Perkara itu disahkan oleh bapa Serina yang juga cef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan menerusi satu posting di Instagram miliknya pada Jumaat.
"Betapa berat mata memandang berat lagi bahu Serina yang memikul segalanya sepanjang enam tahun setengah dalam perkahwinan yang tidak bahagia.
"Serina sedang dalam proses memfailkan perceraian dan akan meneruskan prosiding dalam menuntut hak dan keadilan," tulisnya.
Kata Chef Wan, sudah lama dia mendiamkan diri tentang perkara berkenaan dan sudah memberi nasihat namun perceraian juga jalan terbaik.
Cef Wan.
Dalam pada itu, Chef Wan berkata, dia mengambil keputusan membuka mulut tentang rumah tangga anak kesayangannya itu kerana enggan mana-mana pihak membuat andaian tidak benar tentang rumah tangga Serina.
"Daripada orang membuat spekulasi yang tidak benar lebih baik saya ke hadapan dan memberitahu tentang perkara sebenar," jelasnya.
Sementara itu, Chef Wan berkata, walaupun sedih apabila mengenangkan dua cucunya namun dia merasakan Serina berhak untuk menjalani kehidupan lebih baik.
"Benar saya sedih untuk cucu-cucu saya tetapi saya percaya dengan perhatian dan kasih sayang yang diberikan mereka dapat mengharungi saat sukar ini.
"Saya jujurnya percaya anak saya berhak mendapat kehidupan lebih baik dan gembira," katanya.
Tambahnya, dia berharap kenyataan dibuatnya itu akan menghentikan semua spekulasi mengenai keadaan rumah tangga anaknya dan enggan melayan pertanyaan mana-mana pihak berhubung isu itu selepas ini.
Serina dan Salahudin bernikah pada 1 Januari 2010 dan dikurniakan dua cahaya mata, Tristan Tareef serta Isabella Saffiya.