MEMILIH tarikh 31 Mac, sebagai hari bersejarah, Sharnaaz selamat bergelar suami kepada Nabila dengan sekali lafaz di Hotel Royale Chulan, Damansara.
Pasangan ini dinikahkan oleh Imam Masjid Damansara Perdana, Ustaz Syamsul Firdaus Mohd Supri Al-Hafiz dengan mas kahwin RM1,000, manakala jumlah wang hantaran pula dirahsiakan.
Selain itu, kakak kepada selebriti popular, Neelofa itu turut menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima daripada pengantin lelaki.

“Alhamdulillah, semuanya selesai dengan cukup baik.
“Saya bersyukur kerana Noor Nabila sudi menjadi suri...rumah di hati saya.
“Insya-ALLAH, saya dan isteri akan terus berbahagia selama-lamanya.
“Doakan agar penyatuan ini juga direstui ALLAH SWT,” katanya.
Majlis akad nikah berlangsung secara sederhana dan dihadiri oleh keluarga terdekat dan teman rapat pasangan pengantin baru.

Seronok dengan status baru, pemilik nama sebenar Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad ini bagaimanapun sedar akan tanggungjawab yang bakal digalasnya nanti.
“Saya gugup bukan kerana perlu berhadapan dengan ramai. Saya sendiri dah pernah buat pelbagai live show.
“Tapi, keadaan itu timbul kerana memikirkan tugas yang bakal dipikul selepas ini.
“Saya akui saya rasa sangat bangga hari ini. Today, I became a man,” katanya sambil tertawa.
Majlis resepsi bagi pihak perempuan akan diadakan di lokasi sama hari ini, manakala majlis bertandang pula bakal berlangsung di Straits Quay Convention Centre, Pulau Pinang pada 8 April nanti.
Sebelum ini, pelakon drama Suamiku Encik Sotong ini melamar bakal isterinya pada 4 September 2016, seterusnya mengadakan majlis merisik pada 18 Disember tahun lalu.
Untuk rekod, Sharnaaz dan Nabila saling mengenali sejak hampir dua tahun lalu.
Bulan madu ke Itali
Seperti mana pasangan lain, Sharnaaz dan Nabila juga merancang untuk berbulan madu di Itali pada 14 April depan.
“Lokasi percutian ini dipilih oleh isteri dan kebetulan saya juga sangat berminat dengan negara itu.
“Insya-ALLAH, kami akan menghabiskan masa selama tiga minggu di sana.
“Kami akan bertolak seminggu selepas majlis resepsi di Pulau Pinang selesai,” katanya.
Pada masa sama, pelakon drama Awak Sangat Nakal ini merancang untuk memiliki enam anak.
“Itu rancangan saya, tetapi segalanya ditentukan Yang Maha Kuasa.
“Kalau tak dapat enam, tiga orang pun jadilah,” katanya sambil dijeling manja oleh isterinya.

Jaga batas lakonan
Dalam pada itu, Sharnaaz mengakui kerjaya seninya akan berjalan seperti biasa walaupun sudah bergelar suami orang.
“Insya-ALLAH, saya akan terus berada dalam industri seperti biasa,” katanya.
Hormat keputusan tersebut, Nabila mengakui memahami akan kerjaya suaminya itu.
Pun begitu, ahli perniagaan ini tidak membenarkan Sharnaaz untuk melakonkan watak tertentu terutama yang membabitkan babak-babak panas, sekali gus mampu menjejaskan rumah tangga yang dibina.
Bahkan katanya, Sharnaaz seharusnya lebih mengetahui batas-batas yang perlu dijaga sebagai seorang suami.

“Saya respect kariernya sebagai artis dan dia bebas berlakon tetapi masih berbatas.
“Saya rasa dia pun tahu akan batasan itu dan I am sure walaupun saya tak beritahu, dia sendiri akan tahu,” katanya sambil tertawa.