TANAH MERAH - Seorang anak muda yang menawarkan khidmat penghantar barang atau lebih popular sebagai runner di daerah ini buntu apabila satu-satunya motosikal digunakan untuk mencari rezeki rosak sejak tiga hari lalu.
Mohd Nazlan Mohamed Nor, 33, berkata, motosikal Modenas Kriss itu sudah lama 'meragam' tetapi dia belum bersedia untuk membaikinya dan cuba terus bertahan sebelum ini disebabkan kekangan kewangan.
Namun, kata Mohd Nazlan yang membahasakan dirinya Abam, pada pagi Rabu lalu, motosikal itu langsung tidak dapat bergerak disebabkan enjinnya rosak teruk dan perlu dibuat pembaikpulihan (overhaul) serta-merta.
“Inilah satu-satunya motosikal yang Abam ada dan digunakan untuk ‘menjemput’ rezeki ‘samah serial’ (sikit sebanyak) sebagai runner.
Status itu dimuat naik jam 9.41 malam, kelmarin, bertujuan memohon sumbangan ikhlas daripada orang ramai yang sudi membantu walaupun RM1 untuk menampung kos membaiki motosikal itu.
Kisah Mohd Nazlan yang menyediakan khidmat runner pertama di daerah ini pernah disiarkan akhbar ini pada 24 Oktober tahun lalu, kira-kira sebulan selepas mula beroperasi.
Menyifatkan rayuan sumbangan seperti itu belum pernah dibuat oleh sesiapa pun sebelum ini, Mohd Nazlan berkata, dia sebenarnya tersangat malu, namun terpaksa mencari ikhtiar untuk membaiki motosikalnya.
“Abam hanya berikhtiar, tidak ada paksaan. Jika ada rezeki, alhamdulillah Abam terima dan jika tiada rezeki, Abam reda dan akan terus berusaha lagi dengan kudrat yang ada.
“Abam tak nak berhutang dengan orang sebab takut nanti tak mampu nak bayar. Ramai yang beritahu agar ambil ‘jentera’ (motosikal) baru tetapi Abam belum mampu.
“Untuk ambil motosikal baru, sekurang-kurangnya kena sediakan RM1,500 untuk bayaran muka, memang Abam tak mampu buat masa sekarang,” katanya.
Mohd Nazlan berkata, sementara menunggu motosikalnya siap dibaiki, dia bersyukur kerana mendapat ihsan bapa saudaranya yang meminjamkan motosikalnya supaya dia dapat terus mencari rezeki.
“Abam sedia terima tugasan walaupun sampai lewat malam supaya lebih cepat dapat selesaikan kos baiki motosikal. Jika perlukan khidmat runner, boleh hubungi Abam,” katanya
.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: