Monday, April 17, 2017

Mawar Rashid Kongsi Rasa Cinta Bersama Adik Fazley Yaakob



Mawar akui hubungannya dengan Raf semakin serius.
PETALING JAYA: Pelakon Mawar Rashid berkata, dia gembira untuk berkongsi perkembangan hubungan cintanya dengan adik kepada Datuk Fazley Yaakob iaitu Raf Yaakob. 
Mawar, 23, berkata, dia serius dengan hubungan tersebut dan tidak mahu meyembunyikan perasaan bahagia berkenaan bersama peminat.
"Hubungan kami semakin serius dan tiada apa yang perlu disembunyikan tentang apa yang saya rasa bersama pengikut laman sosial saya. Lagi pula saya agak yakin dengan kesungguhan dia.
"Apa yang saya lakukan itu (kongsi gambar di laman sosial) membuatkan saya dan dia gembira," ujarnya.
Mawar Rashid bahagia bercinta.
Mawar mengulas tentang keterbukaannya untuk berkongsi gambar-gambar mesra bersama Raf di laman sosial sejak bercinta tiga bulan lalu.
Dalam pada itu, Mawar berkata, Raf, 31,  yang juga seorang pelakon itu mempunyai ciri-ciri lelaki yang diimpikan.
"Dia seorang yang matang, bertanggungjawab dan berkarisma yang mana memang menepati cita rasa saya.
"Biarpun dia berstatus duda tapi saya terima dia seadanya," ujarnya.
Dalam pada itu, ditanya tentang perancangan untuk meneruskan hubungan tersebut ke peringkat lebih jauh, Mawar berkata, ia masih terlalu awal.
Dia ingin mengenali hati budi pemuda tersebut terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk berumah tangga.
"Masih terlalu awal untuk ke arah itu (perkahwinan), kami baru masuk bulan keempat bercinta.
"Saya mahu fokus dengan kerjaya lakonan terlebih dahulu dan jika suatu hari nanti ada jodoh kami, Alhamdulillah," ujarnya.
Tambah Mawar, keluarga dia dan Raf sudah mengetahui dan merestui hubungan berkenaan.