Monday, April 17, 2017

Bising & Bingit Itu Cara Saya - Achey



Achey jangka cara mengacara program Gema Gegar Vaganza akan dikritik.
PETALING JAYA: Pelawak Achey memberitahu dia diminta oleh pihak produksi untuk mengacarakan program realiti keagamaan Gema Gegar Vaganza dengan caranya tersendiri.
Achey, 31, berkata, apa yang dilakukan di atas pentas pertandingan itu adalah untuk menjadikan program berkenaan lebih menarik dan tidak membosankan.
"Saya dipilih untuk mengacarakan program itu adalah untuk menghiburkan dengan cara saya. Pihak produksi minta saya menjadi diri saya sendiri ketika berada di atas pentas.
"Pada awalnya iaitu segmen pertama, saya cuba untuk merendahkan suara tapi ditegur pihak produksi kerana tidak mahu program itu terlalu mendatar," ujarnya.
Pemilik nama sebenar Mohd Nasir Hamzah ini diminta mengulas tentang kritikan penonton terhadap cara pengacaraannya pada konsert Gema Gegar Vaganza yang berlangsung malam Sabtu.
Achey diberi tanggungjawab mengacarakan program tersebut bersama penyanyi Siti Nordiana dan pelawak Fikri Lawak Solo.
Achey (kanan)  bersama Siti Nordiana dan Fikri.
Tambah Achey, sebagai manusia biasa, dia tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak.
"Saya tahu akan dikritik kerana ketika menerima tawaran ini sahaja isteri saya bertanya sama ada saya benar-benar mahu menerima atau tidak.
"Dia tahu cara saya mengacara yang bising dan bingit itu tidak sesuai dengan program keagamaan, namun pihak Astro pula mahu kelainan dalam program tersebut. Tidak mengapalah, saya tidak boleh memuaskan hati semua orang," ujarnya.
Sementara itu, ditanya tentang penggunaan ganti nama kau dan aku yang dianggap sebagai kasar ketika berinteraksi dengan peserta, Achey berkata, cara itu dapat mengurangkan rasa tekanan kepada penyanyi yang bertanding.
"Saya dan peserta memang rapat dan mereka sendiri tidak mahu saya memanggil mereka dengan ganti nama awak atau abang. Lagi pula bila saya penggil dengan cara itu mereka akan rasa selesa dan tidak gementar,
"Saya rasa ia bukan bahasa kasar kerana dalam setiap doa juga kita gunakan ganti nama aku dan kau agar ia rasa lebih dekat dengan Allah," ujarnya.
Dalam pada itu, Achey berkata, dia turut meminta pendapat dan tunjuk ajar daripada beberapa pengacara berpengalaman seperti Nabil Ahmad dan Johan.
Selain itu, dia juga mengambil inspirasi dengan menonton video ceramah agama dan motivasi daripada ustaz-ustaz yang menyelitkan unsur komedi sebagai panduan.
"Saya ada minta nasihat Nabil dan Johan untuk mengacarakan program ini, mereka kata buat cara saya sendiri dan jangan cuba jadi orang lain.
"Oleh kerana program ini berkonsep keagamaan, saya juga banyak menonton video-video ceramah daripada ustaz kegemaran saya iaitu Syamsul Debat," ujarnya.