Monday, April 17, 2017

"Saya Dah Jangka Akan Dikritik" - Janna Nick



Janna Nick sudah menjangka busana yang digayakan ketika menghadiri DFKL akan diperkatakan masyarakat. 
PETALING JAYA: Pelakon Janna Nick sudah menjangkakan busana digayakannya pada anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 9 April lalu menerima kritikan.
Janna, 22, berkata, pakaian rekaan Nizam Zamil itu dikritik kerana pemilihan warna kain seakan-akan kulit badan yang membuatkan ia kelihatan seperti terdedah walaupun hakikatnya tidak begitu.
"Saya dah boleh agak pakaian itu pasti mendapat kritikan walaupun sebenarnya baju itu tidaklah seseksi seperti ditonton di televisyen.
"Kalau diikutkan, saya perlu pakai baju tersebut bersama jaket, namun atas sebab masalah teknikal, jaket itu tak dapat dipadankan bersama," katanya.
Dalam pada itu, Janna berkata, dia bersikap terbuka terhadap kritikan diterimanya daripada peminat yang menegurnya di Instagram selepas dia memuat naik gambarnya berpakaian busana itu.
Janna terima kritikan dengan hati terbuka.
Walaupun teruk dikritik, Janna atau Nurul Jannah Muner bagaimanapun enggan memadam foto itu demi menghargai hasil kerja pereka fesyen berkenaan.
“Lebih mengejutkan, foto saya mengayakan baju itu turut mendapat ratusan komen di laman Instagram tetapi saya menerima semua kritikan dengan hati terbuka.
“Malah, saya juga mengambil keputusan untuk tidak memadam gambar tersebut demi menghargai hasil kerja pereka baju itu," ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai kritikan netizen di laman sosial, Janna berkata, dia sedar sebagai orang dikenali semua tindak-tanduknya akan menjadi perhatian ramai.
Malah dia tidak menyalahkan pereka fesyen berkenaan termasuk sesetengah pihak yang mengkritiknya.
“Saya mengakui kesilapan ini. Saya anggap kritikan dan nasihat itu tanda mereka sayangkan Janna Nick.
“Saya mohon maaf diatas kesilapan ini dan berjanji tak akan mengulanginya lagi. Kalau ada benda yang kurang menyenangkan, harap peminat dapat beri teguran ikhlas.
“Saya masih dalam proses pembelajaran dan selepas ini saya akan lebih peka tentang penampilan di hadapan khalayak ramai,” kata pelakon utama drama Dia yang bakal bersiaran di TV3 tak lama lagi.