|
 |
| BIARPUN pertama kali digandingkan sebagai pelakon utama, ia tidak menjejas fokus pelakon baru, Ellyas Abdullah dan Zahiril Adzim untuk menunjukkan keserasian ketika berlakon. |
Mereka dikatakan mempunyai persamaan dan persefahaman yang meyakinkan pengarah baru, Isma Yusoff untuk mengetengahkan bakat mereka menjadi teraju utama drama baru, Merah Puteh.
Sama ada Ellyas atau Zahiril, mereka pernah menimba pengalaman sebagai pelakon pembantu dalam drama lain sebelum ini. Jika Ellyas dikenali menerusi drama Dunia Baru, Zahiril pula pernah membintangi drama Kami.
Namun, menerusi lakonan baru drama Merah Puteh, mereka memegang watak adik-beradik. Menariknya, drama ini diadaptasi daripada filem Bawang Putih Bawang Merah arahan Datuk S Roomai Noor yang ditayangkan pada 1959.
Berbeza dengan versi filem, untuk drama kali ini, kedua-dua watak ini dibawa pelakon lelaki manakala tiada watak jahat seperti yang dipaparkan pada watak Bawang Putih sebelum ini.
Drama ini yang kini ditayangkan di TV3 setiap Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang turut menampilkan gandingan pelakon baru seperti Dira Abu Zahar, Tania Zainal dan Nadia Aqilah.
Bercerita pengalaman ketika berlakon, Ellyas menyatakan dia terpikat untuk berlakon drama ini kerana watak Puteh yang dibawa memberikan lebih banyak ekspresi pada bahasa tubuh berbanding percakapan. Selepas tiga tahun menceburkan diri dalam bidang lakonan, dia gembira bila ditawarkan watak utama seperti Puteh.
“Watak saya tetap beri cabaran kerana saya perlu memastikan lakonan saya tidak sama dengan watak versi wanita. Jika difikirkan, watak versi lelaki lebih senang dibawa dan dalam drama ini, saya begitu menyayangi Merah sebagai abang saya.
“Mengenai perwatakan, Puteh tidak banyak bercakap tetapi dia menunjukkan sikap yang sebenar menerusi bahasa tubuh seperti reaksi pada mata dan cara dia berdepan sesuatu masalah. Bagaimanapun, dia bukan pendiam atau pemalu. Dia lebih meminati perkara yang berkaitan seni seperti melukis manakala Merah seorang aktif dan gemar bersukan.
“Dalam belajar karakter masing-masing, kami juga sesuaikan diri ketika berlakon. Nyata, kami mempunyai keserasian dan senang untuk bekerjasama. Mengenai Isma pula, walaupun dia masih baru tetapi dia mempunyai pengalaman kerja belakang tabir dan saya percaya pada kemampuan dia untuk mengarah drama ini mengikut selera penonton.
“Soal tekanan ketika di lokasi penggambaran, saya berpendapat ia tetap wujud tetapi jika pelakon itu faham dengan situasi dan meletakkan kepercayaan pada setiap pelakon, ia mampu diatasi dengan baik,” katanya.
Bagi Zahiril, dia tidak menafikan ada perasaan gementar membawa watak Merah kerana memikirkan tanggungjawab sebagai pelakon utama begitu besar. Katanya, dia berhasrat untuk mencuba watak berkenaan dan mencabar diri membawa watak baru.
“Saya setuju berlakon dalam drama ini memandangkan watak yang ditawarkan berbeza dengan watak yang pernah saya bawa. Sebelum ini, saya pernah terbabit dalam drama Kami dan Seandainya Aku Siti tetapi saya merasakan cabaran berbeza untuk watak kali ini.
“Dalam menjayakan drama ini, saya berpandangan sesebuah drama itu penting agar tidak mengikut corak drama yang pernah diterbitkan produksi yang sama sebelum ini. Apa yang saya maksudkan, pelakon perlu memainkan peranan penting dalam menunjukkan lakonan berbeza daripada apa yang pernah ditonton.
“Bagi memantapkan lakonan, saya bersama Ellyas dan Isma turut mengadakan perbincangan dan bertukar pendapat. Perbincangan seperti ini penting kerana pelakon bukan saja dapat memahami watak dengan jelas tetapi berpeluang membaiki kelemahan pada aspek lakonan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: