Tuesday, April 7, 2009

Drama Akademi Fantasia bermula


MESKIPUN tersingkir, aksi Zizi sewaktu menyampaikan lagu Aku Dah Bosan disifatkan sebagai antara yang terbaik malam itu.


RANCANGAN realiti paling popular di Malaysia, Akademi Fantasia (AF) memang cukup sinonim dengan elemen kejutan yang mampu menjadikan ia sebagai sebuah drama minggu ini.

Memasuki musim ketujuh sejak bersiaran pada tahun 2003, elemen itu tidak pernah terlepas daripada dimainkan oleh pihak produksi sehingga sampai ke tahap menjadi begitu klise dan memualkan.

Babak percintaan antara pelajar dan kejutan penyingkiran lebih daripada dua pelajar dalam satu malam antara elemen kejutan yang sudah sebati dengan AF.

Malam Sabtu lalu AF7 muncul dengan sebuah lagi drama yang boleh dikira cukup hebat dengan jalan cerita serta ditambah dengan lakonan yang cukup mantap oleh pelakonnya.

Bukan lakonan oleh para pelajarnya tetapi oleh dua orang tenaga pengajarnya, Siti Hajar dan Fatimah Abu Bakar yang boleh dikira sudah sebati dengan AF sejak dari musim pertama lagi.

Ini senarionya. Empat pengkritik diundang untuk mengkritik persembahan pelajar pada konsert minggu keempat yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, malam Sabtu lalu.

Dua pengkritik tetap, Edrie Hashim dan Adlin Aman Ramlie ditemani oleh dua ikon negara iaitu Datuk Siti Nurhaliza dan Amy Search yang menjadi pengkritik undangan sementelah tema minggu lalu yang mengangkat lagu-lagu popular dua penghibur kebanggaan negara itu.

Sedang enak para pengkritik memberikan maklum balas kepada peserta selepas membuat persembahan, bermula dengan Fatimah dan seterusnya oleh Siti Hajar, tiba-tiba bangun dan bersuara sehingga dewan menjadi hingar-bingar seketika.

Masakan tidak, sepanjang enam musim berlangsung, belum pernah lagi tenaga pengajar diberi kuasa untuk membidas dan menyerang balas segala kritikan yang diberikan oleh para pengkritik.

Apatah lagi, tenaga pengajar yang bersuara itu merupakan mereka yang sudah sedia maklum tentang misi dan objektif Akademi Fantasia yang mahu mencari seorang bakat baru yang mampu menjadi seorang penghibur.

Apabila tenaga pengajar bersuara, ia seolah-olah memberi satu implikasi buruk kepada diri mereka sendiri yang seolah-olah gagal membentuk pelajar mereka untuk memberikan persembahan yang baik.

Bukan itu sahaja, tindakan mereka itu juga bagaikan merendahkan kredibiliti dan menjatuhkan maruah pengkritik yang telah diundang untuk mengkritik persembahan pelajar.

Lantas, ia telah menyebabkan keempat-empat pengkritik itu sudah tidak lagi teruja untuk memberikan komen sedangkan kehadiran mereka adalah untuk memperbaiki kelemahan para pelajar dalam usaha melahirkan seorang penghibur seperti mana yang dilaungkan oleh AF.

Difahamkan, para pengkritik sudah diberi garis panduan untuk memberikan kritikan mereka kepada pelajar dan sudah pasti, mereka sedia maklum serta tahu apa yang perlu dikatakan.

Jika inilah yang dikatakan transformasi untuk musim ini sebagaimana sering dilaungkan oleh pihak Astro, ia bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan sebaliknya ia merupakan tindakan yang mencalar prestij AF oleh tenaga pengajarnya sendiri.

Andai ada perkara yang tidak memuaskan hati, bukankah lebih elok selesaikan segala permasalahan selepas konsert berlangsung daripada mahu menunjuk kehebatan serta kekebalan mereka sebagai tenaga pengajar di kaca televisyen.

Kalau begitu, adalah lebih afdal bermula minggu ini, usah lagi mengundang pengkritik untuk memberikan komen tetapi sebaliknya tempatkan semua tenaga pengajar di kerusi pengkritik untuk memberikan komen.

Apabila diajukan tentang perkara itu kepada Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul tentang 'drama terbaru' terbitan produksinya itu, ini jawapan yang diberikan.

"Inilah elemen baru yang kami terapkan untuk musim ini. Sudah lama kami memikirkan elemen ini dan kami memutuskan untuk memperkenalkan konsep ini dalam AF7.

"Tindakan tenaga pengajar memberikan hujah mereka adalah untuk menjernihkan serta menjelaskan tentang apakah yang sebenarnya ingin dicari menerusi AF.

"AF bukanlah semata-mata pertandingan menyanyi tetapi pertandingan untuk mencari seorang penghibur," katanya sewaktu sidang akhbar selepas tamat konsert.

Perlukah diulas lagi tentang jawapan itu? Biarlah pembaca menilainya sendiri dan membuat kesimpulan.

Memang benar misi AF sejak tahun 2003 adalah untuk mencari seorang penghibur yang mampu memberikan persembahan energetik dan memukau di atas pentas, tetapi, kalau gagal mempamerkan mutu vokal yang baik, tidak ada apa yang mampu dibanggakan.

Itulah yang cuba diterangkan dan diluahkan oleh para pengkritik. Tetapi nampaknya ia tidak mampu diterima dengan baik oleh pihak akademi dan tidak perlu untuk mereka menjadi terlalu emosional.

Wartawan yang hadir pada sidang media itu juga menantikan kehadiran tenaga pengajar untuk meluahkan isi hati mereka, namun tidak pula nampak bayang mereka.

Dikhabarkan, mereka tidak mahu hadir walaupun sudah puas dipujuk oleh pihak produksi untuk sama-sama menyertai Khairul dan pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina.

Sementara itu, satu yang menarik untuk diperkatakan tentang konsert keempat adalah transformasi apabila lagu penyanyi wanita diberikan kepada pelajar lelaki dan sebaliknya.

Lebih-lebih lagi apabila AF7 mengangkat dan menghargai lagu-lagu nyanyian Siti dan Amy yang merupakan penyanyi dan penghibur ternama negara itu.

Setidak-tidaknya, ia merupakan cabaran untuk para pelajar dalam membina nama dan kredibiliti sebagai penghibur seperti mana yang dimahukan oleh pihak Astro.

Seperti biasa, pelajar kelahiran Kuching, Sarawak, Mohd. Hafiz Mohd. Suip atau Hafiz mempamerkan kecemerlangannya untuk kali keempat berturut-turut apabila menjadikan lagu Cinta Ini bagaikan lagunya sendiri dengan susunan muzik yang penuh energetik.

Lagu yang dicipta oleh Katon Bagaskara dan dimuatkan dalam album terbaru Siti, Lentera Timur itu memang kena dengan vokalnya.

Hafiz bijak mewarnakan lagu itu dengan gayanya yang tersendiri dan tidak mustahil, selepas ini lagu Cinta Ini akan menjadi siulan ramai.

Pelajar lelaki yang lain? Sekadar biasa-biasa sahaja dan seharusnya mereka diberikan lagu-lagu yang sesuai dengan vokal mereka.

Qhaud sebagai contoh memang sesuai membawakan lagu Di Taman Teman dan cocok dengan vokalnya namun, masalah anak jati Selangor itu adalah kegagalan memberikan ekspresi dan penghayatan.

Walaupun diberi peluang membuat persembahan dua kali akibat gangguan teknikal yang berlaku sehingga penonton tidak dapat menyaksikan persembahannya di rumah, ia tidak memberikan apa-apa kesan.

Arkib lagu-lagu Siti begitu banyak dan seharusnya tenaga pengajar serta pihak produksi bijak memilih lagu yang serasi dan kena dengan vokal para pelajar.

Disebabkan itu, pelajar lelaki lain hanya memberikan persembahan yang sekadar biasa-biasa sahaja.

Meskipun tersingkir dan tidak mendapat perhatian penonton untuk mengundinya, Nur Fazelah @ Zizie Mohd. Tahil atau Zizi pulang dengan bermaruah sementelah persembahannya menerusi lagu Aku Dah Bosan antara yang mencuri perhatian pada malam itu.

Tampil dengan gimik membonceng motosikal berkuasa tinggi, Zizi berjaya menukar atmosfera dewan yang dingin menjadi hangat dengan persembahan yang penuh menggoda.

Begitu juga Rubisa yang menjadi mangsa penyingkiran walaupun menyampaikan lagu popular Amy, Tiada Lagi dengan baik sekali.

Claudia juga berjaya menterjemahkan lagu Suralaya Dalam D Major dengan gaya tersendiri walaupun persembahannya ada kelihatan seperti Dayang Nurfaizah.

Sebagai penutup, apakah akan ada lagi drama terbaru Astro dalam konsert minggu kelima hujung minggu ini? Tidak sabar untuk menantikannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: