Monday, April 3, 2017

Amy Search Serius Dalam Bidang Rekaan Fesyen



Amy Search mahu terus serius dalam bidang fesyen menerusi jenama pakaiannya iaitu General Products by Amy Search. 
PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Search iaitu Amy serius untuk menceburkan diri dalam bidang fesyen menerusi jenama pakaiannya iaitu General Products by Amy Search.
Penyanyi berusia 59 tahun ini berkata, sejak dahulu lagi dia memang memasang hasrat untuk menghasilkan labelnya sendiri kerana memang meminati fesyen.
"Sepanjang 35 tahun sebagai penyanyi, fesyen itu memang tidak dapat dipisahkan dan ia sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan karier seni saya.
"Saya memang sudah lama pasang hasrat untuk memiliki label pakaian sendiri tetapi tidak tahu bagaimana hendak mulakan kerana tiada pengalaman.
"Kewujudan General Products by Amy Search adalah satu impian yang jadi kenyataan dan anda akan lihat lebih banyak pakaian dihasilkan menerusi jenama ini," katanya.
Antara koleksi menarik daripada General Products by Amy Search.
Amy ditemui pada Minggu Fesyen Islamik Asia 2017 (AIFW2017) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, Ahad.
Pemilik nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman itu buat pertama kali menampilkan koleksi terbaharu jenama General Products by Amy Search pada acara itu.
Antara selebriti lain yang turut memperagakan koleksi mereka adalah Mizz Nina menerusi Sawdaa, Vie Shantie (V Hijrah) dan Erma Fatima (Mak Cun dan Khalif by Eirma Fatima).
Dalam pada itu, Amy berkata, rakan kongsi yang juga isterinya, Norhasniza Hassan atau Nourish adalah insan paling penting dalam memastikan semua ideanya terlaksana.
"Isteri banyak membantu dalam merialisasikan semua idea yang ada dalam kepala saya kerana dia faham apa yang saya mahukan dalam sesuatu koleksi.
"Malah untuk Minggu Fesyen Islamik Asia ini dia adalah orang penting bagi memastikan semuanya berjalan dengan baik," katanya.
Model memperagakan jubah rekaan Amy.
Bercakap mengenai AIFW2017, Amy berkata, dia sebenarnya tidak percaya apabila diberi peluang untuk mementaskan koleksi General Products by Amy Search kerana merasakan masih baharu dalam bidang fesyen.
Bagaimanapun dia tetap menyahut cabaran itu kerana menganggap ia peluang yang tidak patut dilepaskan dan mengambil masa dua bulan membuat persiapan.
"Macam tak percaya! Tetapi Alhamdulillah ini adalah impian saya dan kami mengambil masa dua bulan untuk melakukan persiapan.
"Dalam tempoh itu pelbagai idea saya keluarkan bagi memastikan apa tampilkan sesuatu yang segar dan melambangkan diri dan ada 'feel' Amy Search itu.
Tambah Amy lagi, dia tidak akan memberi fokus kepada pakaian berbentuk Islamik sahaja sebaliknya merancang untuk mempelbagaikan rekaan menerusi jenamanya pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: