
SIAPA yang tidak mengenali dirinya. Setiap kali drama lakonannya mula bermain di kaca televisyen, banyak mata terpaku melihat kehebatannya berlakon. Pelbagai watak pernah dilakonkannya, daripada seorang anggota polis sehinggalah wanita berwatak jahat.
Terbaru, selain beraksi menerusi drama Gerak Khas dan Pasrah, wajahnya menjadi tumpuan seluruh pawagam melalui tayangan filem Bohsia. Nama pelakon, Salina Saibi, 27, semakin dikenali peminat seni tanah air.
Di sebalik karier lakonannya, pelakon jelita ini baru sahaja dikurniakan cahaya mata pertama pada 13 Mac lalu. Hasil perkongsian hidup dengan Azmir Osman, 46, mereka dianugerahkan Farah Syakira yang kini berusia lebih sebulan.
Katanya, kehadiran anak dalam rumah tangga menjadi pelengkap kasih sayang suami isteri. Dirinya pernah dihujani pandangan yang mengatakan dia dan pasangan tidak subur setelah setahun mendirikan rumah tangga tetapi tiada tanda-tanda mereka akan dikurniakan anak. Namun kata-kata itu dijadikan penguat untuk mereka meneruskan kehidupan.
"Waktu kandungan sudah masuk lima bulan, baru saya menyedari diri hamil. Itupun setelah ditegur rakan setugas. Mereka menegur saya setelah melihat bentuk badan saya yang semakin berisi.
"Kemudian, saya mengambil keputusan bertemu doktor dan dia mengesahkan kehamilan saya. Hati mana yang tidak gembira apabila hasil perkongsian hidup dengan suami berjaya disatukan," katanya kepada Kosmo!.
Selepas mendengar khabar gembira itu, Salina dan suami mula membeli pakaian dan kelengkapan ibu mengandung seperti kasut, baju dan seluar.
"Paling tidak dapat dilupakan, saya lebih gemar menghias diri, membeli-belah dan mengambil gambar berbanding sebelum hamil," ujarnya yang tiada alahan sepanjang tempoh kehamilan.
Berkongsi pengalaman saat melahirkan cahaya mata, katanya, pendarahan yang tidak menyakitkan berlaku pada 11 Mac lalu membuatkan dia dan suami bergegas ke hospital.
"Waktu itu, saya tidak berasa apa-apa. Doktor mengesahkan saluran peranakan saya masih tidak terbuka dan menyuruh saya pulang ke rumah.
"Keesokan harinya, barulah saya berasa seperti sakit senggugut. Saya dan suami bergegas ke hospital. Waktu itu, doktor memberitahu bahawa saluran peranakan saya telah terbuka sebanyak satu sentimeter. Kata doktor lagi, proses kelahiran anak sulung mengambil masa yang lama. Saya terpaksa berhadapan dengan kesakitan hampir beberapa jam sehinggalah pukul 4 pagi, 13 Mac lalu.
"Alhamdullilah...kelahirannya tiada sebarang komplikasi. Setelah setengah jam berhadapan dengan saat-saat mencemaskan, akhirnya Farah selamat dilahirkan secara normal," katanya.
Menurutnya, tidak dapat digambarkan perasaannya sebagai seorang ibu saat menerima cahaya mata. Yang pasti kini, tambah Salina, dia perlu mengikut jadual anaknya dan memastikan hal penjagaan anaknya tidak terabai walau sibuk manapun, dia menjalani pengambaran drama atau filem.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: