Thursday, April 11, 2013

S.M. Salim Terima Anugerah Biduan Negara

S.M. Slaim terharu apabila dirinya diberi penghargaan.
KUALA LUMPUR: Seniman negara, Tan Sri S.M. Salim diberi penghormatan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dengan menerima Anugerah Biduan Negara pada malam penghargaan penyanyi veteran itu di Hotel Double Tree, di sini, malam Rabu. S.M. Salim menerima selempang, pingat, trofi, wang cek bernilai RM30,000 dan sijil penghargaan.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim berkata, penghargaan itu diberikan bagi menghargai jasa dan penglibatan seniman itu membawakan lagu-lagu asli yang sudah 56 tahun dalam industri seni tempatan.
"Terlalu banyak sumbangan yang dibuat S.M. Salim sepanjang penglibatannya dalam industri seni negara.
"Anugerah ini sebagai tanda penghargaan buatnya dan berharap agar penghargaan yang diberikan kepada S.M. Salim dapat menyuntik semangat kepada karyawan muda dalam memartabatkan seni warisan dan budaya bangsa.
Rais Yatim menyampaikan sijil penghargaan kepada SM Salim.
"Ianya sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan industri kreatif sebagai salah satu industri yang membantu menjana pembangunan ekonomi negara," katanya.
S.M. Salim berkata, beliau tidak pernah mengharapkan sebarang anugerah daripada mana-mana pihak tetapi bersyukur dengan penerimaan Anugerah Biduan Negara itu.
"Saya menyanyi bukan untuk mendapatkan penghargaan. Orang ingat saya pun sudah lebih daripada cukup.
SM Salim bersama Kassim Masdor yang turut menerima Anugerah Seniman Tamu Negara.
"Terima kasih kerana memberi penghargaan ini," ujarnya sebak.
Sementara itu, pejuang irama Malaysia kelahiran Singapura, Kassim Masdor turut menerima anugerah Seniman Tamu Negara daripada KPKK.
Majlis penghargaan ini turut dihadiri Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan I, Datuk Joseph Salang, Timbalan Menteri II, Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz, Ketua Setiausaha, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Ketua Pengarah Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Negara) dengan disaksikan lebih 300 tetamu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment