KUALA LUMPUR: Kejayaan karnival KL Xtravaganza yang diadakan di Wangsa Walk, dekat sini pada 11 Mac lalu membuka ruang untuk Persatuan Karyawan Malaysia mengendalikan acara serupa pada Mei depan.
Presidennya Datuk Freddie Fernandez berkata, kali ini pihaknya bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan karnival itu di Taman Tasik Permaisuri, Cheras selama dua hari iaitu 6 dan 7 Mei depan.
“Sebelum ini kami mencuba nasib mengadakannya selama sehari dan nampaknya ia mendapat sambutan baik, maka penganjurannya ditambah kepada dua hari bagi acara Mei ini,” katanya.
Hadir sama Pengarah Kebudayaan, Seni, Pelancongan dan Sukan, DBKL, Anwar Mohd Zain.
Tambah Freddie, lebih menarik acara ini akan diisi dengan aktiviti perlumbaan motosikal Supermoto Championship anjuran Asia Supersports Group pada kedua-dua hari itu.
Katanya lagi, karnival berkenaan dijangka meriah apabila peminat sukan dan hibruan bergabung bagi menjayakan aktiviti berkenaan.
Bagi persembahan pentas katanya, ia akan diadakan pada 6 Mei bermula pukul 8.30 malam membariskan artis-artis antaranya Amelina, Saleem (Iklim), Siti Sarah, Irfan Harris, Aweera dan Fina (Mentor).
Manakala pelakon Amyza Aznan dan Joey akan mengendalikan pentas sebagai pengacara.
“Selain persembahan artis, pihak kami juga menyediakan khemah perniagaan untuk artis yang mahu menjual barangan masing-masing selain aktiviti sukaneka melibatkan selebriti dan penduduk setempat,” katanya.
Antara artis yang akan membuka gerai jualan ialah Fazli Zainal, Encik Mimpi, Adam Corrie, Raja Azmi, Yazid (Search), Aznah Hamid, Iesya Toh, Hasnol dan Zul Yahya.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Asia Supersports Group, Satheswaran Mayachandran berkata, pihaknya juga akan menyediakan hadiah istimewa berupa sebuah motosikal kepada pengunjug bertuah.