Friday, October 31, 2014

Prinsip Farrah Adeeba


  • Farrah AdeebaFarrah Adeeba

BENARLAH kata pujangga, reda ibu bapa sangat penting dalam kehidupan anak-anak. Itulah prinsip yang dipegang 'kuat' oleh personaliti TV AlHijrah, Farrah Adeeba Mohamed Ashraf.

Dek prinsip itu juga, pengacara Assalamualaikum itu sanggup mengetepikan seketika minatnya terhadap dunia fesyen bagi meneruskan pengajian peringkat tertingginya dalam bidang undang-undang.

"Keluarga saya sangat tradisional dan lebih mengutamakan ke arah bidang profesional.

"Saya sebagai anak, sudah tentu mahu menjadi seorang anak yang mendengar kata agar hidup lebih diberkati kelak.

"Saya sentiasa percaya jika kita hendak berjaya, kita perlu mendapatkan keredaan ibu bapa. Itu sangat penting dalam hidup," tegasnya kepada Zass.

Bagaimanapun, peluangnya mencuba nasib dalam bidang penyiaran menerusi pertandingan realiti, Pengacara Jemputan Nona (PJN) pada 2002 memberi laluan untuknya kembali aktif dalam bidang yang diminatinya itu.

"Selepas mendapat tempat kelima dalam PJN, jadual saya mulai sibuk sementelah banyak peluang pengacaraan yang saya terima seperti Wanita Hari Ini, Akademi al-Quran dan Cari Menantu.

"Minat saya dalam fesyen tidak pernah padam.

"Tugasan sebagai pengacara serta wartawan secara tidak langsung memberi laluan untuk saya mengukuhkan hubungan sesama pereka luar dan tempatan, di samping menambah kenalan yang turut terbabit dalam dunia fesyen," katanya.

Tambahnya, walaupun dia melalui proses yang panjang, perkara itu semua menjadikannya matang sekali gus membuka minda.

Atas kesabarannya itu, Farrah Adeeba kini mampu tersenyum lebar kerana sudah mempunyai butiknya sendiri.

"Saya kini lebih berfokus pada bisnes butik saya yang dikongsi dengan beberapa teman iaitu Najjah dan Falah Abiyana.

"Semua produk atas dua jenama ini direka sendiri dan sehingga kini kami sudah mempunyai lima cawangan di Kota Damansara, Mutiara Damansara Wangsa Maju, Puchong dan Shah Alam," katanya.

Selain butik tersebut, Farrah Adeeba juga adalah salah seorang pengasas kepada Women Of Jannah (WOJ) iaitu butik yang menghimpunkan pelbagai jenama Muslimah di bawah satu bumbung.

"Tujuan utama WOJ adalah untuk menjadi pusat sehenti kepada jenama Muslimah itu sendiri," katanya.


Tidak abai keluarga

Biarpun sibuk dengan pelbagai urusan, fokus utama Farrah Adeeba tetap kepada keluarga kecilnya.

Kata isteri kepada Muhammad Rafique Rashid Ali dan ibu kepada anak angkatnya, Mohammad Razique Abdullah, dia tetap akan cuba mencari masa bagi meluangkan lebih masa dengan mereka.

"Tidak dinafikan, saya sememangnya sentiasa sibuk dengan pelbagai perkara.

"Tetapi itulah, hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih," katanya.

Katanya, hidup berkeluarga ini bagaikan bekerja dalam satu syarikat yang memerlukan kerjasama yang erat di antara pekerja-pekerjanya.

"Sebagai satu keluarga, kita perlu saling percaya-mempercayai dan sentiasa amalkan sikap bertolak ansur.

"Perkahwinan itu bukan sekadar pengorbanan sebaliknya perlu ada keseronokan dan usik mengusik, barulah akan bertahan lama selain sama-sama  mendekatkan diri kepada-NYA," akhirinya.

Pian (Cecupak) Alami Gangguan Mental Kerana Gelaran Datuk


Pian Cecupak
PETALING JAYA: Pelawak Pian (Cecupak) disahkan mengalami gangguan mental selepas menerima gelaran Datuk daripada kumpulan puak Naning negeri itu  pada pertengahan tahun ini.

Pian atau  Rafik Raman, 45, berkata, gelaran itu benar-benar menyumbang kepada tekanan jiwanya sehingga masalah berkenaan tidak dapat dikawal.

“Terlalu banyak tekanan yang saya terima akibat gelaran itu termasuklah hinaan serta kata-kata kesat orang terhadap saya selama ini,” ujarnya ketika dihubungi mStar Online.
Pada Mei lalu, Pian bersama dua teman artis iaitu Boy Iman dan penyanyi Nash (Lefthanded) telah menerima Darjah Jaksa Naning Melaka yang membawa Datuk daripada kumpulan puak itu.

Majlis pengurniaan darjah kebesaran itu dilakukan semperna hari keputeraan Orang Kaya Seri Raja Merah Dato’ Undang Naning  Ke-21, Datuk Nordin Abd Jalil yang diadakan di A Famosa Resort, Melaka pada 4 Mei 2014.

Gelaran berkenaan tidak diiktiraf oleh mana-mana kerajaan negeri dan juga persekutuan.

Bagaimanapun Pian dalam kenayatannya sebelum ini memberitahu dia perlu menerima pengurniaan darjah itu sebagai menghormati pihak terbabit.
Dari kiri; Pian, Nash dan Boy Iman bergambar selepas menerima Darjah Jaksa Naning Melaka pada 4 Mei lalu.

Dalam pada itu Pian berkata, tuduhan dan kata-kata hinaan membuatkan dia menjadi murung dan selepas dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Ogos lalu, doktor mengesahkan dia menghidap masalah mental.

Kata Pian, disebabkan penyakit itu dia perlu mendapatkan rawatan selama lapan bulan selain dikehendaki menjalani rawatan kaunseling.

“Jadi saya terpaksa mendapatkan rawatan selama lapan bulan di HKL untuk ubat dan sesi kaunseling agar penyakit saya ini dapat dipulihkan," ujarnya.

Nafi Mengamuk Tidak Dipanggil Datuk

Sementara itu dalam perkembangan lain Pian menafikan dia mengamuk terhadap seorang jurufoto yang tidak memanggilnya Datuk dalam satu majlis di sebuah hotel di Ipoh minggu lalu.

Katanya, insiden itu berlaku disebabkan sikap kurang ajar jurufoto terbabit yang telah memarahinya kerana tidak berpuas hati terhadap perjalanan majlis yang dikendalikannya sebagai pengacara.

"Ya, memang ada perselisihan faham antara saya dengan seorang jurugambar sebuah organisasi namun ia bukan kerana disebabkan saya marah kerana saya tidak dipanggil Datuk.

"Ia adalah kerana tindakan jurugambar itu yang memarahi saya dahulu setelah dia tidak berpuas hati dengan pengurusan majlis. Walhal saya hanya mengacarakan majlis itu sahaja. Saya tiada kaitan dengan keseluruhan majlis itu.

"Itu fitnah kalau dia kata saya marah sebab tidak dipanggil Datuk. Saya langsung tidak kisah orang nak panggil saya apa pun.

"Yang penting ialah sikap hormat terutamanya oleh orang muda kepada orang yang lebih berumur daripada kita. Saya ni sudah umur 45 tahun dan dia orang muda, tidak bolehkah bercakap secara baik," soalnya.

Bagaimanapun, Pian berkata dia sudah menyelesaikan perkara tersebut dengan menghubungi ketua organisasi syarikat jurufoto berkenaan bertugas bagi menceritakan hal sebenar.

Yusof Haslam Tunggu 23 Tahun Terbitkan Drama 'Bercakap Dengan Jin'


Antara tenaga yang terlibat dalam Bercakap Dengan Jin.
KUALA LUMPUR: Impian penerbit filem Skop Production iaitu Datuk Yusof Haslam untuk mengadaptasi novel seram yang popular sekitar tahun 1980an iaitu Bercakap Dengan Jin tercapai apabila Astro berbesar hati untuk menayangkannya di saluran Mustika HD.

Yusof berkata, sebelum ini beliau pernah untuk menerbitkan naskhah tersebut untuk dijual di sebuah stesen televisyen namun gagal kerana ketika itu cerita-cerita seram tidak digalakkan untuk tayangan umum.

"Akhirnya impian saya untuk jayakan adaptasi novel seram popular pada tahun 1980an ini tercapai juga.

"Dulu memang ada usaha untuk terbitkannya tetapi ketika itu cerita-cerita seram sebegini tidak begitu digalakkan oleh kerajaan," ujarnya kepada mStar Online.

Yusof berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama seram bersiriBercakap Dengan Jin di Restoran Serai,  KL Life Centre, di sini, Khamis.

Drama 13 episod ini bakal disiarkan pada setiap Selasa, pukul 10 malam di Mustika HD (saluran 134) dan Astro Bella (saluran 133) bermula 4 November ini.
Yusof Haslam

Sementara itu, Yusof berkata, cabaran utamanya adalah berhadapan dengan tahap kesihatan pelakon veteran Datuk Rahim Razali yang terpaksa menjalani penggambaran 14 hari tanpa henti.

Tambah Yusof, disebabkan perkara tersebut juga pelakon berusia 75 tahun itu jatuh sakit akibat terlalu penat.

"Saya rasa bersalah dengan Datuk Rahim Razali yang jatuh sakit ketika penggambaran sehingga dia terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

"Alhamdulillah dia sihat dan boleh menyambung penggambaran tersebut, kalau tidak pening juga saya untuk mencari penggantinya," ujar Yusof.

Selain itu katanya, cabaran daripada segi penggunaan imej janaan komputer (CGI) untuk beberapa babak dalam drama tersebut memerlukan kos agak tinggi.

Drama arahan Londo Zawawi dan C. Kumaresan ini menceritakan kisah benar yang dilalui oleh penulis iaitu Tamar Jalis tentang pengalaman datuknya iaitu seorang pengamal perubatan tradisional di sekitar negeri Perak.

Selain Rahim, pelakon laij yang turut membintangi drama ini ialah Pekin Ibrahim, A.Galak dan Oktavia Manrose.

Mahkamah tolak bayar ganti rugi pada Johan


  • JohanJohan

MAHKAMAH Tinggi menolak permohonan seorang pengarah drama dan filem serta syarikatnya untuk menggantung perintah membayar ganti rugi RM170,100 kepada Mohammad Yazid Lim Mohamad Aziz atau 'Johan Raja Lawak' dan isterinya.

Pembayaran itu berkaitan kes saman yang difailkan pelawak dan pelakon berkenaan bagi kecederaan yang dialaminya empat tahun lepas.

Hakim Su Geok Yiam membuat keputusan itu dalam kamar. Hadir pada prosiding itu ialah peguam Suhaimi Saad yang mewakili Johan, dan peguam Baljit Singh bagi Mohd Javed Mohd Nizar serta Juara Filem Production Sdn Bhd.

Suhaimi, ketika ditemui pemberita, berkata mahkamah menolak permohonan itu dengan kos RM5,000 serta memerintahkan Mohd Javed dan syarikatnya membayar ganti rugi dalam tempoh 31 hari bermula hari ini.

Pada 7 Julai lepas, Su memerintahkan Mohd Javed dan syarikat penerbitannya membayar ganti rugi RM100,000 serta kos perubatan RM100 kepada Johan selain faedah lima peratus  kepada Johan bermula dari tarikh saman difailkan sehingga tempoh penyelesaian.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua defendan membayar ganti rugi RM20,000 akibat trauma kepada isteri Johan iaitu Rozlinawaty Ismail serta faedah lima peratus bermula dari tarikh saman itu difailkan sehingga tempoh penyelesaian.

Mohd Javed dan Juara Filem Production Sdn Bhd juga diperintah membayar kos guaman RM50,000 kepada pasangan itu.

Pada 18 Julai 2010, Johan, 29, dan isterinya yang lebih dikenali sebagai Ozlynn Wati, 32, memfailkan saman RM1 juta terhadap kedua-dua defendan dengan mendakwa Mohd Javed mengasari serta membaling gelas kaca sehingga menyebabkan dahi kiri pelawak itu cedera ketika mereka berjumpa di sebuah restoran di Sikamat, Seremban pada 11 Mei 2010.

Pernyataan tuntutan Johan mendakwa Mohd Javed turut bertindak menterbalikkan meja di depan beliau dan isterinya dan pelawak berkenaan turut mengalami kecederaan di bahagian bawah mata kanan, yang didakwa akibat ditumbuk seorang kru penggambaran dikenali sebagai 'Halim'.

Johan, yang juga seorang pengacara, mendakwa Mohd Javed dan Halim terus memukul serta menyepaknya, dan apabila perbuatan mereka dihalang Ozlynn, wanita itu turut dipukul. 

Tengkorak, serpihan tulang siapa?


  • Tengkorak dan serpihan tulang yang ditemui di tapak binaan ketika menggali.Tengkorak dan serpihan tulang yang ditemui di tapak binaan ketika menggali.

KUALA LUMPUR - Satu tengkorak kepala dan serpihan tulang ditemui di tapak projek pembinaan makmal dan gimnasium di Kolej Tun Syed Nasir, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jalan Temerloh, di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, tengkorak tersebut ditemui oleh pekerja binaan ketika sedang menjalankan kerja menggali kira-kira jam 12 tengah hari.

Menurutnya,  ketika kedalaman empat kaki, kemudian menemui serpihan tulang dan kepala.

“Berdasarkan maklumat daripada pekerja, tapak binaan itu dahulunya merupakan kawasan kongsi lama. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan dengan kerjasama pihak forensik,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan awal forensik mendapati tengkorak berusia lebih lima tahun.

Katanya lagi, setakat ini, pihaknya masih menunggu laporan lengkap untuk mengetahui identiti serta sebab kematian.

“Orang awam sekiranya ada yang kehilangan ahli keluarga, boleh tampil memberi maklumat. Ini dapat bantu mengesan DNA dan boleh tentukan sama ada itu betul ahli keluarga yang hilang atau bukan,” katanya.

Minta alih kubur bawah surau


  • Makam Pahlawan Hitam yang terletak di bawah bangunan Surau Kampung Tengah.Makam Pahlawan Hitam yang terletak di bawah bangunan Surau Kampung Tengah.

KUALA DUNGUN – Ramai warga komuniti tidak tahu Surau kampung Tengah atau dahulunya dikenali sebagai Masjid Kampung Tengah merupakan pusat pengajian agama di kalangan penduduk tempatan yang terkenal pada tahun 50 dan 60an dahulu.

Namun apa yang lebih misteri, di bawah surau berdinding papan itu terdapat satu makam bersejarah dikenali sebagai Makam Panglima Hitam.

Menurut Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun, Shamsudin Jusoh, Panglima Hitam merupakan seorang pendekar tersohor yang menjadi orang paling kanan kepada Pak Hitam Tambun yang juga seorang pahlawan Dungun yang terbilang.

Shamsudin berkata, kedudukan makam Panglima Hitam yang mempunyai kaitan dengan sejarah Dungun ini yang terletak di bawah lantai surau menimbulkan pelbagai tanda tanya selain persepsi negatif di kalangan masyarakat setempat yang mungkin berfikiran sempit.

Beliau berkata, dahulunya, makam ini terletak di kawasan berdekatan dengan surau, namun selepas bangunan surau ini dipindahkan beberapa meter ke arah daratan, maka secara tidak langsung makam ini berada di bawah surau yang dahulunya menjadi tumpuan penduduk tempatan untuk belajar agama sekitar tahun 50an dan 60an.
“Kalau boleh kita minta pihak berkaitan dapat pindahkan segera makam ini ke lokasi lain yang lebih praktikal.

"Lagipun ia memberi kesukaran kepada pengkaji sejarah untuk menziarahi makam ini yang terletak di bawah bangunan,” kata Shamsudin.

Shamsudin yang juga seorang pesara guru berpandangan, jika proses memindahkan makam ini dapat dilakukan, beliau mahu makam ini dibaik pulih dan diletakkan dengan papan tanda sebagai maklumat kepada pelawat yang mungkin tidak mengetahui sejarah Pahlawan Hitam.

Katanya, usaha ini perlu bagi memastikan sejarah Dungun tidak pupus dan dapat diingati oleh generasi akan datang.

"Jika kita tidak bertindak sekarang, mungkin sebahagian monumen sejarah yang menjadi khazanah kita akan hilang.

“Ia sesuatu yang amat merugikan bangsa kita sendiri kerana sejarah orang kita akan dilupakan begitu sahaja,” katanya.

Ibu 9 anak mahir baiki motosikal


  • Jalina menjadi mekanik wanita yang dikagumi penduduk setempat kerana kebolehannya membaiki motosikal.Jalina menjadi mekanik wanita yang dikagumi penduduk setempat kerana kebolehannya membaiki motosikal.

BACHOK - Lazimnya kita melihat kerjaya mekanik didominasi oleh kaum lelaki tidak kira sama ada kecil-kecilan dengan membaiki basikal di kampung atau mekanik motosikal dan kereta.

Di Kampung Sungai, ibu sembilan anak, Jalina Mat Daud, 49, memiliki kemahiran mengendalikan kerosakan motosikal daripada suaminya, Ismail Daud, 56, sejak 31 tahun lalu.

Jalina atau lebih dikenali sebagai Kak Na berkata, dengan menyewa di sebuah bengkel kecil, dia mencari rezeki dan memberikan ilmu kemahiran yang sama kepada anak-anaknya.

Daripada sembilan anak, empat anak lelakinya mempunyai kemahiran sebagai mekanik termasuk seorang anak perempuannya, Noraliza, 27.

"Sejak dari dulu saya suka tengok suami buat kerja baiki motor.  Dari situ saya belajar sikit-sikit dan boleh buat pembaikian luaran motosikal.

"Anak-anak lelaki pun semuanya tahu baiki motosikal. Anak kedua, Maizan, 30, dapat pendidikan formal di politeknik dan kini jadi mekanik kereta di Sungai Pas, Kuala Krai.

"Anak sulung saya, Mazlan, juga tahu kemahiran ini kini bekerja sebagai juruteknik komputer," katanya.

Berbeza dengan mekanik biasa yang berseluar jeans lusuh, Jalina tidak kekok membaiki motosikal dengan blaus dan berkain batik, rutin pakaian sebagai seorang suri rumah.

