Monday, April 17, 2017

Sara Ali Selama Ini Bertudung Bukan Kerelaan Hati



Sara Ali tidak mahu menjadi seorang yang hipokrit apabila mengenakan tudung tanpa kerelaan hati.
KUALA LUMPUR: Teka-teki mengenai imej terbaharu pelakon Sara Ali akhirnya terjawab apabila dia tampil menjelaskan mengenai keputusannya untuk kembali dengan penampilan asal yang tidak bertudung.
Menurut Sara, 26, dia tidak mahu terus menjadi seorang yang hipokrit apabila melaksanakan sesuatu tuntutan agama tanpa kerelaan hatinya sendiri.
"Saya ingat boleh buat (bertudung) tapi tidak, kerana saya buat benda ini bukan kerana diri sendiri tapi kerana sesuatu.
"Sesuatu ini kalau boleh saya tak nak bincangkan, perkara dah berlaku dan kita lepaskan," katanya menerusi video yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook miliknya pada Selasa.
Penampilan Sara Ali ketika bertudung sekitar Februari 2016.
Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2015 itu tampil berhijab sejak awal Januari 2016.
Namun Sara mencetuskan kontroversi apabila gambar terbaharunya tanpa tudung tersebar di media sosial baru-baru ini.
Selain itu menerusi siaran video selama hampir 15 minit itu, Sara menjelaskan bahawa dia tidak memperoleh ketenangan yang sepatutnya selepas berhijrah untuk berhijab.
"Selama setahun yang lepas, ia tak beri saya ketenangan. Lama-lama hidup jadi tak tenang sangat dan tidur tak lena.
"Mula-mula saya fikir nak diamkan sahaja, tapi sampai bila saya nak hidup dalam keadaan yang saya rasa bukan yang sepatutnya saya lakukan," katanya.
Mengakui tindakan membuka tudung bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan, Sara bagaimanapun berkata dia memilih untuk menjadi diri sendiri.
Malah kata Sara, ibu bapanya pada mulannya tidak bersetuju dengan keputusan itu namun akhirnya akur dengan kehendak dia walaupun ia bertentangan dengan tuntutan agama.
"Tak ada keluarga yang bangga dengan keputusan ini lebih-lebih lagi kita beragama Islam.
"Apa yang saya berani cakap memang keluarga saya menyokong seratus peratus walaupun mereka tidak setuju tapi mereka akur juga dengan keputusan ini," katanya.
Jelas Sara lagi keputusannya untuk kembali tidak bertudung kerana enggan mengotorkan imej berkenaan.
"Sudah lama saya tak bertudung namun baru sekarang saya sedia untuk jelaskan dengan cara yang baik.
"Selama ini apabila saya keluar pun, saya rasa bersalah kerana kotorkan imej tersebut (wanita muslimah).
"Tapi saya rasa tak betul apabila lakukan sesuatu bukan untuk diri sendiri tapi kerana perkara lain. Saya pun tak nak menipu lagi," katanya.
Sara menambah, dia tidak selesa apabila ketika tidur dan apabila bangun esoknya, dia mempunyai perasaan serba salah dengan pendiriannya yang tidak selari itu.