Thursday, April 11, 2013

Suami Noniswara Enggan Hadir Ke Mahkamah Selesai Kes Cerai

Noniswara keliru dengan tindakan suaminya yang enggan hadir ke mahkamah bagi menyelesaikan kes penceraian mereka.
KUALA LUMPUR: Dramatis Noniswara memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis, suaminya, Datuk Rosman Ridzwan enggan hadir ke mahkamah bagi menyelesaikan kes penceraian mereka.
Nonis atau nama sebenarnya, Noniswara Baharudin, 43, berkata, pihaknya juga gagal untuk menyerahkan surat saman permohonan cerai yang dibuatnya kepada suaminya bagi membolehkan mereka bercerai secara baik.
"Saya dan peguam telah mencuba pelbagai cara untuk menyerahkan surat berkenaan namun gagal malah dia pernah memberitahu tidak mahu hadir ke mahkamah," jelasnya.
Tambah Noniswara, dia juga keliru dengan tindakan suaminya itu kerana Rosman sebagai defendan dalam kes berkenaan bersetuju dengan permohonan cerai yang dibuat sebelum ini.
Hakim Syarie, Muhammad Jimmy Muhammad Azlin bagaimanapun memberitahu plaintif supaya berusaha untuk menyerahkan surat saman berkenaan kepada defendan kerana permohonan cerai secara talak itu perlu dibuat di dalam kamar mahkamah.
Nonis diwakili peguam syarie, Datuk Amli Embong.
Muhammad Jimmy menangguhkan kes yang dibicarakan dibawah Seksyen 47, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Kebenaran Penceraian Secara Baik) pada 18 April ini untuk sebutan semula.
Nonis yang hadir berbaju kurung hijau dan bertudung hitam ditemani peguamnya, Datuk Amli Embong.
Sementara itu, Amli ketika ditemui diluar mahkamah berkata, pihaknya telah mengambil masa selama dua bulan untuk bertemu dengan defendan bagi menyerahkan surat saman berkenaan namun gagal.
Amli berkata, pihaknya mungkin akan membuat permohonan lain bagi meneruskan proses penceraian defendan masih gagal hadir ke mahkamah pada perbicaraan seterusnya.
"Masalahnya defendan enggan hadir ke mahkamah dan jika lafaz cerai dibuat di luar mahkamah pun dia tetap kena hadir.
Mungkin kita akan buat permohonan lain mengikut kesesuaian kes jika masalah ini berterusan," katanya.
Nonis dan Rosman telah mendirikan rumah tangga pada 1 Ogos 2009.
Pelakon yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya sementara Rosman pula yang sebelum itu berstatus duda memiliki lima anak daripada perkahwinan terdahulu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: