lawak, Nabil yang memeluk pelakon Irma Hasmie.
Daripada sedikit yang mengetahui, kini ia bukan satu rahsia lagi. Baik hati Irma Hasmie, 27, mahupun Nabil, 26, telah diisi dengan nama masing-masing.
Sama cantik, sama padan malah sama kelakar. Irma tidak kekok bercerita perihal jejaka yang telah berjaya mengisi ruang hatinya yang sudah tiga tahun kekosongan.
Famili faham keadaan
Gadis ini faham orang luar berkata-kata tentang insiden 'terpeluk' di Genting Highlands Ahad lalu yang disiarkan secara langsung di televisyen.
Namun Nabil telah meminta maaf kerana bertindak begitu. "Tak sengaja," kata Nabil. Irma angguk dan dia faham kegelabahan si jejaka.
"Keluarga saya menegur tetapi mereka sangat faham dengan melihat reaksi muka saya yang terkejut. Jelas kan?
"Malah semasa Nabil merangkul saya, dia tidak memandang muka saya. Dia blur dan saya tahu orang dapat membezakan maksud pelukan tersebut."
Nabil degil sebab itu jatuh motor
"Dia degil sebab itu dia jatuh motor," ujar Irma ketawa mengulas peristiwa Nabil kemalangan di Bukit Jelutong, Shah Alam pada hari Selasa lalu.
Dia tidak hairan jika Nabil terlibat dalam kemalangan kerana Nabil memang suka menunggang laju. Malah ada ketika Nabil memboncengkan Irma ke kampungnya di Port Dickson, Negeri Sembilan pada kelajuan maksimum hingga Irma gerun dan sakit kepala.
Bukan tidak memikirkan keselamatan masing-masing tetapi kata Nabil apa guna membeli motosikal kuasa tinggi kalau hanya ditunggang perlahan.
Namun ketika bercerita tentang sifat sebenar Nabil, mata Isma bercahaya.
"Nabil nampak kelakar di depan khalayak ramai. Dia tidak boleh duduk diam dan akan bergerak dan menyakat. Tetapi apabila bersama saya, dia serius dan tidaklah melawak sepanjang masa."
Saat ditanya kelebihan jejaka yang baru dianugerahkan Bintang Paling Popular itu, Irma menyifatkan Nabil sebagai seorang lelaki yang mampu membuatkan dia ketawa dan berasa hidupnya terisi.
Irma mengakui dia berada dalam aura gembira lantaran sifat Nabil yang sentiasa menjaga dirinya hingga membuatkan dia berasa sangat dihargai. "Dia suka bercerita dan paling penting dia buat hati saya terisi."
Sifat penyayang Nabil tergambar jelas ketika mereka sama-sama 'menimang' cahaya mata. Mengambil Nur Hani Nabila sebagai anak angkat, mereka mengubah persepsi terhadap hidup dan meningkatkan darjah keseriusan mereka.
"Waktu kami sama-sama mengambil Hani sebagai anak kami, saya lihat Nabil punya sifat penyayang yang kuat. Sifat kebapaannya terserlah. Malangnya kami sempat menjadi mummy dan daddy hanya untuk seketika.
"Hani telah diambil semula oleh keluarga mereka. Saya dan Nabil menjaga Hani seminggu selepas dia dilahirkan hinggalah usianya dua bulan. Saya tahu Nabil sedih tapi reaksinya tidak seperti saya.
"Sewaktu Hani pulang, saya menangis teresak-esak. Tetapi ada hikmah di sebalik segala kejadian. Saya semakin mengenali Nabil," ujarnya.
Hani kini selesa bersama keluarga di Kuantan dan, ujar Irma, pengembalian anak itu dilakukan atas kehendak keluarga Hani.
Irma dan Nabil sama-sama berada di luar bilik persalinan sewaktu Hani mahu meilhat dunia dan tujuan mereka adalah untuk membantu keluarga yang dikatakan dalam kesusahan tersebut. Namun jodoh mereka sebagai ibu bapa kepada bayi itu tidak panjang.
Mula daripada teman
Kisah cinta mereka bermula di set drama raya bersama Apek, Gegar Gitu Raya. Satu jalinan persahabatan terjalin dan sejak itu mereka mula keluar sebagai kawan.
"Kami tidak pernah mengisytiharkan kami sebagai kekasih. Cuma kami tahu apa yang ada di dalam hati masing-masing.
"Tapi kami sentiasa memperbaiki hubungan dan menjaga diri. Jika ada jodoh, kami mahu kahwin," ujar Irma.
Pasangan ini rajin bercerita. Biasanya sewaktu bertemu janji mereka akan memberi rebiu terhadap aktiviti yang mereka lakukan hari itu selain bergosip.
Tak terlepas ada pertelingkahan yang berlaku tetapi selalunya ia tercetus gara-gara Nabil yang terlebih menyakat Irma.
Namun sifat sensitif dan kuat merajuk Nabil membuatkan Irma tidak boleh berlebihan menyakat balik. Mereka juga tidak kalis api cemburu.
"Dua-dua kuat cemburu. Selalunya sebab masing-masing menerima panggilan telefon atau SMS daripada orang yang tidak dikenali," ujar Irma ketawa.
Ulasnya lagi, mereka jarang 'bergayut' lama di telefon, cuma kerap membuat panggilan bertanyakan di mana dan aktiviti terkini.
Mereka berperangai seperti pasangan normal yang mahukan privasi ketika bertemu dan melepas rindu. Kebiasaannya mereka memilih tempat yang dikunjungi oleh orang yang tidak pedulikan status pekerjaan mereka.
Sempat saya bertemu Nabil yang mengambil Irma di tempat temu ramah. Dalam bergegas dia dan Irma mahu mengambil kereta Irma yang ditinggalkan di bengkel motor Nabil.
Nabil sempat menyapa: "Jangan risau. Saya kalau bawa Irma naik motor selalunya 60 km/j saja. Keadaan saya juga sudah okey selepas terlibat dalam kemalangan hari itu.
"Cuma kena bayar RM5,000 untuk kos pembaikan motosikal saya," ujarnya yang membantu Irma memakai helmet dan kemudian sama-sama melambai mesra menuju ke destinasi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: