PETALING JAYA: Pihak Astro akan memastikan program Gema Gegar Vaganza (GGV) mematuhi dan menghormati batasan-batasan ditetapkan agar ia tidak lari daripada landasan Islam.
Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, pihaknya mengambil kira setiap aspek berhubung penerbitan pertandingan nyanyian lagu-lagu berunsur ketuhanan itu dalam menjaga sensitiviti masyarakat.
"Menghasilkan program ini adalah cabaran kerana konsep program hiburan Islamik tidak pernah lagi kami hasilkan sebelum ini.
"Apa yang boleh dijanjikan adalah Gema Gegar Vaganza akan mematuhi dan menghormati batasan bagi sebuah program Islamik walaupun ia berbentuk hiburan dalam menjaga sensitiviti masyarakat.
"Ini termasuklah pergaulan di antara hos dan peserta termasuk pemilihan lagu agar ia sesuai dengan konsep pertandingan.
"Tujuan kami adalah untuk menyampaikan dakwah dan mesej positif dengan menggunakan pendekatan baru bagi menarik penonton khususnya golongan muda dalam mendekati agama," katanya.
Mirwana antara mendapat perhatian penonton.
Raqim mengulas mengenai kritikan hebat segelintir pihak terhadap konsert minggu pertama Sabtu lalu yang merasakan GGV mempunyai banyak kelemahan termasuk tidak berlandaskan Islam yang sebenar.
Malah ada yang mempertikaikan pemilihan lagu untuk konsert minggu kedua yang rata-ratanya karya dari genre rock dan bukan lagu nasyid.
Menjawab mengenai perkara itu, Raqim berkata, tema yang diangkat pada minggu kedua adalah Dalam Lagu Ada Makna dan walaupun kebanyakan lagu bukan nasyid ia masih berkonsepkan ketuhanan dan kerohanian.
"Pemilihan lagu itu adalah sebagai satu cabaran kepada peserta tetapi seperti tema minggu kedua iaitu Dalam Lagu Ada Makna, semua lagu yang dipilih ada maksud tersirat walaupun ia bukan daripada genre nasyid.
"Bagaimanapun pihak produksi terbuka terhadap sebarang perubahan daripada segi susunan lagu dan lirik oleh peserta sekiranya merasakan ia tidak bersesuaian," katanya.
Lagu yang bakal dipersembahkan 10 peserta pada konsert minggu kedua itu nanti adalah Hijjaz (Srikandi Cintaku;Bloodshed), Azmi Saat (Redha;Irfan Haris), Hafiz Hamidun (Relakan Jiwa;Hazama), UNIC (Hijau Bumi Tuhan;XPDC) dan Mirwana (Satu;Dewa 19).
Raqim Ahmad.
Manakala Wani (Bila Diri Disayangi;Ukays), Saujana (Ketulusan Hati;Anuar Zain), Ana Raffali (Suci Dalam Debu;Iklim), Izam EYE (Seruan;Lefthanded) dan Bienda (Sejati;Faizal Tahir).
Dalam pada itu, Raqim berkata, GGV bukan sahaja ingin memartabatkan irama nasyid di kalangan penonton yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu tetapi juga memberi peluang kepada artis nasyid dalam menghidupkan kembali karier seni mereka.
"Kejayaan Gegar Vaganza yang memperlihatkan karier artis-artis lama kembali menyinar kami di Astro tergerak hati untuk melakukan perkara sama terhadap penyanyi nasyid.
"Bagaimanapun kami perlu mencipta satu platform baharu untuk penyanyi nasyid kerana tidak sesuai rasanya mereka hendak sertai Gegar Vaganza.
"Sebab itu kita wujudkan Gema Gegar Vaganza sebagai ruang kepada mereka merancakkan kembali karier seni menerusi lagu-lagu nasyid," jelasnya.