JUARA Hero Oven 2016, Chef Naim bakal mengendalikan program masakan Dapur Panas yang kini memasuki tahun ke-12 penganjurannya di TV3.
Istimewanya untuk musim terbaru yang bakal disiarkan sebanyak 13 episod ini, Chef Naem akan berkunjung ke kilang-kilang pemprosesan makanan yang diusahakan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk melihat sendiri bagaimana produk makanan dihasilkan.
Malah masa yang sama Chef Naem juga akan menyediakan tiga hidangan dan satu pemanis mulut di lokasi tersebut pada setiap episod.
Bagi Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Siti Nurlisa Mohd Nadzri, pemilihan Che Naem adalah tepat berdasarkan bakat dan kebolehannya dalam bidang pengacaraan dan masakan.
“Dapur Panas musim baru ini telah memperkenalkan bakat  muda yang dilahirkan oleh TV3, iaitu juara Hero Oven 2016 sebagai hos.
“Kami yakin program ini menjadi  platform terbaik Chef Naem untuk memulakan kerjaya sebagai seorang Chef Selebriti.
“Selain kemahiran memasak yang dipamerkan, perwatakan Chef Naem yang ceria dan petah bercakap pasti tidak akan mengecewakan  peminat Dapur Panas,” katanya.
Episod pertama Dapur Panas 2017 ini, telah menjalani sesi penggambaran di Seri Kembangan, Selangor di mana Chaf Naem berkongsi pengalaman membuat pizza tarik dan memperkenalkan pizza yang mendapat permintaan tertinggi di pasaran iaitu pizza sambal petai.
Untuk episod ini juga, Chef Naem akan menyediakan tiga hidangan menarik iaitu udang tandoori, acar ikan keli dan adobo kambing yang pasti akan membuatkan penonton rumah tidak mahu ketinggalan mencuba resipi-resipi tersebut.
Sementara untuk episod kedua pula, penonton bakal menyaksikan bagaimana Chef Naem memilih aneka jenis mi sebagai bahan utama untuk menyediakan pelbagai hidangan istimewa seperti kerabu kueh teow, mi goreng mamak dan yee mi goreng.
Di lokasi kedua penggambaran Dapur Panas ini, Chef Naem telah mempelajari cara pembuatan mi kuning proses awal bermula daripada tepung sehingga dibungkuskan.
Antara lokasi menarik lain yang bakal disaksikan dalam Dapur Panas musim terbaru ini adalah ladang penternakan kelulut, kilang pemprosesan pau serta otak-otak dan lain-lain lagi.
Dapur Panas terbitan Primeworks Studios dijadual menemui penonton mulai esok iaitu setiap hari Isnin jam 11.30 pagi di TV3.