Sunday, April 30, 2017

Randy Pangalila Kongsi Rahsia Badan Berotot Tanpa Ke Gim



Randy Pangalila menunjukkan bukunya mengenai penjagaan kesihatan. 
KUALA LUMPUR: Pelakon Indonesia, Randy Pangalila menghasilkan buku berkaitan senaman dan diet selepas mendapat banyak pertanyaan daripada peminat di Instagram yang ingin mendapatkan tubuh badan berotot sepertinya.
Randy berkata, buku berjudul The Secret by Randy Pangalila itu dihasilkan berdasarkan soalan daripada peminat selain pengalaman dan amalan sehariannya dalam menjaga kesihatan.
"Jujurnya saya tidak pernah ke pusat kecergasan kerana jadual kerja yang sangat padat namun saya mempunyai cara tersendiri dalam menjaga pemakanan dan senaman bagi mendapatkan tubuh badan menarik sejak enam tahun lalu.
"Setiap kali saya memuat naik gambar di Instagram peminat akan bertanya apa rahsia saya mendapat bentuk tubuh berotot dan apabila saya jawab akan ada soalan lain berkaitan.
"Dari situ timbul idea untuk menghasilkan buku ini bagi berkongsi rahsia hasil daripada pertanyaan diajukan kepada saya," katanya.

Randy ditemui pada majlis pelancaran buku itu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Jumaat.
Dalam pada itu, Randy berkata, menerusi buku itu juga dia berharap dapat memberi inspirasi kepada pembaca dalam mengamalkan gaya hidup sihat selain melakukan teknik yang betul untuk mengurangkan berat badan.
Bagi menarik pembaca, Randy berkata dia turut menyelitkan kisah hidup selain beberapa 'rahsia' tentang dirinya yang tidak diketahui peminat.
"Bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat bukan sukar malah mudah jika dilakukan dengan betul dan itu yang saya tekankan dalam buku ini.
"Ia bukan sahaja buku tentang senaman dan diet yang boleh dilakukan di rumah tetapi lebih kepada perkongsian tentang kehidupan seharian saya.
"Banyak lagi kisah-kisah menarik yang saya selitkan dalam buku ini termasuk gambar-gambar eksklusif saya," katanya.
Sebagai menghargai peminat, Randy berkata dia menghadiahkan album terbaharunya secara percuma dengan setiap pembelian buku tersebut.
"Ini istimewanya tentang buku ini kerana saya turut menghasilkan sebuah album penuh dengan judul sama khas buat peminat.
"Lebih menarik turut diselitkan semua lirik lagu daripada album berserta kod gitar bagi yang ingin mempelajari lagu-lagu saya," katanya yang mengambil masa setahun menyiapkan buku dan album berkenaan.