SEOUL - KOREA SELATAN. Ujian peluru berpandu terbaru Korea Utara dilaporkan gagal selepas peluncurnya meletup serta-merta selepas pelancaran.
Tentera Korea Selatan dalam satu kenyataan, semalam memaklumkan Pyongyang cuba melancarkan misil tidak dikenali dari bandar pelabuhan Sinpo di pantai timur.
Tentera Amerika Syarikat (AS) mengesahkan kegagalan ujian itu.
"Pusat Perintah Pasifik AS mengesan dan menjejaki ujian peluru berpandu dilancarkan Korea Utara pada jam 11.21 pagi (waktu Hawaii) dekat Sinpo, kelmarin.
"Bagaimanapun, kami masih menilai jenis peluru berpandu tersebut," kata jurucakap pusat itu, Komander David Benham.     
Sementara itu, pegawai di Seoul memberitahu, pelancaran tersebut sama dengan ujian pada awal bulan lalu iaitu peluru berpandu jarak sederhana, KN-15 yang jatuh di Laut Jepun selepas terbang sejauh 60 kilometer.
Difahamkan, ujian terbaru itu dibuat beberapa jam sebelum Timbalan Presiden AS, Mike Pence dijadual melawat Korea Selatan sehari selepas Pyongyang menunjukkan peluru berpandu balistik kapal selam (SLBMs) buat pertama kali ketika perarakan tentera secara besar-besaran.
Sejak beberapa minggu lalu, ketegangan Pyongyang dan Washington meningkat susulan provokasi Korea Utara melancarkan ujian misil sehingga mencetuskan kebimbangan terhadap konfrontasi tentera antara kedua-dua belah pihak.