Disebabkan keunikannya itu, bengkel kecil Jalina yang terletak berdekatan jambatan Pengkalan Baru sering menjadi tumpuan ramai walaupun kini jambatan itu ditutup untuk kerja-kerja pembaikan.

Tidak Boleh Berniaga Jika Tidak Bertudung


Gambar hiasan.
KOTA BARU: Jika tidak bertudung, anda tidak boleh terlibat dengan aktiviti perniagaan.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan mencetuskan satu lagi kontroversi dengan memberi amaran bahawa mereka akan menguatkuasakan kod pakaian Islam kepada kumpulan yang terlibat dalam perniagaan.

PBT Kelantan memulakan Operasi Gempur Aurat iaitu mengenakan denda maksimum RM500 terhadap peniaga dan pekerja wanita yang tidak menutup rambut mereka dan memakai pakaian ketat.

Keputusan itu berlaku untuk wanita yang bekerja di pasar basah, pasar raya, pasar raya besar, kedai makanan dan pusat-pusat komersial lain yang memerlukan lesen operasi daripada PBT.

Pengusaha bukan Islam juga berisiko didenda jika pekerja mereka yang beragama Islam tidak mematuhi peraturan pemakaian seperti jika majikan mengarahkan pekerjanya untuk memakai pakaian seragam ketat dan berlengan pendek.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Belia dan Wanita Majlis Perbandaran Kota Baru (MPKB), Nor Azariza Mohd Alawi berkata tindakan keras itu adalah tindak balas kepada aduan orang ramai.

"Peraturan pakaian ini adalah salah satu syarat untuk mendapatkan permit perniagaan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan," katanya.

Tambah Nor Azariza, peraturan itu hanya dikenakan ke atas orang-orang 'berinteraksi' dengan orang ramai.

Sejak Ops Gempur Aurat dimulakan pada September lalu, 34 pesalah telah didenda.

Beliau berkata tindakan keras di Kota Baru itu akan berakhir pada Disember depan.

Pengarah Jabatan Pembangunan Islam MPKB, Ropein Hassan berkata, permohonan untuk melonggarkan syarat itu tidak akan dilayan kerana kod pakaian itu ditetapkan dengan jelas dalam permit perniagaan.

Beliau berkata pihaknya juga telah mewajibkan peniaga, termasuk bukan Islam untuk menghadiri kursus tentang cara-cara untuk menjalankan perniagaan dari perspektif Islam.

"Kami telah mengambil inisiatif untuk mendidik mereka terlebih dahulu sebelum menguatkuasakan undang-undang kecil ini (pada pakaian)," katanya.

Beliau berkata seramai 3,000 peniaga telah mengambil bahagian dalam kursus itu dengan masih terdapat lebih 10,000 senarai menunggu.

Pada November 2012, PBT Kelantan mengejutkan banyak pihak apabila menguatkuasakan sekatan ke atas tukang gunting rambut untuk memberi khidmat kepada pelanggan berlainan jantina.

Dewi Liana (Mentor) Dikecam Sertai Ratu Cantik Kerana Disangka Muslim


Dewi bakal ke London untuk menyertai pertandingan Miss World 2014. 
PETALING JAYA: Bekas peserta Mentor, Dewi Liana Seriesta kesal apabila segelintir pihak masih mempertikaikan penyertaannya dalam pertandingan ratu cantik, Miss Malaysia World 2014 kerana dia disangka wanita beragama Islam.

Dewi, 25, yang merupakan protege kepada penyanyi Liza Hanim dalam program realiti Mentor musim pertama itu berkata, dia sudah menjelaskan tentang status agama itu sejak memasuki pertandingan realiti terbitan TV3 empat tahun lalu.

"Ketika memenangi pertandingan Miss Malaysia World 2014 pada Jun lalu, ramai yang mempertikaikan penglibatan saya dalam pertandingan itu.

"Saya faham wanita beragama Islam tidak dibenarkan menyertai pertandingan itu dan saya juga sudah jelaskan kepada mereka bahawa saya beragama Kristian sejak kecil lagi," ujarnya kepada mStar Online.

Tambah Dewi, perkara tersebut menjadi kekeliruan apabila nama yang diberikan oleh ibu bapanya itu seperti nama yang digunakan oleh kebanyakan orang Melayu.

Bagaimanapun dia tidak mempunyai sebarang masalah dan menganggap ia sebagai sesuatu yang unik.

"Bapa saya berasal dari Indonesia dan berketurunan Cina, manakala ibu saya dari Sarawak sebab itu nama saya tiada binti seperti nama orang Islam.

"Saya memang tiada sebarang masalah dengan nama ini dan saya anggap ia sebagai unik, cuma ramai yang keliru tentang agama sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Dewi berkata, dia layak ke pertandingan Miss World 2014 yang akan dipertandingan di London penghujung tahun ini.

Dewi merupakan antara 130 peserta di serata dunia yang bakal merebut gelaran ratu cantik itu.

"Selepas memenangi Miss Malaysia World 2014, saya layak untuk bertanding bagi mewakili Malaysia di Miss World 2014 di London Disember depan. Saya akan bertolak November ini dan kami akan dinilai selama sebulan untuk diangkat sebagai Miss World 2014," katanya.

Sementara itu dalam bidang nyanyian Dewi masih aktif memenuhi undangan selepas tamatnya program Mentor musim pertama lalu.

Malah, dia baharu sahaja berjaya memenangi lima kategori utama pada pertandingan ‘World Championships of Performing Arts’ (WCOPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat, Julai lepas.

"Saya tidak tinggalkan bidang nyanyian, selepas Mentor saya banyak tawaran persembahan untuk majlis korporat dan Julai lalu saya mengikuti pertandingan WCOPA di Los Angeles.

"Saya memenangi juara keseluruhan dengan meraih lima pingat dalam beberapa kategori dipertandingakan," ujarnya.

Hafiz Suip Bakal Gamatkan Konsert Krisdayanti


Krisdayanti
KUALA LUMPUR: Konsert artis dari Indonesia iaitu Krisdayanti di negara ini pada 22 November depan akan menjadi lebih bermakna selepas penyanyi Hafiz Suip bersedia untuk terlibat dalam acara itu.

Krisdayanti, 39, mengakui, penyanyi yang berusia 24 tahun itu turut mempunyai keistimewaan tersendiri dan tentunya gandingan mereka berdua akan merancakkan lagi persembahan itu nanti,” ujarnya.

Kris berkata demikian kepada pemberita pada majlis sidang media kali kedua, konsert Krisdayanti Live in KL 2014 di sini pada Khamis.

Persembahan itu akan diadakan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pukul 8 malam. Ia dibawakan oleh One Drops Perfumes sebagai penaja utama.

Hadir sama dalam sidang media berkenaan ialah Penagrah Eksekutif Kumpulan One Drop, Zetty Ismail.

Dalam pada itu Kris berkata, disebabkan sudah lama tidak mengadakan konsert di Malaysia, dia tidak menafikan perasaan gentar dan tentunya telah siap melakukan latihan bagi memastikan persembahan itu nanti berjaya.

Hafiz Suip


Tambah beliau, lebih menarik lagi pada konsert itu nanti dia akan turut berduet dengan anaknya, Aurel.

“Saya percaya anak saya dan Hafiz akan mempunyai stamina yang luar biasa selain saya akan tampilkan beberapa kejutan dan bakal memperagakan lebih 10 persalinan untuk konsert ini,” ujarnya.

Sementara itu Zetty berkata, penjualan tiket untuk persembahan itu amat memberangsangkan dan ia adalah bukti Krisdayanti masih mempunyai pengaruh.

Katanya, sebagai peneraju minyak wangi tanpa alkohol di negara ini, sudah tentu pihaknya mahu menjadikan konsert itu sebagai sejarah dan penonton akan mendapat kepuasan berganda menyaksikannya.

Tiket-tiket bagi menyaksikan persembahan itu masih  dijual dengan harga RM1,088, RM888, RM528, RM428, RM328, RM188 dan RM98.

Ia boleh dibeli dengan menghubunmgi talian 03-9222-8811 atau melalui laman web Ticket Charge di www.ticketcharge.com.my.

Debaran pengacara ASK 2014


Mengikut pusingan jam. Fahrin Ahmad, Fara Fauzana, Fiza Sabjahan, Shukri Yahya, Zul Ariffin, Tasha Shilla dan Amyra Rosli memikul tugas .


PENGACARA itu ibarat nakhoda kapal, yang selalu menjadi penentu hala tuju dan kesempurnaan pelayaran. Jika pincang kawalan nakhoda alamatnya karamlah bahtera yang berlayar. Begitu pepatah orang dahulu kala.
Sebesar itu tanggungjawab yang diletakkan di bahu seseorang pengacara yang menjadi kayu ukur keberkesanan, hala tuju dan kesempurnaan majlis, begitu juga besarnya debaran yang sedang berdentum di jantung lapan pengacara Anugerah Skrin tahun ini (ASK 2014).
Mereka ialah Fahrin Ahmad selaku pengacara utama dan bakal diregukan dengan enam orang pengacara jemputan; Fara Fauzana, Shukri Yahya, Zul Ariffin, Tasha Shilla, Amyra Rosli, Fiza Sabjahan dan Nabila Huda, yang ada antaranya masih hijau dalam lapangan pengacaraan televisyen atau acara anugerah seperti ASK 2014.
Hal itu tidak bermakna mereka mendapat tiket untuk melakukan kesilapan ketika berada di hadapan kamera yang bersiaran secara langsung pada 7 November depan malah, ruang itu tidak membenarkan mereka tumpas di hadapan ribuan pasang mata di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) nanti.
Dua acara besar Fahrin
Tentunya paling kuat yang merasakan gemuruh mengendalikan acara besar ialah Fahrin Ahmad. Selain ASK 2014, kurang seminggu daripada tarikh itu, pelakon drama bersiri Maaf Jika Aku Tak Sempurna itu mengemudi Festival Filem Malaysia ke-26 pada 1 November.
“Cabaran itu sangat besar bagi saya yang bukannya berlatar belakangkan bidang pengacaraan. Jus­teru, mengacarakan dua anugerah dalam tempoh yang sangat singkat benar-benar menguji kemampuan saya sebenarnya, tambahan pula jadual penggambaran saya sekarang sangat padat.
“Saya berdepan faktor tekanan masa dan perbezaan dua acara anugerah. Risau sekiranya saya terbawa-bawa stail yang sama ketika anugerah sebelumnya ke dalam ASK 2014 nanti tetapi saya pasti dengan ada­nya garis panduan dan skrip daripada setiap produksi perkara itu tidak menjadi masalah besar.
“Secara peribadi saya melihat FFM lebih formal dan hanya digandingkan dengan seorang sahaja pengacaranya manakala, ASK 2014 pula bersifat santai dan perlukan sedikit pendekatan jenaka,” ujarnya yang baru pertama kali mengacarakan majlis besar seperti ASK 2014.
Fahrin mengakui pemilihannya sebagai hos pada dua majlis besar tersebut barangkali disebabkan oleh faktor dirinya kini sedang hangat dalam banyak produk yang ditayangkan dalam beberapa stesen televisyen.
“Memang klise setiap kali adanya drama yang sedang membabitkan seseorang pelakon itu ditayangkan di kaca televisyen, ketika itu juga namanya akan melonjak naik dan saya melihat situasi itu daripada sudut positif. Paling utama mengekalkan bagaimana saya menangani situasi ini agar saya tidak panik kalau nama saya kembali senyap kelak kerana itu satu kitaran,” jelasnya.
Shukri beranikan diri
Ketika ditawarkan untuk menjadi pengacara jemputan ASK 2014, pelakon yang popular menerusi drama rantaian Menjinak Ombak, Shukri Yahya tidak panik. Pendekatan yang diambil adalah memberanikan diri untuk mencuba perkara baharu dalam kerjayanya.
“Saya seorang pemalu dan menjadi pengacara di pentas tidak sama seperti berlakon. Kali ini saya perlu mencari kamera, bukan kamera mencari saya jadi saya bersedia dan terbuka menerima kritikan selepas ini.
“Ini pengalaman sulung saya dan sekiranya formula saya menjadi pengacara berkesan maka saya melihat ada potensi untuk mencuba lagi selepas ini,” ujarnya yang mengagumi karisma pengacara ASK tahun lalu, Nad Zainal.

KESEMUA pelakon ini pertama kali digandingkan sebagai hos bersama di dalam ASK 2014.


Shukri yang bakal muncul menerusi telefilem Jalan Taubat dan drama rantaian Mahar Cinta Alia tidak lama lagi mengakui dia tidak menyangka dan terkejut apabila ditawarkan untuk menjadi pengacara jemputan anugerah itu tahun ini. Persiapannya, menyaksikan semula rakaman pengacaraan beberapa buah majlis anugerah yang pernah berlangsung sebelum ini sama ada dalam atau luar negara.
Percubaan kedua Amyra
Selepas muncul sebagai pengacara jemputan rancangan HLive yang juga bersiaran langsung pada awal minggu lalu, pelakon muda Amyra Rosli tidak menolak apabila ditawarkan untuk berkongsi pentas ASK tahun ini.
Minatnya dalam bidang pengacaraan sejak kecil juga menjadikan perasaan teruja gadis kelahiran Kuala Lumpur itu untuk mengasah bakat dan potensi lain yang dia miliki.
“Sepanjang hari sebelum berada di depan kamera menjadi pengaca­ra rancangan HLive baru-baru ini saya gementar dan takut sekiranya membuat kesilapan namun sebaik memasuki set, perasaan itu bertukar menjadi seronok.
“Memang saya masih baharu dalam bidang lakonan dan untuk saya terjun pula ke bidang pengacaraan rasanya agak mustahil tetapi tawaran untuk menjadi pengacara jemputan anugerah besar seumpama ASK 2014 seperti bulan jatuh ke riba,” kongsi Amyra.
Kata Amyra, dia harus memaksa diri untuk maju ke hadapan dan mengatasi perasaan gementar apabila berdepan dengan orang ramai. Pelakon yang bakal muncul menerusi drama bersiri Suamiku Encik Sotong itu memberitahu, setiap hari adalah proses untuk dia belajar.
“Bahasa badan saya senang memberitahu sekiranya saya sedang gementar jadi perkara itu yang saya dahulukan untuk diperbaiki, saya perlu memaksa diri dan keluar daripada ruang keselesaan saya selama ini,” tambahnya yang teringin untuk mengacarakan rancangan berbentuk travelog.
Tasha harapkan Fahrin
Peluang sulung Tasha Shilla menjadi pengacara adalah ketika karpet merah Anugerah Blokbuster 2013 di Johor Bahru, Johor. Hampir sama dengan ASK 2014 yang bersiaran secara langsung, format itu tidak membenarkan Tasha mengulangi kelemahan yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Kalau saya seorang berdiri di atas pentas memang saya pun tidak yakin, perasaan cuak itu kadang-kala tidak terungkap dengan kata-kata. Tetapi syukur apabila saya difahamkan tugas saya menjadi pengacara jemputan bersama Fahrin Ahmad yang merupakan nama besar dalam industri.
“Harapan saya untuk melakukan yang terbaik dan mengelakkan daripada memalukan diri sendiri namun saya pasti dengan adanya sesi latihan beberapa kali sebelum acara berlangsung hal itu mudah-mudahan dapat dielakkan daripada berlaku,” kata Tasha yang percaya akan ada komen bercampur sama ada positif mahu pun negatif.
Setelah empat bulan mengacarakan rancangan Galaksi TV9, pengalaman itu sedikit sebanyak mematangkan Tasha dan memberikan keyakinan untuknya bercakap di hadapan kamera.
“Saya mahu belajar mengenai kamera untuk mengumpul pengalaman kerana berlakon dan mengacara tidak sama. Memang pada mulanya saya terkejut apabila ditawarkan menjadi pengacara jemputan malah untuk menjadi pengacara Galaksi pun perasaan takut untuk bercerita mengenai kontroversi teman-teman saya dalam industri sama masih belum hilang.
“Namun, saya melihat peluang ini sebagai tanggungjawab baharu dalam karier saya dan proses pembelajaran itu tidak akan ter­henti pada satu peringkat sahaja,” katanya yang sedang sib­uk menjalani penggambaran drama bersiri Tabir Zulaikha bergandingan dengan Aiman Hakim Ridza dan Shahrizal Jaszle untuk slot Samarinda TV3.


Bingkisan buat Izwan Pilus


Saya berharap, dengan adanya rakaman semula Kembali Senyum yang dimuatkan dalam album sulung saya ini, ia dapat mengubat kerinduan para peminat terhadap Izwan Pilus – ARIL


TANGGAL 20 Januari 2012 meninggalkan catatan duka apabila penyanyi yang popular dengan lagu Kembali Senyum, Izwan Pilus dijemput Ilahi. Beliau meninggal dunia akibat jangkitan kencing tikus dan jangkitan kuman dalam darah. Kematian penyanyi itu bukan sahaja dirasai oleh peminatnya, bahkan meninggalkan kesan mendalam kepada penyanyi Khairul Azam Pilus atau lebih popular dengan panggilan Aril.
Sebagai adik, pemergian abang kandungnya itu satu kehilangan besar dalam hidupnya.
Terpanggil untuk mengenang kembali saat-saat manis bersama arwah abangnya, naib juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) itu merakamkan kembali lagu Kembali Senyum dan dimuatkan ke dalam album sulungnya, Aril.
“Terdapat banyak cerita di sebalik lagu Kembali Senyum,” tutur Aril membuka bicara ketika ditemui pada majlis pelancaran albumnya di No Black Tie, Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Lirik lagu ini ditulis oleh Izwan untuk saya sebelum saya menyertai AF. Pada waktu itu, saya banyak menyanyi secara underground. Izwan ada meminta saya untuk mengambil lagu itu sebagai lagu baharu saya.
“Tetapi, apabila membaca kembali lirik yang ditulis olehnya, saya rasakan lagu itu tidak begitu sesuai dengan muzik yang saya bawakan. Lalu lagu itu dinyanyikan sendiri oleh Izwan. Saya masih simpan lirik tersebut sehinggalah saya terdengar semula lagu Kembali Senyum nyanyian arwah yang dimainkan di radio. Saya terdetik untuk menyanyikan semula lagu itu," kata Aril.
Namun, menurut Aril, sebagai satu kelainan, versi baharu lagu yang pernah mempopularkan nama arwah abangnya itu telah mendapat sentuhan daripada AG Coco dari segi susunan semula muzik.
“Saya hanya ada seorang abang. Dia yang banyak memberikan nasihat sewaktu saya mula-mula mahu menceburkan diri dalam bidang muzik dahulu.
“Sebagai seorang adik, merakamkan lagu ini merupakan salah satu cara untuk saya mengenang segala nasihat dan tunjuk ajar yang pernah diberikan. Lagipun, saya percaya masih ada peminat yang merindui arwah.
“Saya berharap, rakaman semula Kembali Senyum dapat mengubat kerinduan para peminat terhadap Izwan Pilus,” katanya lagi.
Selepas lima tahun
Melanjutkan perbualan mengenai album pertamanya, Aril berkata, dia mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan album tersebut kerana mengikuti pasaran dan perkembangan muzik semasa.
“Jika kita lihat perkembangan industri muzik pada masa kini, pendengar lebih suka membeli single berbanding sebuah album penuh.
“Saya telah merakamkan hampir 20 buah single selepas saya keluar dari AF. Rasanya sekarang merupakan masa yang tepat untuk menghimpunkan lagu-lagu yang pernah popular dulu dan beberapa lagu baharu ke dalam sebuah album,” ujar Aril yang awalnya merancang menerbitkan album tersebut sekitar hujung tahun lalu.
Album yang mendapat sentuhan komposer-komposer terkenal seperti AG Coco dan Kunci Demak itu turut menampilkan lagu yang pernah menaikkan namanya suatu masa dahulu, Menatap Matamu.
Menurut Aril, dia pernah melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pihak pengurusannya kerana memintanya merakamkan lagu berkenaan.
Tanpa disangka, lagu tersebut menjadi satu sebab, kenapa dia masih kekal relevan dan diingati oleh para peminatnya.
“Sejujurnya saya memang tidak gemarkan lagu itu (Menatap Matamu), tetapi, setelah mendapat respon yang sangat menggalakkan daripada pendengar, saya mula sedar bahawa pilihan lagu oleh pihak pengurusan memang satu perkara yang tepat.
“Mungkin kita tidak gemarkan sesebuah karya, tetapi, pihak pengurusan lebih tahu apa yang terbaik untuk seseorang artis,” ujar Aril yang kini lebih percaya kepada kehendak pasaran muzik berbanding selera atau pilihan seseorang penyanyi secara individual.


Tiga sahabat dihukum gantung


ANGGOTA polis mengiringi Mohamad Zul Shahril (kiri), Mohamad Sharafe (tengah) dan Azizi Aizat (kanan) selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Perbuatan kejam tiga bekas pelajar Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics membunuh pensyarah mereka, Zara Eleena Omar, 23, dan bapa wanita itu lebih dua tahun lalu berbalas apabila mereka dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 23, yang merupakan teman lelaki Zara Eleena dan dua rakan sekelasnya, Mohamad Sharafe Mohd. Noh, 21, dan Azizi Aizat Ibrahim, 22, didapati bersalah membunuh wanita itu dan Omar Peter Abdullah, 56, di rumah nombor 28 Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong antara pukul 11.30 malam 8 Mac 2012 hingga 2.30 pagi keesokan harinya.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menyangkal bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar.
Beliau berkata, keterangan pembelaan ketiga-tiga tertuduh yang cuba meletakkan beban perbuatan jenayah itu kepada saksi pendakwaan pertama, Fadhil Rushdan Rahman, 20, tidak dapat diterima dan didapati sekadar penafian semata-mata.
“Keterangan Fadhil diterima mahkamah kerana mempunyai kaliber dan konsisten dengan keterangan beberapa saksi pendakwaan lain termasuk ibu Zara Eleena, Normaliah Mahmood.


Raikan kemeriahan Lan Berambeh


Rohani (dua dari kanan) bersama ahli-ahli jawatankuasa penganjur semasa meninjau persiapan akhir Karnival Lan Berambeh Anak Sarawak 2014 di pekarangan Stadium Bukit Jalil semalam.


KUALA LUMPUR – Lebih 30,000 pengunjung termasuk pelancong asing dijangka menghadiri Karnival Lan Berambeh Anak Sarawak 2014 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abd. Karim berkata, beliau yakin sasaran itu dapat dicapai kerana karnival tersebut memaparkan pelbagai aspek keunikan Sarawak kepada pengunjung yang belum pernah datang ke negeri berkenaan.
“Bagi orang ramai yang belum pernah ke Sarawak, inilah masanya untuk mereka mengenali negeri ini dengan lebih dekat kerana terdapat lebih 100 pempamer yang menyertai Karnival Lan Berambeh Anak Sarawak 2014.
“Baik makanan mahupun kebudayaan negeri Bumi Kenyalang, semuanya ada di sini. Peluang ini tidak harus dilepaskan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan akhir karnival tersebut di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini semalam.
Karnival Lan Berambeh Anak Sarawak 2014 bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam di pekarangan stadium berkenaan.
Pelbagai aktiviti menarik dijalankan sepanjang karnival tersebut termasuk pameran perniagaan, forum kerohanian, Senamrobik Mega Lan Berambeh serta pertunjukan fesyen Sarawak.
Dalam pada itu, Rohani berkata, karnival tersebut merupakan platform yang sesuai bagi para peniaga dari Sarawak mengembangkan sayap perniagaan masing-masing ke Semenanjung Malaysia.


Hafiz, Krisdayanti bakal berduet



JOSAFRI (kiri) bersama Hafiz dan Krisdayanti (dua dan tiga dari kiri) pada sidang akhbar di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Penyanyi Hafiz Suip atau Hafiz diumumkan sebagai artis jemputan yang bakal bergandingan dengan Krisdayanti menerusi konsert sulungnya, Krisdayanti Live In KL 2014 yang akan diadakan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 22 November depan.
Pengarah Urusan One Drop Perfumes, Datuk Seri Josafri Johari berkata, pemilihan pemenang ka­tegori Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-20 itu dibuat berdasarkan cadangan yang disuarakan oleh peminat menerusi akaun Facebook rasmi One Drop Perfumes sejak bulan lalu.
“Setelah mendapat lebih 20,000 cadangan oleh pengikut di Facebook, kami bersepakat untuk mengundang Hafiz sebagai artis jemputan bergandingan dengan Krisdayanti.
“Mengambil kira pencapaiannya dalam bidang muzik serta ke­upayaan vokal yang mantap, saya ya­kin Hafiz mampu memukau penonton menerusi persembahannya nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar konsert berkenaan di Hotel Royale Chulan di sini semalam.


Budak dua tahun mendaki di 40 buah negara



AGENSI - BENNETT telah berjaya melakukan pendakian gunung yang ekstrem di sekitar Amerika Syarikat.


SACRAMENTO, California –Seorang kanak-kanak yang baru berusia dua tahun telah melakukan pendakian sejauh 482 kilometer di 40 buah negara dengan ibu bapanya, lapor MailOnline semalam.
Kanak-kanak itu, Bodhi Bennett telah menerokai kebanyakan gunung di taman negara sekitar Amerika Syarikat.
Ibunya, Shannon, 27, berkata, anak sulungnya itu telah dibawa melakukan pendakian pertama ketika berusia lima hari.
“Ketika mengandungkan Bodhi, saya dan suami tidak mahu kehidupan kami berubah selepas bergelar ibu bapa. Ramai yang mengatakan anak akan mengubah kehidupan pasangan suami isteri kerana selepas menjadi ibu dan bapa, kita dianggap tidak dapat lagi melakukan perkara-perkara yang menyeronokkan.

AGENSI - Shahnon tidak mahu anak menjadi penghalang dalam aktiviti pendakiannya.


“Namun, tanggapan itu sama sekali tidak benar memandangkan sejak kecil lagi, kami telah mengajar Bodhi mendaki dan dia kelihatan seronok melakukannya,” katanya.
Namun demikian, Shahnon menegaskan dia amat menitikberatkan soal keselamatan ketika Bodhi melakukan pendakian kerana tidak mahu kejadian yang tidak diingini berlaku.
Dia yang telah mendokumentasikan pendakian mereka kini mempunyai beribu-ribu pengikut dalam laman Instagram.


Penceraian yang dilaknat Allah

PERCERAIAN li’an yang melibatkan penafian nasab terhadap anak yang dikandung akan dilakukan selepas kelahiran bayi tersebut. – Gambar hiasan


PERCERAIAN melalui li’an amatlah jarang direkodkan di Mahkamah Syariah. Bagaimanapun, terdapat kes individu yang cuba menafikan pertalian darah antara bapa dengan anak disebabkan keengganannya untuk membayar nafkah.
Namun, dalam realiti kehidupan berkeluarga, terdapat juga aduan suami menuduh isteri melakukan hubungan seksual bersama lelaki lain, berlaku curang atau bapa tidak mahu mengakui anak kandungnya.
Pembuktian tuduhan tersebut tidak dilakukan mengikut standard hukum syarak biasa iaitu empat orang saksi lelaki. Ini kerana, tuduhan melakukan penzinaan adalah tuduhan yang sangat berat dan jika tiada bukti, orang yang membuat tuduhan boleh dikenakan hukuman khadaf iaitu 80 sebatan sebagaimana yang disebutkan dalam surah al-Nur.
Bagaimanapun, tuduhan ini dikecualikan jika berlaku dalam kalangan pasangan suami isteri.
Li’an dari sudut bahasa bermaksud sumpah. Perceraian melalui li’an ini disyariatkan melalui firman Allah dalam surah al-Nur ayat 6 hingga 10 yang bermaksud:
Orang lelaki yang menuduh isterinya berzina, sedang tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan itu) hanya dirinya sendiri, maka hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, sebanyak empat kali, sesungguhnya dia orang-orang yang benar; dan yang kelima (hendaklah dia berkata): laknat Allah jika dia orang-orang yang dusta. Bagi menghindarkan hukuman seksa isteri (yang kena tuduh) itu, dia bersumpah dengan nama Allah, sebanyak empat kali, yang suaminya telah berdusta; yang kelima (hendaklah dia berkata); laknat Allah jika suaminya orang-orang yang benar.
Ayat di atas menerangkan tentang prosedur yang perlu diambil oleh pasangan suami isteri jika benar-benar bermaksud untuk menamatkan perkahwinan melalui cara tersebut.
Ini merupakan satu lagi bentuk perceraian. Hakim Mahkamah Syariah boleh menamatkan perkahwinan itu setelah suami dan isteri mengangkat sumpah li’an mengikut prosedur seperti yang ditunjukkan dalam al-Quran.
Kesan sumpah

PASANGAN yang bercerai secara li’an berhadapan laknat Allah SWT. – Gambar hiasan


Kesan daripada perbuatan tersebut, kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri rela dilaknat oleh Allah sekiranya tuduhan yang dibuat adalah tidak benar. Hakim Mahkamah Syariah akan memberi amaran kepada kedua-dua pihak tentang kesan sumpahan mereka sekiranya suami ingin meneruskan upacara tersebut.
Setelah upacara tamat, mereka tidak boleh berkahwin semula atau rujuk kembali. Peruntukan mengenai perceraian melalui li’an ini telah muatkan dalam Undang-undang Keluarga Islam. Berdasarkan peruntukan itu, pasangan suami isteri yang telah mengangkat sumpah dengan cara li'an, Hakim Syarie hendaklah memerintahkan mereka difarakkan dan dipisahkan serta hidup berasingan selama-lamanya.
Dalam kes menafikan nasab pula, upacara li’an akan berlangsung sejurus selepas kelahiran bayi tersebut. Jika sebaliknya berlaku, mahkamah tidak akan melayan sebarang tuntutan.
Pernah direkodkan dalam kes tuntutan menafikan nasab anak dibuat di Mahkamah Syariah selepas bapa kepada bayi tersebut meragui sah taraf anak yang dilahirkan kurang sembilan bulan.
Bagaimanapun, mahkamah menolak penafian tersebut kerana ianya dibuat setelah sekian lama anak itu dilahirkan dan tidak ada keraguan yang munasabah untuk mengatakan bahawa anak tersebut boleh dikategorikan sebagai anak tidak sah taraf.
Peruntukan di atas bertujuan memberi pengajaran kepada manusia supaya mengamalkan hidup berakhlak dan saling menjaga kehormatan diri dan rumah tangga. Ini kerana, jenayah seksual di luar perkahwinan adalah jenayah yang amat berat dan boleh merosakkan keturunan manusia serta menjejaskan kebajikan anak tersebut.