Friday, April 10, 2009

Dengarnya...: Beralih muka apabila nampak wartawan


CIK NORMAH tergelak sendiri apabila beberapa teman sekerja buka mulut mengenai sepasang kekasih yang memegang status pelakon yang mereka nampak sedang dating di sebuah pusat-beli belah di Petaling Jaya.

Yalah, pasangan terbabit dikatakan tidak habis-habis menafikan yang kononnya mereka ialah pasangan bercinta. Sedangkan, sudah banyak mata memandang keintiman mereka sebelum ini. Cuma, mulut kedua-dua pelakon ini saja yang terkunci, enggan mengesahkan bahawa mereka sebenarnya dua insan bercinta.

Entah-entah, mereka kini terperangkap dalam percaturan sendiri apabila menidakkan kisah cinta yang dijalin sejak beberapa ketika. Apabila semuanya sudah hampir pasti, mereka kini gelabah sama ada hendak mengiyakan atau sebaliknya.

Bukan saja si pelakon lelaki itu mengalami keruntuhan rumah tangga, dek insiden yang bersangkut paut dengan keintiman kedua-duanya. Malah, kedua-duanya juga kini menjadi perhatian masyarakat apabila berulang alik ke mahkamah, juga ada kena-mengena dengan kes berkenaan.

Jadi, agaknya kerana malu setelah pelbagai penafian dilakukan, mereka tiba-tiba memandang dinding kaca membelakangi sekumpulan wartawan yang kebetulan turut berada di pusat beli-belah berkenaan. Selepas puas memandang dinding, dua merpati tadi melangkah menuju ke panggung wayang.

Rakan Cik Normah tadi hanya memandang pasangan berkenaan, yang datang bersama dua lagi rakan. Mereka nak sangat tengok bagaimana reaksi pasangan itu, apabila berdepan dengan wartawan. Yang pasti, pasangan itu dikatakan buat tak perasan, memandang dinding dan terus berlalu ke panggung.

Takkanlah mereka tak perasan kehadiran wartawan di tepi mereka kan? Kalau seorang tu, okeylah juga. Tetapi, kalau sampai lima wartawan sekali gus yang berkeliaran di sekitar kawasan sama ketika itu, takkan semuanya dia orang tak nampak? Ini mesti kes buat-buat tak nampak. Kalau mengaku kan senang. Tak payahlah lagi buat-buat pandang ke dinding yang tidak retak pun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: