DUBAI - EMIRIAH ARAB BERSATU. Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran di sebuah kompleks tiga menara yang sedang dalam pembinaan berhampiran pusat beli-belah terbesar di Dubai, menurut pihak berkuasa, semalam.
Insiden kebakaran di salah sebuah menara itu, dipercayai berlaku pada awal pagi di menara Address Residences Fountain Views setinggi 60 tingkat yang dibangunkan Emaar Properties.
Kejadian itu menyebabkan laluan sekitar bangunan itu yang menjadi tumpuan pelancong terpaksa ditutup sebagai langkah keselamatan.
Pejabat Media Dubai dalam satu kenyataan menerusi Twitter mengesahkan, operasi penyejukan bakal dijalankan dan tiada kecederaan dilaporkan.
Difahamkan, ia adalah insiden kebakaran kedua melanda bangunan milik Emaar selepas Hotel Address Downtown Dubai setinggi 63 tingkat musnah terbakar menjelang sambutan Tahun Baharu 2015.
Pembinaan kompleks itu dijangka siap pada April 2018.