PERCINTAAN yang disatukan hingga ke fasa perkahwinan tentunya menjadi impian setiap insan bercinta. Lalu pada tarikh 1 April lalu, ia menjadi momen terindah buat penyampai radio Hot FM, Ammar, 30, yang telah selamat diijab kabul bersama suri hatinya, Nur Amalina Jamil, 28, di Farar Place, Dengkil, jam 9.45 pagi dengan sekali lafaz.
Pada sebelah petangnya pula, majlis sanding mempelai turut diadakan sederhana, tetapi meriah.
Pasangan ini dinikahkan sendiri bapa Nur Amalina, Haji Jamil Shamsudin disaksikan Ustaz Muhammad Nadzi Ismail, selaku Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Raudhotul Jannah, Kampung Sungai Buah, Dengkil.

Nur Amalina menerima wang hantaran RM10,000 sementara mas kahwin RM300 dengan lima berbalas tujuh dulang hantaran.
Ammar atau nama sebenarnya, Azizul Ammar Abu Hassan, yang segak dalam persalinan baju Melayu polos putih, sempat meluahkan rasa lega dan gembira kepada Media Hiburan kerana fasa percintaan mereka yang ada turun naiknya ini, kini bersatu dengan ikatan perkahwinan.
“Selepas selesai akad nikah, jujur saya akui tidak dapat menahan sebak lalu menitiskan air mata.
“Kalau nak diikutkan, drama cinta kami ini punya kisahnya yang tersendiri. Bercinta dari 2009 dan terhenti di pertengahan jalan. Kemudian, kami diberi kekuatan kembali bercinta selepas putus tunang. Alhamdulillah, ini dinamakan jodoh di tangan Tuhan,” katanya.

Sementara itu, Nur Amalina yang bekerja sebagai HR Senior Officer di syarikat swasta di Shah Alam turut mengakui, apa yang berlaku pada kisah mereka berdua ada hikmah tersendiri.
Jelasnya, tiada apa yang boleh diperkatakan selain bersyukur kerana semua berjalan lancar.
“Saya insan paling bahagia kini. Syukur kerana selamat bergelar isteri kepada Ammar,” ujar Nur Amalina.
Jadi insan lebih baik
Berkongsi hal tersebut, Ammar yang juga pengacara untuk program 3 Juara musim pertama lalu pula menambah, apabila mengambil keputusan untuk memutuskan pertunangan lebih dua tahun lalu, masing-masing cuba mencari kelemahan diri lalu cuba untuk menjadi insan lebih baik.
“Setiap manusia pasti akan buat silap dan rasanya bila ia berlaku pada kami, kami tidak pernah anggap ia sebagai penghalang untuk terus berkawan. Putus tunang tidak bermakna putus jalinan persahabatan.
“Percaya atau tidak, seminggu selepas putus, kami tetap breakfast bersama dan pada fasa putus cinta itulah, kami cuba berfikir secara lebih matang dalam bina kembali perhubungan,” ujar Ammar.
Kejutan bulan madu
Ditanya lokasi bulan madu, Ammar berseloroh memberitahu, dia mahu beri kejutan pada isteri.
“Saya tidak mahu cerita destinasi bulan madu kami, cuma apa yang boleh saya cakap, saya mahu bawanya ke beberapa pulau. Pulau mana tu, biarlah rahsia,” akhiri Ammar.