MARANG - Nelayan pantai di Marang kini berlumba-lumba untuk turun ke laut dengan misi untuk menangkap sebanyak mungkin sotong atau nama saintifiknya ‘teuthida’ yang mula membanjiri perairan berkenaan bermula pada bulan ini.
Lambakan haiwan itu secara tidak langsung memberikan keuntungan kepada mereka termasuk pemborong dan peniaga manakala pembeli pula akan merasai nikmat luar biasa hasil daripada lambakan sotong sepanjang musim mencandat.
Malah ada dalam kalangan nelayan tempatan di sini mengakui mampu untuk memperoleh sehingga RM2,800 melalui aktiviti mencandat sekiranya mereka berjaya menaikkan sotong sebanyak 100 kilogram dalam tempoh hanya satu malam.
Salah seorang nelayan, Supri Mansur, 52, ditemui di Merchang di sini, berkata, sepanjang musim mencandat bermula Mei hingga Julai ini mereka mampu menaikkan sotong dalam kuantiti lebih banyak berbanding pada hari-hari biasa.
Menurutnya, musim mencandat sotong pada setiap tahun memberi peluang kepada nelayan untuk meraih pendapatan lebih dan mereka mampu meraih lebih RM5000 bermula sejak Mei sehingga tempoh musim mencandat berakhir.
“Tahun lepas kurang sikit…tahun ini waktu sekarang ini sudah ada (sotong) sikit-sikit. Saya berharap apabila bulan cerah nanti sotong ini akan bertambah lagi jika tidak diganggu oleh (bot) pukat tunda,” katanya kepada Sinar Harian.
Supri berkata, ketika ini sotong dijual pada harga RM28 sekilogram dan ada kalanya mereka mampu menaikkan sehingga 100 kilogram sotong semalaman selepas keluar menangkap haiwan itu kira-kira jam 5 petang dan pulang ketika Subuh.
Bagaimanapun kata Supri, pendapatan lumayan seperti itu bukan selalu diperoleh kerana ia bergantung kepada nasib mereka dan keadaan cuaca semasa dan ada ketikanya mereka terpaksa pulang dengan hanya lima kilogram sotong sahaja.  
“Tangkapan yang dicandat itu akan dijual kepada pemborong sebelum hasil makanan laut itu dapat dipasarkan di sekitar daerah ini pada harga pasaran semasa dan dijangka menjadi jauh lebih rendah ketika bulan terang tidak lama lagi,” katanya.