MULAI semalam, KRU Studios menayangkan filem animasi antarabangsa pertama edaran mereka, Disco Worms. Kononnya, ia menjadi petanda kepada pengembangan perniagaan syarikat diterajui tiga beradik, Norman, Yusry dan Edry. Selain menerbitkan filem sendiri, mereka juga mengedarkan filem antarabangsa ke negara ini.
Beberapa filem terbitan KRU juga kini dikatakan menunggu waktu untuk masuk panggung. Antaranya ialah Jin Notti, My Spy dan Magika, yang sudah pun menamatkan penggambaran.
Baru-baru ini Cik Normah terdengar cerita, filem pertama terbitan bersama KRU di Hollywood, Deadline, lakonan Brittany Murphy dan Thora Birch sudah pun siap. Filem bercorak thriller ini juga dikatakan hanya menunggu masa untuk masuk ke panggung.
Khabarnya, kesan visual filem berkenaan disiapkan sendiri oleh Yusry, yang sebelum ini menunjukkan kepakarannya menerusi filem Cicak-Man dan Cicak-Man 2. Entah betul entah tidak, Cik Normah tak pastilah. Yusry juga dikatakan terbang ke Amerika Syarikat untuk memastikan segala proses pembikinan filem itu berjalan lancar.
Filem terbabit mengisahkan bagaimana seorang penulis skrip melarikan diri ke sebuah rumah Victoria, selepas mengalami masalah psikologi. Kerana tertekan dengan tarikh akhir kerjanya, dia harus mengerahkan seluruh tenaga untuk menyiapkan tugasan. Sebaliknya wanita ini berdepan pula masalah kebuntuan idea. Ketika itulah dia mula mengalami peristiwa aneh yang menekankan lagi jiwanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: