KUALA NERUS - Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak, di sini, melakar sejarah tersendiri apabila muncul sekolah pertama di Terengganu menggunakan mesin perakam waktu untuk merekodkan kehadiran murid yang berkuat kuasa semalam.
Langkah proaktif itu diambil berikutan terdapat rungutan daripada guru-guru berhubung kelewatan murid ke sekolah, selain bertujuan mendisiplinkan lagi murid.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kompleks Gong Badak, Zamzaini Zolkeffi berkata, cetusan idea untuk menggunakan mesin perakam waktu itu diputuskan dalam satu mesyuarat yang diadakan awal Februari lalu.
“Masalah murid lewat ke sekolah merupakan agenda tetap dibincangkan setiap kali mesyuarat.
“Dengan adanya pengenalan sistem baharu itu secara tidak langsung mampu mendidik murid agar lebih berdisiplin, selain sentiasa bertanggungjawab.
“Kita juga berharap agar dengan adanya sistem perakam waktu itu masalah murid lewat ke sekolah dapat diatasi sepenuhnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penggunaan Mesin Perakam Waktu di SK Gong Badak, di sini, semalam.
Menurut Zamzaini lagi, sebanyak enam perakam waktu untuk kegunaan tahun satu hingga tahun enam disediakan membabitkan kos RM6,000.
Bantu atasi masalah murid lewat  ke sekolah
Sementara itu, Guru Besar SK Kompleks Gong Badak, Zam Zam Mohamad, berkata, fokus itu diperkenalkan bagi mengurangkan bilangan kehadiran pelajar yang lambat hadir ke sekolah.
“Walaupun kes membabitkan murid lewat ke sekolah bukan membimbangkan namun langkah awal perlu diambil.
“Malah, pihak sekolah turut bersetuju untuk menghargai murid yang mempunyai rekod kehadiran yang cemerlang akan dirai setiap bulan,” katanya.
Menurut Zam Zam lagi, sesi persekolahan bermula jam 7.45 pagi sehingga 1.15 petang, namun pada jam 7.30 pagi, murid perlu berada di sekolah untuk program bacaan Yasin yang diadakan setiap pagi.
“Rekod kehadiran mereka kita akan bandingkan setiap bulan bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi murid untuk mencapai waktu yang ditetapkan,” katanya.
Tambahnya lagi, sekolah berkenaan mempunyai 871 murid termasuk prasekolah dan 61 orang guru.
Beliau  juga turut meletakkan harapan agar masalah murid lewat ke sekolah berada pada kadar tujuh peratus selepas sistem itu dilaksanakan.
Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin, turut menyambut baik langkah proaktif yang dilaksanakan sekolah berkenaan.
“Kita harap selepas ini ada sekolah-sekolah lain yang akan mengikuti langkah SK Kompleks Gong Badak untuk memperkenalkan mesin perakam waktu bagi kehadiran murid ke sekolah.
“Dengan cara itu juga, murid dapat membezakan rekod kehadiran mereka, jika datang lambat kad akan bertanda merah, sekali gus berupaya mendidik mereka lebih berdisiplin,” katanya
.