Monday, April 27, 2009

Cabaran, debaran dua penerbit



DUA wanita muda yang memikul tanggungjawab sebagai penerbit acara kemuncak AIM16.

BAGI peminat dunia seni tanah air, tumpuan kali ini tentunya kini beralih pula kepada acara kemuncak AIM16 yang bakal berlangsung di PWTC, Kuala Lumpur, Sabtu ini ini, selepas berhibur dengan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 pada 12 April lalu.

Berbeza dengan ABPBH 2008 yang menghimpun selebriti dalam pelbagai cabang seni, AIM16 mengumpulkan insan seni terbaik dalam bidang muzik.

Daripada penyanyi, pencipta lagu, penerbit sehingga pereka kulit album, masing-masing berdebar menantikan keputusan 29 anugerah yang bakal diumumkan pada acara yang dijangka berlangsung dalam keadaan penuh kemeriahan.

Penerbit program AIM16, Shazalina Zainal Aznam dan penerbit acara permaidani biru, Shannen Lee Siew Fong, ialah antara insan yang turut berdebar setiap kali tibanya acara terbabit.

Sebagai penerbit, Shazalina berasakan cabaran yang menunggu bukan kecil terutama bagi mengendalikan majlis anugerah sebesar AIM16. “Bagaimana agaknya hendak memampatkan penyampaian semua 29 trofi dalam masa dua jam atau dua jam setengah? Kemudian, perlu fikirkan pula di mana klip video rakaman hendak dimasukkan? Adakah pada permulaan persembahan, pertengahan atau penghujungnya?

"Bukan mudah untuk mengekalkan keseronokan penonton selama lebih dua jam AIM disiarkan. Lalu, kami mencari jalan terbaik untuk memasukkan rakaman tadi, mengisi setiap saat siaran langsung dengan kandungan yang bagus,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Begitupun, dia dan Shannen cukup teruja menerbitkan AIM16, berikutan persetujuan stesen penyiar rasmi, ntv7, membenarkan mereka menggunakan lebih banyak kamera pada acara terbabit. Jenis kamera yang enggan mereka dedahkan itu, khabarnya disewa khas bagi memberikan impak lebih hebat kepada penonton.

"Kamera ini tidak digunakan untuk program biasa. Ia hanya bagi majlis anugerah besar. Kami pernah mencubanya tetapi dengan arahan yang berbeza. Kami perhatikan, selepas penggunaannya pada AIM yang lalu, lebih banyak penganjur majlis anugerah menggunakan kamera serupa pada acara mereka," kata Shannen pula.

Siaran langsung AIM16 akan menyaksikan penggunaan 13 kamera dalam dewan, manakala lima kamera lagi bagi acara permaidani biru.

"Dengan pertambahan kamera, maknanya krew bertugas juga lebih ramai. Tahun ini, 60 krew produksi bertugas memastikan siaran langsung AIM16 muncul paling berjaya pernah diadakan,” kata Shazalina yang cuba menggunakan teknologi terkini apabila tiba ke bab produksi.

Shannen juga tidak sabar menunggu acara permaidani biru, yang menyaksikan ada perbezaan berbanding pada edisi terdahulu.

Pada acara memanaskan badan sebelum bermulanya majlis sebenar, Sazzy Falak, Naz dan Awal Ashaari diberi tanggungjawab sebagai pengacaranya.

“Berbeza dengan kebanyakan acara lain, kami mahukan permaidani yang mengiringi langkah selebriti ke dewan utama berwarna biru. Ia bukan hanya menampakkan kelainan kepada AIM16, malah warnanya juga selari dengan warna korporat penaja kami, Celcom," kata Shannen sambil memberitahu, acara itu akan disiarkan selama 30 minit, mulai jam 8.30 malam.

Bagi memastikan acara permaidani birunya nampak berprestij, Shannen tidak lupa merujuk kepada acara serupa pada majlis anugerah antarabangsa seperti Anugerah Grammy.

“Penonton di rumah tentunya ingin melihat gaya artis yang hadir pada AIM. Lebih menarik, mereka akan dibawa ke acara permaidani biru dengan kereta Bufori. Di satu sudut lain pula, kami adakan pra-parti Kelab Feel Good untuk tetamu istimewa menikmati minuman serta beramah-mesra sebelum memasuki dewan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: